Selasa, 28 Jun 2011

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


Pernikahan di Pakistan sah

Posted:

Pernikahan di Pakistan sah

Pernikahan di Pakistan sah

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
pengarang"utusan.com.my


Muhammad Kamran Babar Nazir Khan di Mahkamah Tinggi Syariah, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 28 Jun - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini mengesahkan pernikahan antara penuntut tempatan, Yani Yuhana Mohd. Zambri yang mendakwa dirinya disihir oleh lelaki warga Pakistan, Muhammad Kamran Babar Nazir Khan adalah sah mengikut hukum syarak.

Menurut Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan, Yani Yuhana selaku defendan telah gagal memanggil saksi bagi membuktikan dakwaan tersebut walaupun wanita itu mengemukakan laporan polis dan surat dari Pusat Pengubatan Islam Darussyifa kepada mahkamah.

Beliau berpendapat Yani Yuhana, 25, berada dalam keadaan sedar dan waras ketika majlis pernikahan berlangsung di Sadiqadad Raw, Pakistan, pada 2 April 2009 kerana defendan didapati ceria seperti dilihat dalam album gambar kahwin.

Ujar beliau lagi, Yani Yuhana juga didapati waras kerana sebelum tarikh majlis pernikahan, dia yang ketika itu menuntut di United Kingdom telah berlepas dengan menaiki kapal terbang secara berseorangan menuju ke Pakistan.

Abdul Walid turut menjawab mengenai isu yang dibangkitkan oleh peguam syarie Othman Mohd. Noor yang mewakili Yani Yuhana mengenai perbezaan rukun nikah mengikut Syafie dan Hanafi.

''Walaupun rukun nikah menurut Syafie adalah wali, sighah, suami, isteri serta dua saksi, manakala Hanafi hanya mempunyai dua rukun sahaja iaitu ijab dan qabul, tetapi hukum syarak merangkumi semua mazhab.

''Oleh demikian, permohonan pengesahan pernikahan tersebut yang difailkan oleh Muhammad Kamran selaku plaintif, tahun lalu adalah sah kerana proses perkahwinan itu berlaku disaksikan oleh pendaftar perkahwinan dan dua saksi lelaki,'' kata hakim tersebut.

Beliau menambah, Kementerian Luar Negeri Pakistan dan Kedutaan Pakistan di Malaysia juga mengesahkan kesahihan sijil pernikahan Yani Yuhana dan Muhammad Kamran.

Abdul Walid mengakhiri kertas penghakiman setebal 50 muka surat yang dibacakan dalam masa sejam dengan menegur ahli keluarga kerana sering menganggu prosiding seperti menghina mahkamah.

Sejurus itu, Othman bangun dan memberitahu bahawa anak guamnya, Yani Yuhana ingin mengemukakan permohonan khuluk (tebus talak) namun pihaknya akan melakukannya di Mahkamah Rendah Syariah selepas Abdul Walid mencadangkan ia didaftarkan terlebih dahulu.

Selepas prosiding selesai, Yani Yuhana dilihat menyerahkan wang tunai RM350 kepada Muhammad Kamran, 49, sebagai salah satu proses khuluk, namun lelaki itu yang diwakili peguam syarie Muhamad Burok enggan menerimanya kerana tidak bersetuju untuk bercerai dengan penuntut tersebut.

Prosiding pada hari ini berlangsung dalam keadaan aman dengan dikawal oleh 10 anggota polis walaupun pada beberapa perbicaraan lalu suasana menjadi kecoh dan bising.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen