Rabu, 5 Oktober 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Waspada kegiatan sindiket minta maklumat perbankan: Polis

Posted: 05 Oct 2011 05:09 AM PDT

MELAKA: Orang ramai dinasihatkan berwaspada dengan kegiatan satu sindiket yang anggotanya menyamar sebagai pegawai polis atau pegawai bank untuk mendapatkan maklumat perbankan masing-masing untuk tujuan penipuan.

Ketua Polis Melaka Datuk Chuah Ghee Lye berkata trdapat 32 kes dari Januari hingga September tahun ini berbanding 23 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas melibatkan kerugian lebih RM560,000.

Beliau memberitahu pemberita hari ini bahawa anggota sindiket yang memperoleh maklumat peribadi perbankan mangsa akan menghubungi mereka dengan menyamar sebagai pegawai polis dari Bukit Aman atau dari Hong Kong atau sebagai pegawai bank, bagi memaklumkan kepada mangsa kononnya maklumat perbankan masing-masing telah digunakan dalam kesalahan jenayah seperti penggubahan wang dan kesemua akaun banknya akan dibekukan.

Katanya anggota sindiket akan memperdaya mangsa dengan mendakwa Bank Negara Malaysia akan membekukan akaun bank mereka, dan mangsa yang takut kehilangan wang, akan mengikut segala arahan penjenayah dan membuat pemindahan ke akaun sindiket itu.


"Mereka hanya menyedari ditipu setelah membuat semakan lanjut dengan polis dan bank yang terlibat," katanya. - Bernama

Akta Buang Negeri sudah tidak diguna pakai 34 tahun: Najib

Posted: 05 Oct 2011 04:06 AM PDT

KUALA LUMPUR: Akta Buang Negeri 1959 (Akta 79) tidak diguna pakai sejak 34 tahun lalu, maka sudah sampai masanya untuk kerajaan mengambil langkah memansuhkannya, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata pemansuhan akta itu juga merupakan aspirasi kerajaan ke arah pentadbiran sistem perundangan yang lebih adil dan mendukung prinsip-prinsip di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Merujuk kepada rekod yang ada, akta ini banyak digunakan semasa tahun 60-an dan yang terakhir ialah pada 1977 iaitu dalam kes Menteri Dalam Negeri lawan Chu Choon Yong and Anor.

"Selepas daripada kes itu dan sehingga kini, akta ini tidak pernah digunakan lagi," katanya di Dewan Rakyat hari ini ketika membentangkan Rang Undang-undang Buang Negeri (Pemansuhan) 2011 untuk bacaan kali kedua.


Najib berkata bahawa selepas kes itu, kes-kes penahanan dan pemulangan warga negara asing kini dikendalikan mengikut Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155), memandangkan peruntukan penahanan dan pemulangan warga negara asing yang terkandung dalam Akta Buang Negeri 1959 juga terdapat dalam Akta 155.


"Pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 adalah wajar oleh sebab ia sudah tidak relevan di samping langkah pemansuhan ini akan memperkemaskan lagi sistem perundangan negara," katanya.

Najib berkata Rang Undang-undang Buang Negeri (Pemansuhan) 2011 bertujuan memansuhkan Akta 79, namun pemansuhan itu tidak akan menjejaskan apa-apa waran, perintah, arahan atau surat cara lain yang dibuat atau dikeluarkan oleh menteri sebelum tarikh permulaan kuat kuasa akta pemansuhan itu.

Pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 itu juga tidak akan melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada kerajaan, katanya.

Perdana Menteri berkata walaupun akta itu dimansuhkan kerajaan akan memastikan bahawa keselamatan negara serta ketenteraman, keharmonian dan kesejahteraan rakyat dan negara terus dikekalkan.

Beliau berkata terdapat mekanisme perundangan lain yang akan digunakan bagi menangani perkara-perkara yang dilindungi di bawah akta itu selama ini. -Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan