Ahad, 26 Jun 2011

Utusan Online - Utara

Utusan Online - Utara


Perlis tarik pelabur Indonesia

Posted:

Perlis tarik pelabur Indonesia

Perlis tarik pelabur Indonesia

Daripada ZAINU'L AZHAR ASH'ARI
utusanperlis@utusan.com.my

BANDUNG 25 Jun – Perlis mempelawa usahawan luar termasuk dari Indonesia untuk melabur di negeri itu dalam sektor pelancongan kesihatan, pelancongan maritim, ekopelancongan serta agropelancongan yang mempunyai potensi besar pada masa depan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, bagi pelancongan kesihatan, antara pilihan pelabur ialah membangunkan hospital swasta di Pauh Putra bagi menarik pasaran pesakit dari selatan Thailand dan utara Semenanjung.

"Menerusi pelancongan maritim di Kuala Perlis, pembinaan hotel, institusi latihan berasaskan marin dan industri pembinaan kapal mempunyai potensi yang begitu baik untuk pelaburan," titah baginda ketika melancarkan Pesta Makanan Perlis di Hotel Grand Preanger di sini, hari ini.

Berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Hadir sama Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Datuk Dr. Kamarudin Hussin dan Pengurus Besar Hotel Grand Preanger, Joni Setia Budi.

Baginda menjelaskan, Perlis juga mempunyai potensi dalam sektor pelancongan kerana mempunyai banyak kawasan menarik untuk dikunjungi selain produk agropelancongan seperti mempelam harumanis yang kini begitu popular sehingga menjadi produk kebanggaan negeri berkenaan.

Sementara itu, sebanyak lima jenis makanan Perlis diperkenalkan dalam pesta tersebut iaitu Roti Jala Ala Kuala Perlis, Kari Ayam Arau, Satay Ayam Ku Puan, Nasi Goreng Telur Masin dan Bihun Goreng Kangar yang kini menjadi antara menu di hotel berkenaan.

Selain menikmati makanan Perlis, tetamu pesta tersebut berpeluang menyaksikan tarian kebudayaan negeri Perlis yang dipersembahkan oleh para pelajar Unimap.

Dalam pada itu, Joni berkata, pihaknya akan mengekalkan makanan negeri Perlis di hotel tersebut yang selama ini sering mempromosikan makanan dari Malaysia.

"Kami satu-satunya hotel di Bandung yang menyediakan teh tarik dan roti canai kerana ramai pengunjung Bandung terdiri daripada warga Malaysia.

"Sekarang kami cuba pula untuk menyenaraikan dalam menu makanan Perlis," kata beliau.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

MCKK anjur program International Baccalaureate

Posted:

MCKK anjur program International Baccalaureate

MCKK anjur program International Baccalaureate

KUALA KANGSAR 25 Jun – Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) bakal melakar sejarah baru pada 27 Jun ini apabila melaksanakan International Baccalaureate (IB), sebuah program persediaan antarabangsa bagi mengikuti pengajian di peringkat universiti di kolej tersebut.

Berita gembira itu diumumkan Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah ketika bertitah pada Majlis Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah Tahun 2011 MCKK di sini hari ini.

Raja Nazrin bertitah, seramai 11 pelajar bakal menjadi kumpulan pertama mengikuti program IB di MCKK.

"Beta menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang telah secara bersama melakukan pelbagai usaha merealisasikan hasrat untuk memperkenalkan program IB di MCKK.

"Program IB hendaklah ditakrifkan sebagai satu gerbang untuk membolehkan MCKK menerokai potensi melebarkan jaringan hubungan di peringkat antarabangsa," titah baginda.

Sementara itu, Raja Nazrin bertitah, dalam hasrat memenuhi sasaran pencapaian gred dan pemarkahan akademik, aspek-aspek kemanusiaan, kenegaraan, amanah serta menghargai alam sekitar wajib diperlengkapkan dalam jiwa pelajar.

Sifat kemanusiaan dan patriotik terhadap negara, titah baginda, adalah satu keperluan demi menjamin mereka berada di landasan yang betul apabila mewarisi tanggungjawab penting di dalam negara pada suatu hari nanti.

Titah baginda, sifat amanah wajib disemai supaya apabila mereka memiliki kuasa, ia tidak akan disalah guna hingga boleh mengakibatkan kesengsaraan kepada kehidupan insan dan kemusnahan kepada negara bangsa.

Raja Nazrin bertitah, kesedaran juga perlu ditingkatkan di dalam diri anak-anak terhadap alam sekitar yang semakin tercemar dan menjadi antara penyebab kepada pemanasan global yang gagal dikawal serta menjadi ancaman baru terhadap keselamatan dunia.

"MCKK hendaklah berada di barisan hadapan, mencatat satu lagi sejarah sebagai sebuah institusi pendidikan yang mempelopori program membudayakan insan menghargai alam sekitar," titah baginda.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ibu bimbang keselamatan anak gadis hilang

Posted:

Ibu bimbang keselamatan anak gadis hilang

Ibu bimbang keselamatan anak gadis hilang


Azliza Md. Isa


KEPALA BATAS 25 Jun – Seorang ibu tunggal, Aishah Md. Amin bimbang dengan keselamatan anak bongsunya, Azliza Md. Isa, 28, yang menghilangkan diri sejak tiga bulan lalu selepas dipercayai berkahwin tanpa persetujuan keluarga.

Aishah, 62, dari Taman Serdang di sini memberitahu, selepas Azliza meninggalkan rumah Mei lalu, dia bersama ahli keluarga yang lain menjalankan usaha mencari dan terkejut apabila mengetahui anaknya itu sudah berkahwin dengan seorang lelaki yang baru dikenali.

Lebih membingungkan katanya, lelaki tersebut dikatakan sudah berkahwin sebanyak dua kali malah status pendaftaran perkahwinannya sebelum ini juga diragui kerana bernikah di negara jiran.

"Saya kesal apabila Azliza sanggup membelakangkan kami dengan menikahi lelaki itu sedangkan sebelum ini dia hampir berkahwin dengan tunangnya selepas lapan tahun menjalin hubungan.

"Tindakannya itu amat memalukan kami sekeluarga kerana dia memilih suami orang sedangkan tunangnya amat baik dan setia menantinya selama ini," katanya di sini, hari ini.

Menurut Aishah, dia amat bimbang Azliza akan diabaikan serta menerima nasib sama seperti yang dialami dua isteri dan beberapa anak lelaki berkenaan.

Malah, katanya, siasatan di kampung lelaki berkenaan di Kedah mendapati, dia tidak mempunyai pekerjaan tetap dan dikhuatiri tidak mampu menyara isteri lebih daripada seorang.

"Kami juga diberitahu mengenai sikap lelaki berkenaan yang agak kasar dan kami bimbang ia bakal mengundang masalah lebih-lebih lagi Azliza merupakan seorang anak yang sensitif," jelasnya.

Aishah yang bekerja sebagai pembantu gerai makan di sini menambah, Azliza keluar rumah pada 26 Mei lalu selepas dimarahi kerana menjalin hubungan dengan suami orang sedangkan dia sudah bertunang dan bakal berkahwin.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan