Selasa, 4 Oktober 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Taman burung antara terbesar Asia Tenggara dibina di Taman Botanikal Melaka

Posted: 04 Oct 2011 03:46 AM PDT

MELAKA: Sebuah taman burung antara yang terbesar di Asia Tenggara menghimpunkan 6,000 ekor burung daripada 300 spesies akan didirikan di kawasan seluas 1.8 hektar di Taman Botanikal, Ayer Keroh di sini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, produk terbaru pelancongan Melaka itu adalah sebahagian daripada projek pembangunan landskap dan kemudahan pelancongan fasa kedua yang akan dilaksanakan di taman botanikal itu seluas 92.5 hektar.

"Selain taman burung, turut dibina ialah sebuah menara tinjau, membaik pulih chalet dan menaik taraf landskap taman botanikal termasuk membina struktur air pancut," katanya kepada pemberita pada majlis pecah tanah projek bernilai RM30 juta itu, di sini hari ini.

Katanya projek itu dijadualkan siap dalam tempoh 20 bulan dan taman burung yang didirikan itu dijangka menyaingi Jurung Bird Park di Singapura.


Projek di bawah fasa dua itu merupakan kesinambungan projek fasa pertama yang mempunyai kemudahan taman helicornia, taman sakat, air terjun dan jambatan laluan pejalan kaki yang disiapkan sekitar Oktober 2007. - Bernama

Suhakam kemuka enam peruntukan yang wajar dipertimbang sebelum ISA dimansuhkan

Posted: 04 Oct 2011 03:38 AM PDT

KUALA LUMPUR: Suhakam (Suruhanjaya Hak Asasi Manusia) mengemukakan enam peruntukan yang wajar dipertimbangkan oleh kerajaan sebelum pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dilakukan.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Hasmy Agam berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung pemansuhan itu bagaimanapun kerajaan digesa untuk memastikan undang-undang baru itu bukan saja mematuhi peruntukan perlembagaan persekutuan.

Menurutnya, ia juga perlu menggariskan prinsip hak asasi manusia khususnya yang termaktub dalam Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

"Suhakam mengesyorkan enam peruntukan mematuhi prinsip hak asasi manusia digunakan dalam penggubalan mana-mana undang-undang baru untuk menggantikan ISA dan ia wajar dipertimbangkan oleh kerajaan," katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan