Isnin, 27 Jun 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Agenda bahaya Bersih 2

Posted:

Agenda bahaya Bersih 2

Agenda bahaya Bersih 2

Oleh ZULKIFLEE BAKARpengarang@utusan.com.my


ABDUL Rahim Jaafar (dua dari kiri) bersama pegawainya menunjukkan barangan yang dirampas daripada kumpulan dipercayai ahli Parti Sosialis Malaysia yang ditahan semasa sidang akhbar di Pulau Pinang, Ahad lalu.


PARTI-parti pembangkang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bersekongkol dengan penganjur Himpunan Bersih 2, cuba mempertahankan kewajaran untuk mengadakan himpunan haram pada 9 Julai ini.

Mereka berhujah kononnya ia hanyalah sebuah perarakan aman dan tidak mempunyai elemen-elemen yang boleh mencetuskan huru-hara dan ia termaktub dalam Perlembagaan.

Malahan mereka juga mendakwa, perhimpunan haram itu 'tulen' bagi mengemukakan tuntutan agar pilihan raya dijalankan secara bersih, adil dan telus.

Dalam soal ini, kita berhak untuk bertanya tiga perkara;

n Pertama, sejak bilakah pembangkang dan mereka yang terlibat dalam Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) begitu memelihara apa yang sudah termeterai dalam Perlembagaan.

n Kedua, apakah jaminan bahawa perhimpunan itu tidak akan dipengaruhi oleh elemen-elemen yang boleh menggugat keselamatan negara dan mampu mengelak daripada huru-hara?

n Ketiga, kenapakah ada bantuan daripada pihak asing bagi menjayakan himpunan tersebut?

Untuk persoalan pertama, jika kita mengkaji perjalanan politik pembangkang sejak selepas pilihan raya umum 2008, merekalah yang paling banyak menggugat apa yang terkandung dalam Perlembagaan.

Cuba kita bertanya, siapakah kelompok yang berusaha menghapuskan keistimewaan orang Melayu dengan konsep perjuangan kesamarataan?

Siapakah pula yang bertanggungjawab mengadakan satu perjumpaan yang berakhir dengan satu ikrar untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi negara ini?

Golongan mana pula yang mahu supaya pembahagian biasiswa tidak lagi mengutamakan orang Melayu, sedangkan ia sudah tertera dalam Perlembagaan?

Bagaimana pula dengan tindakan Pengerusi Bersih, S.Ambiga yang terlibat secara langsung dalam Suruhanjaya Antara Agama (IFC)?

Cuba renung 14 perkara yang dituntut oleh IFC berkaitan dengan orang Islam dan agama Islam - tidakkah itu boleh dianggap tidak menghormati Perlembagaan?

Empat daripada 14 perkara berkenaan ialah, seseorang anak yang dilahirkan oleh ibu bapa orang Islam tidak seharusnya secara terus menjadi orang Islam dan orang bukan Islam yang telah memeluk agama Islam hendaklah diberikan kebebasan untuk kembali kepada agama asal mereka (murtad) dan tidak boleh dikenakan tindakan undang-undang.

Dua lagi perkara ialah sebarang kes pertukaran agama orang Islam kepada bukan Islam tidak sepatutnya dikendalikan oleh Mahkamah Syariah tetapi dikendalikan oleh Mahkamah Sivil dan tidak perlu dicatatkan di dalam kad pengenalan seseorang Muslim bahawa dia beragama Islam.

Kalau semua ini dikaji, ternyata Ambiga dan pemimpin-pemimpin pembangkang cuba memanipulasikan apa yang ada dalam Perlembagaan demi kepentingan mereka?

Perkara kedua yang ingin kita ketahui, benarkah himpunan haram berkenaan akan berjalan secara aman sedangkan penahanan 31 penyokong Bersih yang diketuai oleh pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr. D.Jeyakumar sudah membuktikan bahawa ada agenda tersirat di sebaliknya.

Penahanan itu sudah menjadi bukti bahawa himpunan haram Bersih mempunyai pelbagai elemen-elemen yang boleh merosak dan menggugat keselamatan negara.

Ambiga dan parti pembangkang boleh berhujah apa sahaja berhubung penahanan itu tetapi bukti-bukti yang diperolehi jelas menunjukkan bahawa himpunan haram berkenaan hanyalah alasan bagi melaksanakan agenda yang lebih besar.

Kalau betullah himpunan haram berkenaan hendak menuntut sebuah pilihan raya bersih dan adil, kenapakah ada usaha menghidupkan semula fahaman komunis dan menghasut rakyat untuk menggulingkan pemerintah seperti di negara-negara Asia Barat?

Secara lojiknya takkan Ambiga, Bersih, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas tidak tahu apa yang hendak dilakukan oleh PSM?

Jika pemimpin pembangkang mendakwa mereka tidak mengetahui perkara itu, jelaslah bahawa mereka sendiri pun tidak boleh memberi jaminan bahawa tidak akan ada elemen-elemen subversif yang boleh menyusup masuk ke dalam himpunan haram berkenaan.

Selain itu, kita juga ingin bertanya kenapa sesetengah pemimpin pembangkang begitu ghairah menyebut apa yang berlaku di Asia Barat terutamanya di Mesir dan Tunisia bagi menggalakkan rakyat menyertai himpunan haram anjuran mereka?

Adakah ini bermaksud mereka mahu rakyat turun ke jalanan dan menumbangkan kerajaan melalui huru-hara serta kekacauan?

Perkara ketiga yang ingin kita ketahui ialah himpunan haram itu berkaitan dengan pilihan raya di Malaysia, maknanya ia sepatutnya melibatkan rakyat negara ini sahaja?

Tetapi kenapa berlaku penahanan dua warga asing dari Korea dan Filipina bersama-sama dengan penyokong Bersih di Johor?

Turut menjadi persoalan besar kepada kita ialah penglibatan gerakan yang mempunyai kaitan dengan Kristian berpangkalan di luar negara sebagai penyumbang dana kewangan terbesar Bersih.

Lebih membimbangkan ialah berdasarkan sumber-sumber, setakat ini terdapat sembilan negara asing yang menjadi 'tangan ghaib' bagi mencetuskan keadaan huru-hara dalam negara kita pada 9 Julai ini.

Semua ini memberi peringatan kepada kita bahawa dalam apa keadaan sekali pun, himpunan haram Bersih pada 9 Julai ini tidak harus dibenarkan sama sekali.

Kalau Bersih dan parti-parti pembangkang jujur, sudah tentulah mereka akan memilih jalan perundingan berbanding dengan turun ke jalanan mengemukakan tuntutan.

Malahan mereka juga boleh mengadakan perhimpunan secara aman di stadium-stadium terutamanya di negeri yang mereka perintah, tetapi mereka tidak mahu melakukannya.

Oleh itu pembangkang dan Bersih tidak boleh marah jika ada andaian bahawa agenda himpunan haram mereka bukan soal pilihan raya tetapi soal menjatuhkan kerajaan secara kekerasan dengan menjadikan apa yang berlaku pada tarikh tersebut sebagai momentum.

Justeru adalah wajar jika terdapat pihak-pihak seperti Perkasa, Pergerakan Pemuda UMNO, dan NGO Melayu lain termasuk yang terbaru Pertubuhan Seni Silat Lincah Malaysia memberi amaran agar himpunan haram itu dibatalkan atau bersedia berhadapan dengan mereka.

Kelompok yang memberi amaran ini tidak mempunyai pilihan kerana tidak mahu Bersih dan pembangkang cuba memperalatkan demokrasi dan Perlembagaan bagi mencapai cita-cita politik mereka sehingga sanggup menghuru-harakan negara.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pas Kelantan ‘buang 26 gerai bernilai RM2j’?

Posted:

Pas Kelantan 'buang 26 gerai bernilai RM2j'?

Pas Kelantan 'buang 26 gerai bernilai RM2j'?

Oleh Yulpisman Asli

BERAPA banyak wang rakyat yang perlu dibazirkan oleh kerajaan Pas Kelantan bagi menyelesaikan kemelut perpindahan peniaga Pasar Lama MPKB ke Bazar Tok Guru?

Persoalan itu wajar dibangkitkan selepas sebuah akhbar menyiarkan kenyataan Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas negeri, Ahmad Fadhli Shaari mengenai apa yang beliau dakwa penyelesaian ke atas isu tersebut.

Menurutnya, "penyelesaian itu satu penyelesaian yang terbaik dalam situasi menang-menang khususnya kesudian kerajaan negeri memenuhi sebahagian tuntutan para peniaga Pasar Lama MPKB dengan meluluskan cadangan membuang 26 gerai bernilai lebih RM2 juta."

Bazar Tok Guru merupakan projek usahasama Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) dengan syarikat Sensatimur Sdn. Bhd. (SSB).

Sebelum ini, sebuah blog mendedahkan kerajaan negeri kerugian RM50 juta apabila mengambil semula bazar tersebut daripada pemaju dan pendedahan tersebut tidak pula dinafikan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Lantaran itu, timbul persoalan, beginikah bentuk negara berkebajikan yang hendak diperjuangkan oleh Pas, apabila sanggup 'membuang 26 gerai bernilai lebih RM2 juta' semata-mata untuk meraih kembali sokongan peniaga terbabit?

Tindakan 'membuang 26 gerai bernilai lebih RM2 juta' itu dibuat ketika pemimpin kerajaan Pas Kelantan sering melaung- laungkan mereka sebuah kerajaan yang berhemah dalam membelanjakan wang rakyat.

Bagi kebanyakan rakyat Kelantan, wang sebanyak RM2 juta itu merupakan jumlah yang besar. Ia perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya dan tidak sepatutnya 'hangus' begitu sahaja, disebabkan kelemahan kerajaan negeri dalam menyelesaikan masalah Bazar Tok Guru.

Perlu diingat, kemelut perpindahan peniaga Pasar Lama MPKB ke Bazar Tok Guru timbul akibat kegagalan kerajaan Pas Kelantan menunaikan janji yang dibuat menjelang Pilihan Raya Umum 2008, iaitu menyediakan lot gerai yang selesa dan mampu milik.

Lantaran itu, peniaga terbabit bangkit menuntut janji tersebut dengan bantuan UMNO dan media arus perdana, terutama Utusan Malaysia, akhbar yang sering menjadi sasaran rasa tidak puas hati pemimpin Pas.

Kemuncak bantahan mereka ialah mengadakan bantahan di hadapan Istana Balai Besar bagi menuntut campur tangan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Maka itu, tidak timbul sama sekali dakwaan UMNO memanipulasi isu tersebut, kerana ia berpunca daripada sikap kerajaan Pas Kelantan sendiri yang didakwa peniaga terbabit mungkir janji dan mereka hanya menuntut janji tersebut.

Apa yang berlaku sebenarnya, menyerlahkan lagi sikap pemimpin Pas di Kelantan yang ibarat 'kuman di seberang laut nampak, gajah di depan mata tak nampak.'

Jika sebelum ini pada pihak-pihak dalam Pas yang menuntut Kerajaan Pusat memberikan penjelasan berhubung kelewatan pembinaan projek Jambatan Sultan Yahya Petra kedua, maka, desakan sama patut dikemukakan kepada kerajaan negeri.

Ini kerana, selain 'membuang 26 gerai bernilai lebih RM2 juta' itu, berapa banyak pula kos yang terpaksa dibelanjakan oleh kerajaan negeri bagi membiayai pembesaran dan pembersihan semula gerai-gerai berkenaan?

"Awak berniaga, takkan awak tak buat kira-kira untung rugi dalam pembinaan projek itu. Siapa sebenarnya yang untung? Kini, nak besarkan semula lot-lot niaga terbabit. Siapa pula yang bakal menerima habuan daripadanya?" soal seorang pemimpin masyarakat bukan Melayu ketika mengulas isu tersebut.

Bagi Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Anuar Safian pula, kemelut Bazar Tok Guru hanya menyerlahkan kegagalan kerajaan Pas Kelantan dalam melaksanakan projek usaha sama dengan syarikat swasta yang akhirnya mengorbankan wang rakyat.

"Sebelum ini, kerajaan negeri dilaporkan mengalami kerugian tanah kira-kira RM30 juta dan ini akan tambah kerugian serta beban kewangan kerajaan negeri yang sememangnya sudah 'meletihkan.'

"Minta rakyat pandang serius masalah ini kerana pentadbiran kerajaan negeri tidak boleh dipandang mudah, ia melibatkan wang rakyat.

"Sepatutnya kerajaan negeri sudah membuat pertimbangan lebih awal apabila ada pihak-pihak tertentu dalam PMKB yang cuba mengaut keuntungan," katanya.

Beliau yang juga Presiden Orang Muda Berpadu Anti Korupsi (OMBAK) berkata, kemelut Bazar Tok Guru, Bazar Tengku Anis, pembangunan Lembah Sireh dan banyak lagi projek usaha sama yang gagal dilaksanakan, menunjukkan ketidakcekapan dan tidak amanah kerajaan Pas Kelantan setelah dipilih oleh rakyat.

PENULIS ialah Ketua Biro Utusan Malaysia

di Kelantan

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan