Selasa, 28 Jun 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Ukur jari pada bola sendiri

Posted:

Ukur jari pada bola sendiri

Ukur jari pada bola sendiri

Oleh AMMAR JAZLAN MAD LELA
ammar.jazlan@kosmo.com.my



LELAKI itu kelihatan seperti menunggu kehadiran seseorang di premisnya yang terletak di tingkat dua pusat beli-belah Endah Parade, Bandar Baru Sri Petaling, Selangor. Sesekali matanya melirik ke arah jam tangan yang dipakainya.

"Sudah pukul 3.30 petang, kejap lagi sampailah," getusnya di dalam hati.

Sambil menunggu, Nor Azmi Ismail, 43, memerhatikan persekitaran ruang premisnya, My Pro Shop yang baru beroperasi pada Mei lalu.

Dia sendiri tidak menyangka minat yang mendalam terhadap sukan boling sejak usia 17 tahun membolehkannya bergelar usahawan dalam bidang yang jarang-jarang dikuasai oleh kaum Melayu itu.

Satu ketika dahulu, dia pernah bekerja dalam bidang pembinaan, namun disebabkan komitmen terhadap keluarga memaksanya untuk berhenti kerja.

Cintanya kembali bertaut terhadap boling, tetapi bukan sebagai atlet profesional sebaliknya pembantu kedai dan penebuk lubang bola boling (driller) di beberapa premis boling di ibu negara.

Bekerja di bawah driller berpengalaman, pemain dan jurulatih boling negara seperti Alex Lew dan Ben Heng menyebabkan dia bertekad untuk membuka perniagaan sendiri pada tahun 2007 di Cosmic Bowl Mid Valley.

Sejak itu, rutinnya agak padat. Hampir saban hari dan minggu jadualnya dipenuhi temu janji bersama pelanggan. Menguruskan dua premis My Pro Shop serentak di dua lokasi yang berasingan nyata sedikit memenatkan.

Ibarat kata pepatah, alah bisa tegal biasa, anak jati kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu rela melakukannya. Lagipun dia sudah berpengalaman hampir sedekad dalam bidang itu dan mempunyai pelanggan setia yang sentiasa menagih khidmat dan kepakarannya.

Pintu yang tiba-tiba terbuka bagaimanapun mematikan lamunannya. Pelanggan yang ditunggu-tunggunya hadir seperti yang dijanjikan.

Tanpa berlengah, Nor Azmi bersama seorang kakitangannya, Azrul Azidi Alias, 26, memulakan tugas. Ukuran jari pelanggan diambil menggunakan peralatan khas, dikenali sebagai ball fitter untuk menentukan jarak antara jari, sudut lubang dan kedalaman lubang jari pada bola.

Kesemua maklumat itu kemudiannya ditandakan pada bola, sebelum ia ditimbang dengan menggunakan penimbang khas untuk menentukan side weight, single weight, thumb weight, top weight dan sebagainya.

Selepas semua bacaan diambil dikira, barulah proses terakhir dilakukan iaitu menebuk bola dengan mesin.

"Lazimnya, beginilah proses menebuk bola boling. Saya akan bertanyakan beberapa maklumat penting pelanggan seperti berat badan, tangan mana yang digunakan, teknik balingan serta kondisi permainan mereka.


Ball fitter digunakan untuk mendapatkan ukuran jari yang tepat.


"Selepas itu, barulah saya mencadangkan jenis bola yang sesuai berdasarkan pengiraan yang telah dilakukan," katanya sambil menambah kebanyakan bola boling diimport dari negara seperti Amerika Syarikat, Mexico, China dan Korea Selatan.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu memberitahu, pengiraan dan ukuran perlu dilakukan dengan teliti kerana setiap bola dan pemain mempunyai ciri-ciri yang berbeza antara satu sama lain.

Material bola

Ceritanya, walaupun setiap bola kelihatan hampir sama pada pandangan mata kasar, namun ia dibezakan melalui pemberat dan material yang digunakan semasa proses pembuatannya.

"Misalnya, bola bagi balingan straight mempunyai permukaan yang lebih licin dan berkilat, beratnya pula sekitar lima hingga tujuh kilogram dan materialnya lebih lembut untuk memberi lebih impak terhadap pin. Kedudukan lubang pada jari pula adalah berdasarkan cengkaman konvensional.

"Begitu juga dengan bola untuk balingan spinner atau balingan hooked, berat, saiz, kedalaman lubang jari dan sudut yang berbeza antara satu sama lain," jelasnya.

Nor Azmi berkata, terdapat dua jenis material yang digunakan pada bola boling iaitu jenis polister dan reaktif dan digunakan mengikut kesesuaian dan keadaan gelanggang.

"Penggunaan bola polister digunakan bagi peringkat permulaan manakala bola reaktif pula sering digunakan di peringkat lebih tinggi seperti entry level sehingga ke high performance.

"Umumnya, bola reaktif memberikan impak yang lebih baik berbanding bola polister, namun ia juga bergantung kepada kemahiran pemain, keadaan gelanggang dan aksesori yang digunakan," ujarnya.

Beliau memberitahu setiap bola dijual pada harga di antara RM200 hingga RM800 bergantung kepada jenis dan jenamanya.

Seorang pelanggan tetap Nor Azmi, Zanilatun Kamariah Zakaria, 36, mengakui pemilihan dan penggunaan bola yang sesuai penting dalam mendapatkan mata tertinggi dalam setiap permainan.


AZMI yang pernah bekerja sebagai penebuk bola boling akhirnya nekad untuk mengusahakan bisnes kedai bolingnya sendiri sejak empat tahun.


"Dulu saya juga agak kabur mengenainya. Apabila sudah lama berjinak-jinak di dalam sukan ini barulah saya tahu mengenai berat bola, jenis bola, teknik balingan dan keadaan gelanggang penting untuk mendapatkan balingan yang sempurna.

"Jika tidak, ia bukan sahaja merosakkan permainan, malah berkemungkinan menyebabkan kecederaan pada jari atau tangan," katanya yang menetap di Taman Melawati, Hulu Klang, Selangor.

Kakitangan sebuah bank tempatan itu memberitahu, kehadiran driller profesional seperti Nor Azmi memudahkan pemain boling amatur sepertinya mendapatkan tip dan ciri-ciri bola yang dikehendaki.

"Selain mendapatkan perkhidmatan menebuk lubang bola, premisnya juga menawarkan perkhidmatan lain seperti mengilat bola di samping menjual pelbagai aksesori berkaitan.

"Apa yang pasti, sekarang terdapat pelbagai pilihan jenama dan jenis bola di pasaran. Setidak-tidaknya perkembangan ini dapat membantu pemain meningkat tahap permainan mereka," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Gunakan lidah, bibir dan suara serentak

Posted:

Gunakan lidah, bibir dan suara serentak

Gunakan lidah, bibir dan suara serentak

Oleh ALIF ABU BAKAR
alif.abubakar@kosmo.com.my


SHAWN kini mampu menghasilkan lebih 50 bunyi menggunakan mulutnya.


BUNYI-BUNYIAN yang terhasil daripada mulut remaja bernama Shawn Lee ini menerbitkan seribu satu persoalan tentang bagaimana anak muda itu mampu mengeluarkan bunyi-bunyi yang mustahil dilakukan manusia.

Penerima Anugerah Pelakon Kanak-Kanak Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) ke-18 itu kini mampu menghasilkan lebih 50 bunyi dengan mulutnya.

Dia yang juga pernah muncul dalam drama bersiri Hikayat Putera Shazlan gemar melakukan bunyi binatang dengan bunyi cengkerik menjadi bunyi kegemarannya.

Bunyi gajah, kucing, itik dan anjing menyalak antara bunyi-bunyi binatang yang mampu ditiru oleh Shawn selain bunyi alatan muzik seperti trompet, perangkat dram dan keyboard elektrik.

Jika seorang penyanyi perlu belajar teknik vokal dengan betul, beatboxer pula tidak memerlukan latihan spesifik bagi meningkatkan kemahiran mereka.

Menurut penuntut tahun kedua Institut Kejuruteraan Audio (SAE), Subang Jaya, Selangor itu, dia banyak belajar menerusi internet dan bertukar-tukar pendapat dengan beatboxer lain ketika mengadakan persembahan atau pun pertandingan.

Tidak meletakkan bakat sebagai sandaran utama memacu kerjaya sebagai seorang beatboxer, malah Shawn mengakui setiap orang sebenarnya berkebolehan melakukan beatboxing.

"Hanya satu peratus bakat yang diperlukan bagi menjadi seorang beatboxer, selebihnya terletak kepada usaha masing-masing. Sesiapa sahaja boleh menjadi beatboxer kerana mulut manusia mampu menghasilkan pelbagai bunyi.

"Bagi melakukan beatboxing, seseorang itu perlu menggunakan lidah, bibir serta suara secara serentak, jika tidak serentak ia tidak akan menjadi," jelas remaja berusia 19 tahun itu.

Eksperimen spontan

Mula bereksperimen dengan beatboxing pada usia 14 tahun, Shawn melakukannya secara spontan ketika mendengar radio dan tidak mengetahui akan kewujudan istilah beatboxing.

Hanya selepas melihat beberapa video berkenaan beatboxing di YouTube, dia mula tertarik dengan aktiviti tersebut dan memuatkan video-video aksinya di laman YouTube miliknya.

Tuah menyebelahi Shawn apabila penganjur kepada Kejohanan Dunia Beatboxing menghantar jemputan kepadanya bagi menyertai kejohanan itu pada tahun 2009 setelah melihat keistimewaan Shawn sebagai beatboxer.


PADA usia muda, Shawn sudah mula membina nama di peringkat antarabangsa.


Tanpa berfikir panjang, Shawn terbang ke Berlin, Jerman bagi menyertai pertandingan tersebut dan sebagai pendatang baharu dalam dunia beatboxing, acara itu menjadi medan penting buat dirinya mengasah kebolehan bagi bergelar beatboxer terulung.

Percubaan pertama kalinya itu nyata membuahkan hasil apabila dia berjaya mendapat tempat kesembilan daripada 45 peserta yang hadir mewakili 40 negara.

Tingkat keyakinan Shawn berganda apabila dia menjuarai Pertandingan Beatboxing Malaysia AND1 pada tahun yang sama sekali gus meletakkan Shawn dalam kelompok beatboxer tempatan yang perlu digeruni.

Kolaborasi unik

Dengan gelaran tersebut, Shawn sudah boleh berbangga kerana selama lebih tiga tahun berkecimpung secara serius dalam dunia beatboxing, dia sudah bekerjasama dengan barisan artis-artis ternama tanah air.

Nama seperti Diana Danielle, Suki dan Altimet merupakan antara selebriti yang pernah berkongsi pentas dengannya melakukan persembahan gabungan nyanyian serta beatboxing yang ternyata menarik perhatian penonton.

"Ada orang mengatakan beatboxing sesuai untuk genre hip hop sahaja tetapi, apabila saya berkolaborasi bersama artis-artis genre lain, saya sedar beatboxing tidak terhad kepada hip hop sahaja.

"Saya suka mencuba sesuatu yang baharu dan setakat ini saya telah membuat persembahan diiringi muzik jazz dan hasilnya amat mengagumkan.

"Gabungan beatboxing dengan instrumen muzik lain serta penyanyi mampu membuatkan satu persembahan itu kelihatan seperti sebuah grup yang memerlukan lima orang bagi menjayakannya," lancar sahaja tutur Shawn yang mengidamkan kolaborasi bersama David Guetta dan Black Eyed Peas pada masa akan datang.

Kini setelah namanya mula mekar dalam lapangan beatboxing, satu persatu jemputan diterimanya malah, magis bakat beatboxing itu turut membolehkannya menerima undangan menjayakan persembahan di luar negara.

Australia, Brunei, Vietnam, Singapura dan Taiwan merupakan antara destinasi yang pernah menerima kunjungan Shawn dan rata-rata jemputan tersebut meminta Shawn mengisi slot persembahan bagi konsert-konsert yang diadakan.


SHAWN (kiri) pernah mendapat tempat kesembilan daripada 45 peserta pada Kejohanan Dunia Beatboxing pada tahun 2009.


Namun, masalah yang sering dihadapi Shawn ialah dia mudah diserang sakit tekak apabila menaiki pesawat dan perkara itu mengganggu kelancaran persembahannya.

"Perkara paling ditakuti seorang beatboxer ialah mengalami sakit tekak pada hari persembahan.

"Saya sering berdepan masalah itu jika menjayakan persembahan di luar negara namun, ia tidaklah teruk hingga membuatkan saya perlu membatalkan persembahan," ucap Shawn jujur.

Violin dan beatboxing

Sementara itu, pemain violin ternama tanah air, Dennis Lau kini menjadi individu yang sering kelihatan mengiringi persembahan Shawn.

Walaupun jejaka berusia 26 tahun itu telah kukuh dalam industri muzik tanah air sebagai pemuzik, produser serta komposer, dia tidak segan bergandingan dengan Shawn yang masih hijau dalam industri tempatan.

"Kami telah berkolaborasi selama hampir tiga tahun dan sepanjang penglibatan saya bersama Shawn, banyak perkara dapat saya pelajari.

"Tidak mudah bagi melihat seorang beatboxer membuat persembahan bersama biola dan kami merupakan pelopor kepada gabungan tersebut.

"Jika seorang pemain dram diibaratkan sebagai tulang belakang bagi sesuatu persembahan, keunikan dimiliki Shawn ialah dia mampu melakukan bunyi dram tersebut dan dalam masa yang sama menjadi tumpuan utama persembahan itu," ujar komposer kepada lagu Mahkota nyanyian Syafinaz itu.

Gabungan beatboxing serta nyanyian jarang sekali dipertontonkan di Malaysia, namun persembahan seumpama itu telah menjadi kebiasaan di negara-negara Barat.

Juara program realiti TV, One In A Million musim pertama, Suki Low melihat kerjasama beatboxing bersama penyanyi perlu diperluaskan di Malaysia kerana ia mampu menjadikan persembahan tampak segar.

Pentas Festival Muzik Asia pada April lalu menjadi landasan pertama buat Suki dan Shawn melakukan persembahan bersama.

"Sebagai seorang pemuzik, Shawn boleh dikategorikan sebagai individu kreatif yang sering tampil dengan idea baharu.

"Dalam usia yang masih muda, dia cepat menyesuaikan diri serta mampu menjadikan setiap kolaborasi sebuah persembahan unik dan bertenaga," kata Suki lagi.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Komen