Berita Harian: Wilayah |
| Posted: 18 Oct 2011 09:24 AM PDT Wilayah SEBAHAGIAN penduduk membantah MPAJ meluluskan pembinaan kondominium di Taman Nirwana, Ampang. Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Pandan Dalam, Ismail Majid, berkata pembinaan dua blok kondominium 16 tingkat itu hanya akan menambah kesesakan, terutama di Jalan Nirwana 38 dan 39 yang sudah sedia sesak, termasuk dikhuatiri mengganggu penghuni di jalan berkenaan sebaik projek itu siap kelak. Bagi memastikan masalah kesesakan tidak bertambah kronik, penduduk mencadangkan pemaju tidak membina bangunan tinggi, sebaliknya membina kediaman empat hingga lima tingkat, selain memastikan kawasan perumahan itu dianjakkan sehingga 20 meter dari arah Jalan 38 supaya tidak mengganggu laluan sedia ada. Jalan Nirwana 38 dan 39 yang terletak di depan kondominium yang bakal dibina itu adalah laluan keluar utama memasuki Lebuh Raya Lingkaran Kedua (MRR 2) melalui Kampung Pandan ke Sungai Besi dan ke Lebuh Raya Duta-Ulu Klang (Duke) oleh penduduk di tiga taman perumahan di sini iaitu Taman Nirwarna Fasa 1, Fasa 2 dan 3, Taman Angsana, Ampang Putra dan Kampung Pandan Dalam.Jika kondominium ini siap kelak, pasti menambah kesesakan sedia ada dan mengganggu keselesaan penduduk, terutama yang tinggal di jalan berkenaan. Kita dimaklumkan MPAJ, penghuni kondominium itu akan diberi dua petak parkir tetapi kita khuatir tetamu yang mengunjungi kondominium itu akan meletakkan kereta di bahu jalan berdepan perumahan penduduk, katanya. Beliau dihubungi selepas mengadakan perhimpunan secara aman bersama 300 penduduk lain bagi membantah pembinaan kondominium berkenaan daripada diteruskan. Turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Penduduk Taman Nirwana Fasa 2, Mohamad Suhaimi Ismail. Ismail mendakwa, MPAJ juga tidak bersemuka atau berbincang dengan penduduk setempat sebelum meluluskan projek pembinaan kondominium 16 tingkat itu, malah gagal mempamerkan sebarang notis bagi memaklumkan penduduk mengenai pembinaan berkenaan. Sementara itu, MPAJ dalam kenyataan semalam, berkata pihaknya tidak dapat memenuhi permintaan penduduk itu memandangkan tiada peruntukan undang-undang boleh digunakan bagi menghalang pemaju membangunkan tanah mereka. Katanya, MPAJ menerima permohonan Kebenaran Merancang daripada Tetuan Sri Seltra Sdn Bhd, bagi membangunkan kompleks perniagaan atau pangsapuri perkhidmatan dan kedai pejabat mengikut syarat nyata, dua tahun lalu. Selepas Kebenaran Merancang diperoleh, masih ada penduduk tidak berkepentingan meminta MPAJ mengadakan sesi penerangan, selain mengambil tindakan terhadap isu dibantah penduduk dan perkara itu dipersetujui, malah pemaju turut membuat pindaan mengikut dasar serta garis panduan ditetapkan. |
| Posted: 18 Oct 2011 09:21 AM PDT Wilayah Jumlah bergantung kepada sejauh mana kesan projek Jambatan KeduaGEORGETOWN: Seramai 2,882 nelayan di Pulau Pinang yang terjejas mata pencarian berikutan pembinaan Jambatan Kedua Pulau Pinang Kedua, akan menerima sagu hati berjumlah RM6 juta daripada Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB), minggu depan. Majlis penyerahan sagu hati itu dijadual disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar di Stadium Batu Kawan, Seberang Prai, Isnin ini. Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Raja Kahalid Raja Ariffin, berkata jumlah sagu hati yang bakal diagihkan bergantung kepada sejauh mana kerja berkaitan projek itu menjejaskan aktiviti nelayan. Tiga tahap dikenal pasti iaitu nelayan yang beroperasi di kawasan jajaran jambatan, kawasan kapal membuang selut iaitu 13 batu nautika dari Pulau Kendi dan kawasan yang terkena tumpahan selut akibat dibawa arus.Nelayan yang dikategorikan berada dalam tahap satu meliputi Pulau Aman, Batu Kawan, Changkat, Teluk Tempoyak dan Jerejak. Tahap kedua membabitkan nelayan kawasan Teluk Kumbar, Gertak Sanggul, Sungai Udang, Jelutong dan Gelugor, manakala tahap ketiga nelayan di kawasan Pulau Betong dan Balik Pulau. Jumlah sagu hati diputuskan selepas beberapa siri perbincangan dengan JKSB selepas nelayan membuat tuntutan kerana hasil tangkapan mereka merosot akibat kerja pembinaan jambatan. Walaupun jumlah itu adalah separuh daripada tuntutan, kami berharap nelayan menerimanya... mungkin ada yang tidak berpuas hati tetapi terima dulu sagu hati ini dan selepas ini kita boleh bincang lagi, katanya.
Setiap nelayan menerima elaun sebanyak RM200 yang disampaikan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Jelutong, Abdul Razak Abdul Rahman.
Berikutan itu, mereka meminta kerajaan memberikan pampasan bagi membantu mengurangkan kesan daripada kemerosotan hasil tangkapan. Mengulas lanjut, Raja Kahalid berkata, penerima sagu hati itu terdiri daripada pemilik bot dan pekerja di atas bot serta yang baru memperoleh lesen pada 2008 hingga 2010. Mereka membabitkan seramai 362 pemilik bot dan 279 pekerja atas bot bagi penerima tahap satu, seramai 989 pemilik bot dan 772 pekerja atas bot (tahap dua) dan seramai 316 pemilik dan 164 pekerja atas bot (tahap tiga). |
| You are subscribed to email updates from Berita Harian: Wilayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan