Ahad, 26 Jun 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Anak temui mayat ayah

Posted: 25 Jun 2011 08:58 AM PDT

MELAKA: Seorang warga emas ditemui mati di dalam sebuah bangunan kilang miliknya di Malim Jaya, dekat sini, tengah malam kelmarin selepas dilaporkan hampir dua bulan tidak berhubung dengan anaknya.

Mayat mangsa dikenali sebagai Pang Kow Yong@Pang Teck Long, 63, dari Bukit Baru, dekat sini, ditemui mati oleh seorang anak lelakinya yang menetap di Singapura ketika mencarinya di kawasan kilang terbabit.


Difahamkan, premis itu berkunci dan anak mangsa dikatakan mengintai melalui cermin belakang sebelum melihat mayat bapanya terbaring di atas lantai.

Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Wan Ahmad Wan Abbas ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut selain menunggu laporan penuh bedah siasat mayat mangsa yang dijalankan di Hospital Melaka, semalam.


Menurut beliau, siasatan awal pihaknya mendapati warga emas terbabit sudah lama terputus hubungan dengan anaknya, iaitu selama satu bulan 26 hari sebelum mayat ditemui.


"Kita menerima laporan dibuat anak lelaki mangsa di Balai Polis Malim mengenai penemuan mayat bapanya itu. Anggota polis yang melakukan pemeriksaan menemui mayat mangsa lengkap berpakaian dan memakai tali keselamatan.

"Kita mengesyaki mangsa terjatuh dari tempat tinggi ketika melakukan kerja pembaikan atap premis kilang itu dan mati," katanya yang tidak menolak kemungkinan mangsa meninggal dunia sejak beberapa hari berdasarkan keadaan mayat yang mengecut dan berbau.


Beliau berkata, pihaknya mengklasifikasikan kes berkenaan setakat ini sebagai kematian mengejut dan masih menunggu laporan lengkap bedah siasat.

"Mayat mangsa ditemui di dalam bangunan kilang yang berkunci dan tiada sebarang kesan pecah masuk dan sebagainya yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah," katanya.


Sementara itu, beberapa ahli keluarga mangsa kelihatan di bilik mayat hospital berkenaan namun tidak dapat ditemubual kerana masih terkejut dan bersedih dengan kejadian itu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pelatih dibotakkan satu kesilapan

Posted: 25 Jun 2011 08:36 AM PDT

ALOR SETAR: "Saya bagi pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat meminta maaf kepada keluarga Hizyaty Othman. Saya percaya apa yang berlaku adalah kesilapan yang tidak disengajakan," kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Chor Chee Heung mengenai kes Hizyaty Othman, 28, dan beberapa pelatih wanita lain yang dibotakkan ketika mendaftar diri untuk menjalani latihan di Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai di Marang, Terengganu, bulan lalu.

Chor yang juga Ahli Parlimen Alor Setar, berkata beliau juga sudah mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat menjalankan siasatan dalaman berhubung kejadian itu dan jika perlu, ambil tindakan terhadap pegawai yang bertanggungjawab.


Akhbar semalam melaporkan Hizyaty, bekas pelatih bomba wanita kecewa dengan tindakan Akademi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wakaf Tapai yang membotakkan kepalanya serta 18 pelatih wanita lain ketika mereka mendaftar diri untuk menjalani latihan di kem itu pada 2 Mei lalu.

Hizyaty dari Taman Berjaya, di sini, berkata dia amat terkejut dengan tindakan membotakkan kepala pelatih perempuan, tidak seperti apa yang dinyatakan dalam peraturan kursus yang diterima mereka sebelum melaporkan diri di akademi itu.


Chor berkata, tindakan menggunting rambut adalah berkait dengan peraturan yang bukan hanya dalam Jabatan Bomba dan Penyelamat tetapi turut dilaksanakan pada anggota beruniform yang lain.


Beliau berkata, bagi pelatih wanita Jabatan Bomba dan Penyelamat, rambut mereka akan digunting sehingga enam milimeter panjang kerana sebagai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, wanita yang berambut panjang mungkin sukar untuk menjalankan tugas yang membabitkan aktiviti fizikal. "Ini kes pertama saya terima aduan seperti ini. Ini jelas tunjukkan perkara itu bukan sentiasa berlaku dan ia mungkin tidak disengajakan," katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini, semalam.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen