Selasa, 18 Oktober 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Pendapatan nelayan merosot

Posted: 17 Oct 2011 05:36 PM PDT

Wilayah

NELAYAN mengadu masalah mereka kepada wartawan pada sidang media di Kampung Pantai Beserah, Kuantan.

NELAYAN mengadu masalah mereka kepada wartawan pada sidang media di Kampung Pantai Beserah, Kuantan.

Bot pukat tunda ceroboh kawasan perairan 15 batu nautika dari pantai

KUANTAN: Pihak berkuasa maritim diminta meningkatkan penguatkuasaan terhadap nelayan bot pukat tunda yang didakwa semakin berani menjalankan aktiviti dalam kawasan perairan 15 batu nautika dari pantai.

Tindakan nelayan terbabit menyebabkan banyak tukun tiruan yang menjadi tempat pembiakan ikan musnah, sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan pantai yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut. Ahli Lembaga Pengarah Persatuan Nelayan Pahang, Mohd Zainon Ali berkata pencerobohan bot pukat tunda semakin ketara pada musim tengkujuh apabila mereka tidak dapat ke tengah laut, sebaliknya menjalankan kegiatan menunda dalam kawasan 15 batu nautika dari pantai.

"Kami berharap pihak berkuasa maritim termasuk Jabatan Perikanan mempertingkatkan penguatkuasaan di kawasan terbabit, terutama lima batu nautika dari pantai bagi melindungi tukun tiruan di sepanjang pantai.

"Kegiatan bot pukat tunda ini berleluasa di sepanjang pantai, terutama dari Beserah ke Pantai Chendor berdekatan sempadan Kemaman," katanya.

Beliau berkata, mengikut peraturan kawasan perairan negeri dibahagikan kepada empat zon, iaitu zon A, B, C dan C2.
Katanya, zon A meliputi kawasan 30 batu nautika dari Pantai, diikuti 25 batu nautika (zon B), 12 batu nautika (zon C) dan lapan batu nautika (zon C2).

"Kawasan 15 batu nautika dianggap strategik kepada nelayan pantai kerana ia mempunyai banyak tukun tiruan seperti konkrit dan sisa buangan dari plastik yang dijadikan tukun bertujuan sebagai tempat pembiakan ikan spesies kembung, selar dan kerisi.

"Bagaimanapun, gelombang besar dan laut bergelora pada musim tengkujuh seperti bulan November, Disember dan Januari menyebabkan bot besar yang menggunakan pukat tunda merapat ke pantai," katanya.

Mohd Zainon yang juga Ketua Kampung Balok berkata, 500 nelayan pantai dari Beserah ke Chendor bergantung kepada sumber laut dengan pendapatan antara RM500 dan RM500 sehari.

"Dengan ancaman daripada bot pukat tunda, mereka kini hanya mampu memperoleh pendapatan purata RM100 sehari dan ada di antaranya sekadar mendapat RM60 sehari.

"Jika tiada ancaman ini, sesetengah nelayan pantai memperoleh sehingga RM1,000 sehari," katanya.

Beliau turut meminta kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menarik balik keputusan membekukan pengeluaran lesen khas sampan untuk nelayan pantai.

Katanya sejak lesen itu dibekukan, ramai nelayan pantai yang tidak mempunyai lesen masih turun ke laut kerana sesetengahnya bergantung kepada sumber laut.

Full content generated by Get Full RSS.

60 penduduk hilang kediaman

Posted: 17 Oct 2011 05:34 PM PDT

Wilayah

Tze Tzin (kiri) berbincang dengan pemilik rumah yang bakal kena roboh atas perintah mahkamah di Sungai Nibong Besar, semalam.

Tze Tzin (kiri) berbincang dengan pemilik rumah yang bakal kena roboh atas perintah mahkamah di Sungai Nibong Besar, semalam.

Perintah mahkamah jalankan projek pembangunan Sungai Nibong Besar

GEORGETOWN: Lebih 60 penduduk Kampung Sungai Nibong Besar di sini, bakal hidup merempat apabila diarahkan mengosongkan rumah masing-masing walaupun belum mendapat sebarang pampasan daripada pemaju.

Arahan pengosongan dan meroboh empat daripada 12 rumah diserahkan oleh pegawai bailif Mahkamah Majistret Balik Pulau, Ahmad Abdul Karim, semalam, bagi membolehkan pemaju menjalankan projek di kawasan berkenaan. Kebanyakan penduduk yang menetap selama dua generasi di kampung itu mendakwa tiada kakitangan syarikat pemaju tampil untuk berbincang, melainkan peguam yang dilantik untuk mengarahkan perpindahan sejak tanah yang didiami mereka, dibeli setahun yang lalu.

Pemaju dipercayai enggan berjumpa penduduk walaupun setuju memberi pampasan sebanyak RM30,000 berbanding permintaan penduduk iaitu rumah diganti rumah.
Bagaimanapun, sehingga kini tiada pampasan dibayar kepada penduduk.

Tinjauan Berita Harian mendapati 40 penduduk termasuk ahli UMNO Bayan Baru yang diketuai Ketua Bahagiannya, Datuk Rahim Saibu mengadakan bantahan bagi menghalang kerja pengosongan, sejak jam 8 pagi semalam.
Tiada kerja meroboh dilakukan semalam, cuma bailif mahkamah menyerahkan notis kepada pemilik empat rumah berkenaan.

Susulan bantahan itu, kira-kira 20 anggota polis ditempatkan di kampung berkenaan untuk memastikan tiada sebarang kejadian tidak diingini.

Difahamkan, kerja pengosongan ditangguhkan sementara selepas mendapat nasihat Rahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pantai Jerejak, Sim Tze Tzin, yang berjumpa dengan wakil pemaju bagi mencari jalan penyelesaian.

Seorang penduduk, Zakaria Sahak, 48, yang menetap lebih 50 tahun di kampung itu, berkata semua penduduk yang terbabit sudah diarahkan berpindah awal bulan lalu tetapi mereka enggan kerana tuntutan tidak dipenuhi.

Katanya, keadaan semakin teruk apabila empat rumah menerima notis pengosongan semalam sehingga menyebabkan penduduk berang kerana tidak berpuashati dengan pengendalian kes berkenaan.

"Zaman sekarang, mana boleh dapat rumah dengan harga sedemikian dan disebabkan itulah kami meminta agar diberi sebuah rumah atau paling kurang flet kos sederhana kerana tiada seorangpun daripada kami mempunyai rumah," katanya.

Suri rumah, Hasnah Hassan, 50, berkata dia sekeluarga terkejut apabila menerima notis pindah sedangkan tiada sebarang makluman atau persetujuan antara penduduk dan pemaju.

"Jika kami keluar, ke mana mahu pergi dan tinggal... pemaju langsung tidak menunjukkan minat untuk berbincang hingga menyebabkan penduduk hilang arah.

"Kami bersedia berpindah jika pampasan yang diberikan memuaskan hati semua pihak... kami tidak minta banyak, hanya sebuah rumah untuk kami berteduh saja," katanya.

Rahim berkata pihaknya bukannya menentang perintah mahkamah tetapi hanya menahan pelaksanaan demi kepentingan penduduk.

"Kami mahukan keadilan kepada penduduk kerana mereka langsung tidak menerima pampasan, malah pampasan yang dijanjikan juga tidak setimpal. Penduduk bukannya menentang pembangunan tetapi mereka kena memikirkan di mana tempat untuk berteduh," katanya.

Tze Tzin, berkata beliau akan berusaha untuk mendapatkan pampasan yang adil bagi penduduk seperti sebuah rumah dan wang pindah sebanyak RM5,000.

"Saya sendiri akan berjumpa dengan pemaju bagi memastikan apa yang diinginkan penduduk dapat ditunaikan kerana kebanyakan penduduk sudah menetap di sini sejak puluhan tahun dulu," katanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan