Rabu, 29 Jun 2011

Utusan Online - Rencana

Utusan Online - Rencana


Pas bermunajat demi Ambiga

Posted:

Pas bermunajat demi Ambiga

Pas bermunajat demi Ambiga

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my


Mana pemimpin Pas? Majlis pelancaran Bersih 2.0 oleh Ambiga Sreenevasan di Dewan Perniagaan Cina Selangor di Kuala Lumpur pada 19 Jun lalu, kurang disertai pemimpin kanan Pas.


''PADA ana (saya), munajat ini penting bagi mengikhlaskan diri kita dalam membantu perjuangan Ambiga. Pada kita, agama apa yang dianut oleh seseorang itu tidak penting - yang penting adalah perjuangan yang dibawa. Untuk siapa? Demi siapa? Untuk apa?

''Biarlah kita bermunajat - dan memanjatkan doa yang ikhlas agar niat kita akan dibulatkan; bagi membantu Ambiga dan mendapat keadilan yang dimahukan. Kita turun kerana Allah - demi untuk memastikan negara kita tidak terus dijadikan alat pihak tertentu untuk mendapatkan kuasa yang berterusan; tidak amanah, korup dan munafik sifatnya. Tidak salah kalau kita mendoakan agar perjuangan Ambiga dan kita akan mendapat kemudahan.''

Demikianlah sebahagian petikan dari sebuah blog yang dikendalikan oleh penyokong Pas ketika mengulas mengenai himpunan haram Bersih.

Tulisan itu dibuat bagi menyokong kenyataan Dewan Ulama Pas Pusat yang melalui Penolong Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat, Nazmi Nik Din menyeru diadakan munajat Perdana di seluruh negara sempena himpunan haram Bersih 2 pada 9 Julai ini.

"Seluruh ahli dan pendokong Pas diseru supaya berdoa dan memohon kepada Allah SWT dengan rasa rendah diri dan tawaduk di atas luar keupayaan kita untuk menghadapi tipu daya dan kejahatan oleh pihak-pihak tertentu yang mencemarkan proses pilihan raya di negara ini,'' kata Nazmi.

Persoalannya, kenapakah Pas secara tiba-tiba menyokong Ambiga yang diketahui ramai orang sebagai penyokong Suruhanjaya Antara Agama (IFC).

Jelas sekali, ketaksuban kepada politik dan begitu mahu meraih kuasa bersama-sama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP telah membuat Pas kini sanggup menggadaikan segala-galanya termasuk prinsip mereka.

Ambiga tidak lagi dilihat sebagai orang yang cuba menganggu gugat umat dan agama Islam melalui IFC, sebaliknya pemimpin dan ahli Pas mengangkat beliau sebagai pejuang yang perlu disokong.

''Pada ana, Ambiga adalah seorang pejuang yang perlu diberikan bantuan dan dokongan sepenuhnya. Perjuangan ini bukan soal agama. Soal keadilan dan kesaksamaan.'' demikianlah begitu mudahnya penyokong Pas memaafkan insan-insan seperti Ambiga.

Akibat pandangan seumpama inilah yang menyebabkan Ambiga berasa bangga dan begitu berani untuk tetap turun ke jalanan pada 9 Julai ini biarpun telah menerima amaran keras daripada pihak polis.

Ambiga mungkin sudah mengkaji perjuangan politik Pas yang dilihat oleh beliau semakin terbuka untuk berkorban apa sahaja demi meraih kuasa.

Bekas Pengerusi Majlis Peguam itu juga memahami bahawa Pas benar-benar berhasrat untuk menggantikan UMNO, biarpun ia boleh mengakibatkan umat Islam dan orang Melayu berpecah-belah.

Kelemahan orang Melayu dalam Pas inilah yang membuka ruang kepada Ambiga, PKR dan DAP untuk mengambil kesempatan bagi mendorong ahli-ahli Pas menyokong dan berkorban apa sahaja kononnya atas nama perjuangan.

Sebenarnya, Pas menyokong himpunan haram Bersih bukan kerana pilihan raya tidak bersih atau tidak adil tetapi Pas sudah tidak sabar lagi hendak menggantikan UMNO.

Pas amat memahami bahawa reputasi sebagai sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam sudah berakhir, mereka kini adalah parti yang memperjuangkan negara berkebajikan.

Perubahan prinsip dan dasar perjuangan ini telah disifatkan oleh sesetengah penyokong Pas sebagai 'menggadaikan keimanan' dan keadaan ini sudah tentulah meresahkan kepimpinan Pas.

Oleh itu, apabila Ambiga muncul dengan agenda himpunan haramnya dan disokong oleh PKR serta DAP maka sebagai rakan sekutu, Pas pun 'tumpang semangkuk'.

Apa yang menarik, satu sumber memberitahu penulis bahawa himpunan haram berkenaan akan gagal sama sekali jika Pas tidak menyertainya kerana parti itu merupakan 'penyumbang terbesar' penunjuk perasaan.

''Macam juga dalam pilihan raya, sebenarnya Pas yang banyak menggerakkan jentera berbanding PKR dan DAP tetapi apabila pembangkang menang Pas diketepikan.

''Begitu juga dalam himpunan haram ini, Pas tidak sedar atau mungkin buat-buat sedar bahawa mereka sedang diperalatkan oleh Ambiga dan kedua-dua parti tersebut,'' kata sumber berkenaan.

Lebih menghairankan bagi menghalalkan penyertaan Pas, parti itu dalam satu kenyataan yang dibuat oleh Ulama Pelapis Pas menyatakan kemenangan pakatan pembangkang dalam pilihan raya bukan bermakna pilihan raya berjalan dengan adil.

Sebaliknya Pas menegaskan, kejayaan itu adalah hasil usaha pembangkang menyusun strategi yang berkesan sehingga dapat memenangi pilihan raya tersebut

''Keadilan tidak boleh diukur melalui menang atau kalahnya sesuatu parti dalam pilihan raya tetapi mesti diukur dari sudut hak sama ada ia diberikan sama rata kepada semua parti yang bertanding atau tidak. Penyelewengan dalam pilihan raya mesti dihapuskan dan perubahan hendaklah dilakukan dalam menjamin keadilan kebersihan pilihan raya,'' hujah ulama pelapis dalam kenyataan mereka.

Hujah sedemikian terlalu banyak putar belitnya seperti mana Pas memutar belitkan perubahan dasar perjuangan mereka daripada negara Islam kepada negara berkebajikan.

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan '' sudut hak sama ada ia diberikan sama rata kepada semua parti yang bertanding atau tidak'' itu?

Hak apa yang Pas dan parti pembangkang tuntut. Bukankah mereka juga diberi tempoh yang sama untuk berkempen, menampal poster dan berceramah? Bukankah mereka juga ada media tersendiri untuk berkempen? Apakah media rasmi mereka juga akan memberi peluang sama rata kepada kerajaan BN?

Kenapakah Pas hendak melihat soal hak sama rata itu dari sudut laporan media arus perdana sahaja? Bukankah Pas dan pembangkang sendiri yang memusuhi media berkenaan dan menganggap ia alat propaganda BN sejak dulu lagi? Kenapakah baru sekarang hendak menuntut supaya hak itu diberikan?

Kalau betul soal hak sama rata yang hendak dituntut kenapa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjadi sasaran? Kalau benar SPR adalah alat BN sudah pasti sebijak mana pun pembangkang mengatur strategi, mereka pasti kecundang.

Tetapi itu tidak berlaku kerana SPR menjalankan tugasnya dengan penuh tanggungjawab, telus dan adil sebab itulah pada pilihan raya umum lalu kerajaan BN hampir tumbang!

Oleh itu tidak perlu Pas memberi seribu satu alasan untuk menghalalkan matlamat mereka menyertai himpunan haram Bersih pada 9 Julai ini.

Akui sahajalah bahawa Pas dan pembangkang sudah ketandusan isu dan idea bagi menghadapi BN dalam pilihan raya umum. Justeru cara terbaik untuk menutup kelemahan berkenaan adalah melalui tindakan mencetuskan isu termasuklah menimbulkan huru-hara di jalanan.

Malang sekali kerana orang Melayu mempunyai sebuah parti seperti Pas. Kenapa? Kerana mereka sanggup menyeru penyokongnya bermunajat untuk Ambiga tetapi sama sekali tidak mahu bermunajat memohon petunjuk agar orang Melayu dan umat Islam bersatu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Ketepikan perbezaan politik demi Gaza

Posted:

Ketepikan perbezaan politik demi Gaza

Ketepikan perbezaan politik demi Gaza

Oleh Azmi hassan

TIDAK memeranjatkan apabila Israel dan Amerika Syarikat (AS) mempolitikkan misi kemanusiaan antarabangsa yang digelar Freedom Flotilla II kerana kedua-dua negara ini yang akan menerima kesan paling mendalam jika misi tersebut berjaya dilaksanakan seperti yang dirancang.

Malah tidak keterlaluan jika diandaikan kesan misi kemanusiaan itu adalah jauh lebih efektif jika hendak dibandingkan dengan ratusan roket Katushya yang dilancarkan dari Semenanjung Gaza ke kawasan wilayah Israel.

Bantahan tanpa kekerasan ini sebenarnya telah berjaya menyedarkan masyarakat antarabangsa betapa kejamnya rejim Israel yang menjadikan Semenanjung Gaza sebagai penjara yang telah menyeksa dan mengaibkan penduduk Palestin seramai 1.5 juta orang.

Tidak memeranjatkan apabila Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton menyatakan bahawa beliau tidak yakin misi terbaru ini dapat membantu meringankan penyiksaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin.

Malah Jabatan Negara AS mengeluarkan amaran kepada rakyat Amerika yang menyertai misi tersebut bahawa mereka boleh didakwa atas kesalahan memberi bantuan kepada pengganas.

Perdana Menteri, Israel Benjamin Netanyahu pula menuduh wujudnya kumpulan pengganas dalam kalangan aktivis yang akan menimbulkan suasana huru-hara dan konfrantasi dengan askar rejim Israel.

Washington dan Tel Aviv seboleh-bolehnya mahu menggagalkan misi kemanusiaan tersebut kerana mereka akur senario politik Asia Barat yang begitu berbeza hari ini mampu memberi tekanan kepada Israel.

Paling menarik dalam misi terbaru tersebut adalah komposisi aktivis dari AS walaupun mempunyai fahaman politik yang berbeza tetapi masih mampu bekerjasama kerana mempunyai tujuan yang sama iaitu membantu rakyat Palestin.

Aktivis Amerika dalam kapal Audacity of Hope yang diketuai oleh bekas diplomat Jabatan Negara AS iaitu Ann Wright juga turut disertai oleh novelis pemenang Hadiah Pulitzer Alice Walker. Perlu ditekankan bahawa lebih daripada 25 peratus daripada kontinjen Amerika adalah terdiri daripada aktivis Yahudi.

Jika aktivis dari Amerika dapat bersatu dan bertekad untuk memecahkan sekatan rejim Israel walaupun telah diberi amaran oleh kerajaan AS dan Israel, tetapi lain pula cerita aktivis kemanusiaan dari Malaysia.

Terdapat tuduhan bahawa penyertaan aktivis Malaysia dalam misi Freedom Flotilla II mempunyai motif politik. Tuduhan tersebut timbul kerana penglibatan secara langsung beberapa aktivis dari parti politik tertentu.

Adalah begitu menyedihkan apabila ada yang menarik diri kerana tidak mahu dilihat bekerjasama dengan seteru politik mereka walaupun kedua-duanya mempunyai tujuan yang serupa iaitu membantu rakyat Palestin.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Life Line for Gaza yang telah berusaha mengumpulkan 10 aktivis Malaysia merasa agak kecewa dengan tuduhan tersebut kerana ada pihak sanggup mempolitikkan isu tersebut hanya untuk kepentingan parti politik masing-masing.

Niat Washington dan Tel Aviv mempolitikkan isu itu tidak menghairankan kerana kedua-dua sekutu berkenaan mahu menggagalkan atau sekurang-kurangnya mencacatkan misi tersebut. Jika masyarakat antarabangsa boleh membantu rakyat Mesir dan Tunisia menghapuskan pemerintahan kejam, maka tidak mustahil perkara yang serupa dilakukan terhadap rakyat Palestin yang diaibkan oleh rejim Israel.

Ahli politik Malaysia yang memandang serong terhadap penyertaan seteru politik mereka sepatutnya mengambil iktibar daripada keikhlasan aktivis Amerika yang memperjuangkan hak rakyat Palestin.

Hedy Epstein yang berumur 85 tahun umpamanya adalah berketurunan Yahudi yang terselamat daripada peristiwa Holocaust ketika beliau berusia 14 tahun. Epstein akur dengan kesengsaraan yang dilalui oleh rakyat Palestin di Semenanjung Gaza kerana beliau telah melalui situasi yang serupa.

Begitu juga dengan Richard Levy yang turut serta dalam kapal Audacity of Hope hidup dalam keluarga yang menjadi penyokong kuat Israel. Kedua-dua ibu bapa beliau adalah aktivis tegar Israel dan aktif dalam pertubuhan B'nai Brith dan Anti Defamation League iaitu pertubuhan berpengaruh yang bersimpati dengan Israel.

Tetapi Levy mempunyai pendirian bahawa kekejaman rejim Israel terhadap rakyat Palestin adalah melampaui batas kemanusiaan.

Paling menarik adalah kandungan kargo Audacity of Hope bukan sahaja terdiri daripada bekalan makanan dan perubatan tetapi juga risalah mengenai perjuangan aktivis kulit hitam Amerika iaitu Martin Luther King Jr. yang memperjuangkan hak sama rata untuk semua rakyat Amerika.

Aktivis dari Amerika ini begitu berpegang kepada kepercayaan bahawa perjuangan tanpa kekerasan mampu mengubah nasib rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Berbagai usaha telah dilakukan untuk menggagalkan misi Freedom Flotilla II dan nampak gayanya strategi tersebut berjaya sedikit sebanyak kerana sehingga hari ini kapal Flotila masih belum boleh belayar menuju Semenanjung Gaza. Begitu juga semua aktivis tersebut bakal berdepan dengan komando Israel yang sudah pasti telah belajar daripada peristiwa serangan kapal Mavi Marmara pada bulan Mei tahun lepas.

Semua rakyat Malaysia sepatutnya menyokong misi Freedom Flotilla II kerana setakat ini, strategi bantahan tanpa kekerasan adalah kaedah terbaik untuk memaksa rejim Israel mengendurkan cengkaman sekatan yang dikenakan terhadap Semenanjung Gaza. Perbezaan politik sepatutnya diketepikan kerana tujuan akhirnya adalah jauh lebih besar daripada kepentingan politik parti masing-masing.

Biarkan Washington dan Tel Aviv sahaja mempolitikkan isu tersebut kerana mereka mempunyai kepentingan untuk menggagalkan misi terbaru ini. Rakyat Malaysia terutama sekali ahli politik sepatutnya berpandangan jauh dan mengetepikan agenda sempit politik masing-masing.

PENULIS ialah GeoStrategis Institut

GeoSpatial UTM dan ahli bersekutu Majlis

Profesor Negara.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan