Berita Harian: Wilayah |
| Sarang burung Malaysia patuhi piawaian WHO Posted: 14 Oct 2011 04:56 PM PDT Wilayah PUTRAJAYA: Kerajaan akan menghantar wakil ke China bagi menjelaskan kandungan nitrat sarang burung dari Malaysia mematuhi piawaian ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekali gus menyangkal dakwaan pihak tertentu bahawa kebanyakan sarang burung dari Malaysia mungkin barang tiruan.Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Chua Tee Yong, berkata kementeriannya juga sedang bekerjasama dengan industri sarang burung tempatan bagi mewujudkan sistem jejak dagangan (trade tracking) untuk memastikan sarang burung yang dieksport ke China benar-benar berasal dari Malaysia. "Kita akan mengesyorkan supaya kerajaan China menerima pakai kaedah ini bagi memastikan negara asal sarang burung diimport republik itu. Tidak semua sarang burung dijual di China berasal dari sini, sebaliknya banyak negara lain turut mengeksport produk terbabit. "Saya juga tidak menolak kemungkinan ada pihak yang memalsukan label buatan Malaysia kerana barang kita terbukti bermutu dan ada permintaan tinggi, seperti yang berlaku kepada buah tembikai baru-baru ini," katanya selepas merasmikan Hari Telur Sedunia 2011, semalam.Baru-baru ini, dua pemborong yang mengendalikan ratusan pusat perniagaan di Guangzhou, China, dilapor menghentikan jualan sarang burung Malaysia berikutan arahan pihak berkuasa negara berkenaan. Mengenai industri telur negara, Tee Yong berkata tahap pengeluaran pada kadar 115 peratus setahun adalah memadai hingga 2020 untuk menampung permintaan tempatan, malah sebarang lebihan yang sedia ada tidak cukup bagi memenuhi permintaan pasaran eksport. |
| Peluang jadi usahawan Kedai Rakyat 1Malaysia Posted: 14 Oct 2011 04:41 PM PDT Wilayah PUTRAJAYA: Kabinet semalam memutuskan pengendalian Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang diwujudkan khusus untuk membolehkan rakyat mendapat barang keperluan pada harga lebih rendah, dibuka kepada orang ramai bagi memberi peluang perniagaan kepada mereka yang berminat.Pada masa ini, KR1M diuruskan oleh konglomerat runcit terkemuka, Mydin Mohamed Holdings Bhd (Mydin) yang memiliki rangkaian pasar raya Mydin. Bagaimanapun, semua pengendali KR1M itu hanya dibenarkan mendapat bekalan dari Mydin dan sebarang kos pengubahsuaian serta modal untuk membuka kedai ditanggung sendiri oleh pihak terbabit. Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata garis panduan berhubung perkara itu akan dikeluarkan dan diharap mampu menyumbang kepada pembukaan lebih banyak cawangan KR1M di seluruh negara."Individu, peruncit atau usahawan yang berminat membuka KR1M perlu mematuhi syarat yang akan diumumkan nanti dan mereka hanya dibenarkan mendapatkan produk KR1M dari Mydin. "Ini bagi memastikan tahap kualiti dan harga semua 250 produk yang dijual adalah sama," katanya selepas melancarkan Program Francais Komuniti dan insentif cukai bagi industri francais di sini, semalam. Kelmarin, Ismail Sabri dilaporkan berkata cadangan supaya pengendalian KR1M dibuka kepada orang ramai akan dikemukakan kepada Kabinet untuk kelulusan berikutan terdapat tuduhan pihak tertentu bahawa KR1M dimonopoli Mydin sepenuhnya. |
| You are subscribed to email updates from Berita Harian: Wilayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan