Isnin, 10 Oktober 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Indonesia diminta segera muktamadkan tarikh perlawanan bola sepak

Posted: 10 Oct 2011 05:34 AM PDT

PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) meminta tuan rumah Sukan SEA ke-26, Indonesia, untuk segera mengeluarkan jadual terkini acara bola sepak pada temasya itu November ini.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Azzuddin Ahmad berkata sehingga kini, Malaysia masih belum menerima jadual terkini perlawanan walaupun mengikut jadual asal, acara bola sepak berlangsung dari 7 hingga 22 Nov.

"Kami perlukan penganjur sahkan perkara ini lebih awal, mengenai perlawanan pertama, final dan juga veneu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Indonesia sebelum ini bercadang mengadakan acara bola sepak di dua venue utama iaitu Jakarta dan Palembang tetapi kemudian memusatkan acara itu di Jakarta sahaja.


Azzuddin juga meminta Indonesia menundakan tarikh perlawanan akhir acara bola sepak, yang dijangka pada 22 Nov, bagi memberi peluang kepada skuad B-23 tahun Malaysia menghadapi perlawanan pusingan kelayakan Olimpik pada 23 Nov. - Bernama

Jemaah haji dinasihat menjaga imej dan maruah negara - titah Agong

Posted: 10 Oct 2011 03:16 AM PDT

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah agar jemaah haji Malaysia menjaga imej dan maruah negara apabila berada di Tanah Suci.

Baginda turut bertitah agar semua jemaah haji sentiasa mengikuti arahan pihak berkuasa tempatan serta peraturan-peraturan yang digariskan Tabung Haji kerana ia dilaksanakan untuk menjamin keselamatan jemaah serta melicinkan lagi proses mengerjakan haji.

"Beta berharap para jemaah sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni terutamanya dalam kalangan jemaah haji itu sendiri, mengamalkan sikap bertolak ansur dan saling mengingati antara satu sama lain," titah Seri Paduka sambil mengucapkan selamat jalan kepada 447 jemaah haji yang akan berangkat ke tanah suci di Kompleks Tabung Haji di Kelana Jaya di sini hari ini.

Jemaah-jemaah tersebut terdiri daripada 206 lelaki dan 241 perempuan yang terpilih bagi penerbangan ke-36 tahun ini yang dijangkakan tiba di Madinah pada 11.50 malam (6.50 petang waktu Madinah). - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan