Khamis, 20 Oktober 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Muzium Kapal Korek dibuka

Posted: 19 Oct 2011 02:18 PM PDT

Wilayah

KAPAL korek di Tanjung Tualang akan dibuka kepada pengunjung selewat-lewatnya awal tahun depan.

KAPAL korek di Tanjung Tualang akan dibuka kepada pengunjung selewat-lewatnya awal tahun depan.

Monumen boleh dikunjungi awal tahun depan selepas pemulihan

BATU GAJAH: Kapal korek bijih timah pertama dan satu-satunya yang masih tinggal di negara ini di Tanjung Tualang, dekat sini, akan dibuka kepada pengunjung selewat-lewatnya awal tahun depan, ketika bermulanya Tahun Melawat Perak 2012.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan, Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan negeri, Datuk Hamidah Osman, berkata kerja pemulihan dan pembaikan monumen bersejarah yang dijadikan Muzium Kapal Korek itu kini di fasa pertama.

Katanya, pelbagai aspek termasuk keselamatan diberi perhatian dalam kerja itu bagi memastikan tiada sebarang masalah timbul apabila dibuka kepada pihak awam khususnya pelancong. Beliau berkata, sebanyak RM420,000 dibelanjakan untuk membaikpulih kapal korek berkenaan, termasuk diapungkan dalam kedudukan baik berbanding sebelum ini dalam keadaan agak senget.

Fasa kedua dan ketiga pula dijangka selesai menjelang akhir tahun ini iaitu membabitkan kerja baik pulih lain, termasuk mengecat dan membaiki sebarang kecacatan kapal korek sebelum dibuka kepada pelancong, katanya kepada pemberita ketika membuat lawatan kerja ke kapal korek berkenaan, di sini.

Kapal korek berkenaan yang ada sejak 1913, dihadiahkan oleh Malaysian Mining Corporation (MMC) kepada kerajaan Perak sekitar 1990-an untuk dijadikan monumen sejarah dan tarikan pelancongan.

MMC pernah bertanggungjawab menjalankan aktiviti perlombongan bijih di Perak, khususnya di kawasan sekitar Tanjung Tualang, Changkat Tin, Sungai Galah dan yang terakhir di Kampung Changkat Pinggan.
Hamidah berkata, peruntukan diperoleh hasil pelaksanaan tabung program Save The Dredge melalui kerjasama kerajaan negeri dan pengusaha bijih timah dalam usaha menyelamatkan satu-satunya kapal korek yang masih wujud di negara ini.

Beliau yakin ia bakal menjadi satu produk pelancongan yang mampu meningkatkan kedatangan pelancong ke Perak.

Sementara itu, Hamidah yang kemudian turut meninjau pembangunan produk pelancongan Kellie's Castle, di sini, berkata beberapa kemudahan lagi akan disediakan di situ.

Katanya, peruntukan sebanyak RM5 juta disediakan melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) iaitu RM3.8 juta untuk kerja menyediakan infrastruktur manakala RM1.2 juta untuk kelengkapan dalaman.

Beliau berkata, kira-kira 66,000 pelawat melawat Kellie's Castle sepanjang tahun lalu berbanding 54,000 (2009) dan 45,000 (2007).

Full content generated by Get Full RSS.

Pasukan interim ditubuh

Posted: 19 Oct 2011 02:14 PM PDT

Wilayah

Perjelas segala isu pembangunan semula Kampung Baru

PUTRAJAYA: Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar akan membentuk sebuah pasukan interim (sementara) sebagai permulaan tatkala penubuhan Perbadanan Kampung Baru dengan geran permulaan berjumlah RM15 juta dilaksanakan.

Menterinya, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, berkata pasukan interim yang bakal ditubuhkan bulan depan berfungsi sebagai badan mencadangkan struktur, pelantikan keanggotaan perbadanan dan majlis penasihat, selain melantik pekerja perbadanan.

"Badan ini bertanggungjawab memperjelaskan segala isu berhubung pembangunan semula Kampung Baru kepada pemilik dan pewaris tanah. "Ia juga akan berurusan dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam hal membabitkan pembangunan semula Kampung Baru," katanya selepas taklimat kepada GLC dan badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Kampung Baru serta tujuh ketua kampung.

Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru diluluskan di Dewan Rakyat pada 5 Oktober lalu dan dijangka dibentangkan di Dewan Negara, Disember ini.

Raja Nong Chik berkata, beberapa projek infrastruktur dengan anggaran kos RM9 juta turut dilaksanakan, termasuk menaik taraf jalan utama di Jalan Raja Abdullah dan Jalan Raja Muda Abdul Aziz.

Beliau berkata, ia juga membabitkan projek menaik taraf jalan, lorong dan longkang iaitu penurapan Jalan Sungai Bharu dan naik taraf longkang di Jalan Datuk Abdul Malik, Lorong Raja Muda Musa 2, Jalan Raja Mahadi dan Jalan Raja Ali.
Mengulas taklimat kepada GLC, Raja Nong Chik berkata, ada cadangan supaya pembangunan Kampung Baru dimulakan di kawasan pewaris dan pemilik tanah tidak mempunyai sebarang masalah.

"Dalam pertemuan kali ini, kita menerima pandangan supaya memulakan pembangunan di kawasan dipersetujui pemilik dan pewaris.

"Antara kawasan itu ialah Kampung Pindah dengan 80 lot tanah pemilik dan pewaris bersetuju dimajukan dan kita boleh mulakan di situ terlebih dulu," katanya.

Ditanya pelantikan Wakil Kerajaan Selangor dalam Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Dr Idris Ahmad, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kampung Baru (JKBPKB) yang ditubuhkan kerajaan Selangor, Raja Nong Chik berkata, kementerian tidak pernah mengiktiraf jawatankuasa berkenaan.

"Kita tidak iktiraf kerana mereka tidak mempunyai status dari segi undang-undang. Saya tidak nampak peranan jawatankuasa ini yang tidak lebih daripada mainan politik pembangkang," katanya.

Ikuti laporan khas muka 28 dan 29 pada akhbar Berita Harian hari ini.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan