Ahad, 2 Oktober 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Dua mangsa lemas ditemui berpelukan

Posted: 01 Oct 2011 10:25 AM PDT

BAHAU: "Sejak beberapa hari lalu, arwah memang kerap pergi mandi sungai berbanding biasa dan kurang berselera makan," kata Nurul Syahida Baharin, 15, ibu saudara kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang lemas di sungai di Kampung Sri Rompin, dekat sini, kelmarin.

Memilukan apabila mayat pelajar tahun lima Sekolah Kebangsaan Rompin, Muhamad Hakimi Khairul Nizam, dikatakan ditemui dalam keadaan berpelukan dengan seorang lagi lelaki, Mohd Isa Mustafa, 40, yang juga anak angkat nenek saudaranya, jam 6.50 petang kelmarin.


Menurut Syahida, kedua-dua mangsa memberitahu mahu mandi di sungai berdekatan, jam 9 pagi.

"Kebiasaannya, mereka berdua pasti pulang semula ke rumah, namun saya pelik apabila masih tidak melihat kelibat mereka walaupun sudah petang.


"Berikutan itu, ibu (Robiah Birum) segera ke sungai dan melihat motosikal dinaiki mereka di atas tebing bersama pakaian masing-masing.


"Panik dengan keadaan itu, kami segera memaklumkannya kepada penduduk kampung untuk mencari mereka sebelum melaporkan kepada polis bagi tindakan lanjut," katanya ketika ditemui Metro Ahad di sini, semalam.

Syahida berkata, dia terkejut mengetahui kedua-dua mangsa mati lemas apabila mayat mereka dikatakan ditemui dalam keadaan berpelukan.


Menurutnya, dia sedih kerana anak saudaranya dilihat berkelakuan baik berbanding biasa manakala anak angkat ibunya turut sempat mengemas rumah sebelum kejadian.

"Kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan kedua-dua Allahyarham masing-masing selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Besar dan Jelai tadi (semalam)," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Mohd Sabri Muhamad berkata, ketika kejadian, Robiah yang juga ibu angkat Mohd Isa pergi ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) Kuala Pilah untuk mengambil ubat, jam 7.30 pagi.


"Sewaktu perjalanan pulang ke rumahnya jam 11.30 pagi, wanita itu yang melalui sungai ternampak motosikal mangsa, namun tidak mengesyaki apa-apa berikutan mereka sering ke situ.


"Namun, selepas menunggu sekian lama, kedua-dua mangsa masih tidak pulang ke rumah, menyebabkannya kembali semula ke sungai itu untuk meninjau.


"Robiah cuba memanggil namun tiada sahutan lalu memberitahu orang kampung dan membuat laporan di Balai Polis Rompin," katanya.


Menurutnya, mayat kedua-dua mangsa ditemui sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bahau 70 meter dari tebing sungai, jam 6.50 petang.


"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jempol untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing pagi semalam (kelmarin)," katanya yang mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Pengurus rasuah polis Indonesia diburu Interpol, PDRM

Posted: 01 Oct 2011 10:23 AM PDT

IPOH: Seorang pengurus syarikat minyak diburu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Polis Antarabangsa (Interpol) selepas dikesan meloloskan diri sejurus memberi rasuah sebanyak satu bilion rupiah (RM369,000) kepada dua pegawai polis republik Indonesia (Polri).

Sumber polis Bukit Aman berkata, suspek yang diburu Direktorat Narkotika Polri Jawa Barat, Indonesia, dipercayai melarikan diri dan pulang semula ke tanah air selepas terbabit dengan kes jenayah rasuah dan dadah pada 20 Ogos lalu.


Difahamkan, suspek dikenali sebagai Adjri Abdulah, 36, mulanya ditahan di Lapangan Terbang Bandara Husein Sastranegara, Bandung, oleh polis sebelum pemeriksaan pada suspek menemui dadah syabu seberat 4.2 gram.

Suspek yang dipercayai anggota sindiket pengedaran dadah antarabangsa kemudian ditahan untuk soal siasat oleh pegawai Polri.


Bagaimanapun, suspek berjaya mengumpan dua pegawai polis Polri dengan menawarkan habuan suapan 1 bilion rupiah (RM369,000) bagi membolehkan dia dibebaskan.


Akibat gelap mata dengan jumlah wang sebesar itu, dua pegawai polis terbabit bersetuju menerima wang berkenaan sebelum membebaskan suspek.

Suspek kemudian dipercayai pulang ke tanah air sejurus menyerahkan wang rasuah kepada dua pegawai polis berkenaan.


Berdasarkan soal siasat, suspek mendakwa bertugas sebagai pengarah sebuah syarikat minyak berpangkalan di Malaysia.

Seorang pegawai Polri yang menerima suapan itu kemudian memberikan wang rasuah diterima sebanyak 500 juta rupiah (RM184,500) kepada isterinya.


Bagaimanapun, pihak atasan Polri berjaya menghidu kesalahan dilakukan dua pegawai polis berkenaan sebelum menahan mereka dan dihadapkan ke mahkamah.


Kes itu disifatkan luar biasa dan pertama kali berlaku apabila polis negara itu berjaya disogok dengan wang dalam jumlah terlalu besar oleh penjenayah berasal dari Malaysia.


Susulan itu, polis Indonesia menghantar permohonan meminta bantuan Interpol dan PDRM untuk memburu suspek warga Malaysia berkenaan.


Difahamkan, polis Indonesia berharap penjenayah terbabit berjaya ditangkap dan diserahkan kepada polis republik itu untuk disiasat sebelum dijatuhkan hukuman berat.


Sementara itu, kes berkenaan mendapat liputan luar biasa akhbar negara itu seperti Surabaya Post, Tribun news, Detik.Com yang menganggap tindakan Polri menerima suapan sebagai keterlaluan dan patut dipecat.


Sementara itu, Timbalan Pengarah Risikan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Othman Harun, berkata pihaknya memberikan kerjasama bagi memburu suspek berkenaan yang dipercayai bersembunyi di negara ini.


Beliau ketika dihubungi berkata, permohonan bantuan yang diminta Polri akan melalui Interpol terlebih dulu sebelum dirujuk kepada JSJN bagi membantu siasatan.


"Sebelum ini, pihak kita juga memberi kerjasama kepada mereka berhubung kes penyeludupan dadah, jadi kita sedia membantu dalam semua sudut sehingga tertangkapnya suspek," katanya.


Menurutnya, setakat ini pihaknya masih menunggu Interpol membuat siasatan awal untuk mengesan suspek.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan