Ahad, 9 Oktober 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Pancing buaya

Posted: 08 Oct 2011 09:07 AM PDT

BEKENU: Selepas penemuan bangkai seekor buaya terapung di Sungai Niah di Kampung Sepupok Niah dan Kampung Dagang, hujung bulan lalu, penduduk gempar lagi dengan penangkapan reptilia ganas itu oleh seorang lelaki di Sungai Niah, di sini, kelmarin.

Buaya sepanjang hampir lima meter itu berjaya ditangkap selepas termakan umpan ayam dipasang seorang pekebun dikenali sebagai Choa Hui, 56, berikutan tidak tahan dengan kemunculan reptilia berkenaan yang sering dilihat di permukaan sungai.


Menurut sumber, Choa dikatakan memasang umpan ayam jam 6 petang menggunakan mata kail terbesar serta wayar elektrik.

Difahamkan, umpan dipasang akhirnya mengena buaya berkenaan sebelum Choa meminta bantuan beberapa penduduk kampung menangkap reptilia itu.


Choa bersama penduduk dikatakan mengambil masa sejam sebelum buaya itu berjaya dibawa naik ke darat, jam 9.30 malam lalu menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Miri dan Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) untuk tindakan lanjut.


Sebelum ini, penduduk di kampung berdekatan sering terserempak reptilia berkenaan yang dikatakan turut membaham anjing yang menghampiri tebing sungai.

Malah, kemunculan buaya itu menjadi perkara biasa bagi segelintir penduduk, khususnya yang mendiami tebin sungai, dan situasi itu membimbangkan mereka.


Sementara itu, jurucakap SFC ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, buaya berkenaan masih dalam jagaan pihaknya untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, buaya jenis katak atau nama sainstifiknya Crocodylus Porocus dipercayai sudah lama menghuni sungai itu, justeru penduduk diminta berhati-hati bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.


Penangkapan buaya itu turut menarik perhatian ratusan penduduk yang keluar rumah meskipun hari hujan bagi melihat dengan lebih dekat.

Ketua Polis Subang Jaya meninggal dunia

Posted: 08 Oct 2011 09:06 AM PDT

SHAH ALAM: Ketua Polis Subang Jaya, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar meninggal dunia semalam dipercayai akibat serangan jantung.

Allahyarham yang berusia 56 tahun disahkan meninggal di Hospital Columbia Asia, Kota Kemuning, di sini, jam 12.45 tengah hari selepas mengadu kepenatan ketika menyertai satu pertandingan golf anjuran Polis Selangor di Kelab Golf Kota Kemuning, jam 12 tengah hari semalam.


Sebelum kejadian, Allahyarham mengadu kepenatan sebelum menamatkan permainan golf yang bermula jam 8 pagi semalam sebelum dihantar oleh kedi ke rumah kelab untuk berehat.

Allahyarham kemudian dikatakan tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.


Jenazah Allahyarham difahamkan akan dibawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat dan dikebumikan di Tamah Perkuburan Putra Perdana, Puchong petang semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan