Isnin, 10 Oktober 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Bimbang lubuk ikan musnah

Posted: 09 Oct 2011 01:53 PM PDT

Wilayah

HASHIM menunjukkan kawasan projek pembinaan chalet terapung yang didakwa boleh menyebabkan kerosakan kawasan pembiakan ikan di perairan Teluk Kemang.

HASHIM menunjukkan kawasan projek pembinaan chalet terapung yang didakwa boleh menyebabkan kerosakan kawasan pembiakan ikan di perairan Teluk Kemang.

Kedudukan projek chalet terapung dikatakan hampir batu karang

PORT DICKSON: Kira-kira 100 nelayan yang mencari rezeki di perairan Teluk Kemang di sini, bimbang projek pembinaan chalet terapung berhampiran pekan Sungai Menyala di sini, bakal mengakibatkan kemusnahan kawasan pembiakan ikan utama di situ.

Mereka mendakwa, walaupun tidak dibina di atas batu karang, kedudukan projek itu agak hampir dan boleh menyebabkan kerosakan ekosistem pembiakan ikan di kawasan berkenaan. Nordin Awang, 56, berkata nelayan mempertikaikan kelulusan projek membina chalet terapung di kawasan itu sedangkan nelayan sendiri tidak dibenarkan menangkap ikan di situ.

"Jika kami yang hanya menaiki sampan tidak dibenarkan menangkap ikan di situ, bagaimana satu projek berskala besar di atas air yang jelas memerlukan sokongan struktur kukuh di dasar boleh diluluskan.

"Kami bimbang, projek ini akan menjejaskan sumber rezeki nelayan di kawasan ini kerana ikan tidak lagi mempunyai tempat pembiakan yang sesuai, " katanya kepada Berita Harian di sini.

Beliau turut mendakwa pemaju tidak berbincang dengan semua nelayan terbabit serta memberi pampasan kepada mereka walaupun projek itu dimulakan sejak 1 Ogos lalu.
Nelayan, Hashim Mahat, 49, mendakwa berdasarkan sejarah lalu pembinaan membabitkan kawasan laut di sepanjang pantai bandar ini menyebabkan jumlah tangkapan nelayan Teluk Kemang akan berkurangan.

"Pemaju perlu memberi pampasan kepada semua nelayan kawasan Teluk Kemang yang mengharapkan ikan dari kawasan itu dan bukan hanya nelayan dari pangkalan paling hampir dengan tapak projek," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Sembilan, Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, projek terbabit tidak menjejaskan kawasan pembiakan ikan, sebaliknya akan membantu proses itu.

"Untuk jangka panjang, struktur cerucuk chalet terapung akan menjadi kawasan karang baru dan ini memperluaskan kawasan pembiakan ikan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) sentiasa memantau rapi aktiviti pembinaan projek itu bagi memastikan tiada pencemaran atau keadaan yang boleh menjejaskan ekosistem laut.

Mengenai larangan menangkap ikan di kawasan itu, katanya, peraturan itu dibuat bagi membolehkan ikan yang membiak membesar sebelum keluar dari situ.

Sementara itu, wakil syarikat pemaju yang enggan namanya disiarkan, mendakwa pihaknya sudah mengadakan dialog dengan nelayan terbabit sebelum ini.

"Bagaimanapun, kami diberitahu tidak semua nelayan dipanggil, namun ia bukan salah kami," katanya yang enggan mengulas mengenai pampasan.


PIBG rayu SK Jelai diganti baru

Posted: 09 Oct 2011 01:51 PM PDT

Wilayah

 KEADAAN  SK Jelai Batu Kurau yang terbakar pada 25 Ogos 2010.

KEADAAN SK Jelai Batu Kurau yang terbakar pada 25 Ogos 2010.

Murid guna bangunan usang selepas sekolah terbakar setahun lalu

BATU KURAU: Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jelai, di sini, terpaksa menggunakan bangunan papan usang berusia lebih 100 tahun sebagai tempat belajar sementara berikutan bangunan sekolah mereka yang terbakar setahun lalu tidak dibaik pulih.

Lebih malang, lebih 300 penghuninya yang dikategorikan dalam sekolah rendah gred A di daerah itu turut berdepan dengan risiko dihempap runtuhan kayu kerana premis yang diduduki sekarang ini terlalu daif. Naib Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Zainal Abidin Mohd Kassim, 42, berkata murid dan semua kakitangan sekolah itu terpaksa menggunakan bangunan sekolah lama berusia lebih 100 tahun kerana bangunan utama terbakar sejak setahun lalu belum dibaik pulih.

"Sejak kebakaran berlaku pada 25 Ogos tahun lalu, sebahagian daripada 287 murid terpaksa meneruskan sesi pembelajaran di bangunan papan usang yang dibina pada 1878 terletak berhampiran bangunan yang terbakar. Pihak pentadbiran sekolah juga terpaksa 'mengorbankan' bilik komputer untuk dijadikan bilik guru besar yang baru selain mengubah suai makmal sains untuk kegunaan bilik guru.

"Kami tidak ada pilihan selain menggunakan bangunan lama kerana murid terpaksa meneruskan pelajaran, manakala guru serta kakitangan sekolah perlu menjalankan tugas masing-masing," katanya ketika ditemui, kelmarin.

Zainal Abidin berkata, situasi ini mengecewakan masyarakat setempat khususnya di kalangan ibu bapa kerana menyifatkan masalah itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia boleh mengancam penghuni sekolah, selain menimbulkan ketidakselesaan kepada pelajar dan guru.
"Bangunan terbakar itu dibiarkan tanpa sebarang usaha baik pulih. Kami sedih dengan sikap sambil lewa beberapa pihak termasuk individu harapan kami yang sepatutnya menjaga kebajikan serta kepentingan penduduk di daerah ini langsung tidak mengendahkan masalah itui," katanya.

Zainal berkata, pihak berkaitan mungkin mengandaikan masalah itu tidak merumitkan, sedangkan bangunan terbakar itu turut menempatkan bilik guru besar, penolong kanan, penolong kanan hal ehwal murid dan kokurikulum, pusat sumber dan enam bilik darjah.

Sementara itu, bapa kepada seorang murid yang juga penduduk di situ, Mamat Abdullah, 51, turut berpendapat masalah itu perlu diselesaikan secepat mungkin dan bangunan baru perlu dibina bagi memastikan keselesaan murid untuk belajar dengan lebih baik.

"Saya hairan bagaimana ada pihak mencadangkan bangunan terbakar itu hanya perlu dibaik pulih tanpa dibina baru sedangkan keputusan Jabatan Bomba dan Penyelamat Batu Kurau memutuskan bangunan itu tidak boleh digunakan lagi.

"Bangunan terbakar itu perlu diroboh dan digantikan yang baru atas tapak asal. Kami bukannya mahu bangunan untuk dijadikan premis hiburan tetapi ia tempat untuk murid dan guru sekolah belajar serta bertugas dengan selesa," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan