Khamis, 6 Oktober 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Berhati-hati individu menyamar penjawat awam mohon derma

Posted: 06 Oct 2011 04:40 AM PDT

JOHOR BAHARU: Orang ramai di bandar raya ini diminta berwaspada apabila dihubungi individu yang mendakwa dari agensi awam meminta derma, susulan beberapa kejadian penipuan menggunakan modus operandi sedemikian.

Ketua Pemuda MCA Johor Kua Song Tuck berkata pihaknya menerima lima aduan ditipu dengan cara itu setakat ini.

Mereka lazimnya menyamar sebagai penjawat Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Majlis Daerah Johor Bahru Tengah (MPJBT), Jabatan Kesihatan dan Majlis Amal Cegah Jenayah, katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Kua berkata antara alasan mengutip derma ialah untuk mengadakan majlis malam amal dan membantu golongan kurang bernasib baik.


Sementara itu, seorang mangsa Cindy Tan, 35, yang hadir pada sidang media tersebut mendakwa beliau kerugian RM5,350 apabila ditipu dua kali oleh sindiket berkenaan.


Pengusaha kilang plastik itu mendakwa kali pertama beliau dihubungi seorang wanita pada 26 Sept lepas yang mengaku dari MPJBT dan meminta derma berjumlah RM2,250 bagi pembelian lima unit kerusi roda.

"Saya hanya mampu menderma RM1,350 dan kakak saya kemudian menyerahkan wang terbabit kepada seorang wanita di sebuah bank di Taman Universiti," katanya.

Tan berkata empat hari kemudian beliau menerima satu lagi panggilan dari seorang lelaki mendakwa petugas MPJBT meminta derma RM8,000 bagi membeli set meja makan untuk kegunaan Hospital Permai, Tampoi.

Bagaimanapun Tan berkata beliau hanya mampu memberi RM4,000 sahaja dan wang terbabit diserahkan melalui kakaknya kepada seorang lelaki di bank yang sama pada hari yang sama.

"Saya kemudian menyedari telah ditipu pada pukul 8 malam hari yang sama sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Taman Universiti, tiga hari lalu," katanya. - Bernama

Wanita didakwa guna wang RM100 palsu beli kasut

Posted: 06 Oct 2011 01:19 AM PDT

SHAH ALAM: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menggunakan sekeping wang palsu RM100 untuk membeli sepasang kasut di Uptown Kota Damansara, Petaling Jaya dekat sini, pada Ahad lalu.

H Malini, 21, dari Sungai Petani, Kedah, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohd Fadhir Harun.

Tertuduh yang tidak bekerja didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 11.30 malam pada 2 Oktober lalu dan dituduh mengikut Seksyen 489B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Iswa Tonie yang mengendalikan pendakwaan mencadangkan agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM10,000 serta seorang penjamin.


Malini, yang tidak diwakili peguam, bagaimanapun memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan atas alasan dia perlu membayar sewa bilik sebanyak RM450 dan tidak mengetahui bahawa wang itu adalah palsu.


Hakim Mohd Fadhir kemudian membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM5,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 10 Nov untuk sebutan semula kes. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan