Berita Harian: Wilayah |
| Posted: 05 Oct 2011 04:27 PM PDT Wilayah PEMBAHAGI jalan dan tanda amaran tidak jelas pada waktu malam bahayakan pengguna persimpangan Senibong-Lebuh Raya Pasir Gudang, JOHOR BAHRU: Pembahagi jalan yang tidak dicat selain pencahayaan kurang terang pada waktu malam antara faktor utama penyebab kemalangan membabitkan pengguna jalan raya di persimpangan Senibong-Lebuh Raya Pasir Gudang, di sini. Kemalangan mungkin berlaku di kawasan berkenaan disebabkan kekeliruan, tetapi ia dapat dielakkan jika pihak pengurusan lebuh raya berkenaan mengambil tindakan segera menangani masalah berkenaan. Bagi mereka yang pertama kali melalui lebuh raya itu pada waktu malam, ia mungkin lebih berisiko kerana mudah terkeliru serta panik kerana mungkin tidak sedar akan wujudnya pembahagi jalan di kawasan agak curam dan selekoh di hujungnya agak tajam.Kesulitan bertambah kerana jalan susur itu laluan tunggal untuk pemandu membuat pusingan U kembali ke pusat bandar. Penduduk, Mohd Hamdan Syarie, 36, dari Kota Masai, berkata kemalangan kerap berlaku di kawasan berkenaan berpunca daripada pembahagi jalan tidak dicat bagi memudahkan pengguna melihatnya. "Jika ia tidak dicat, cahaya dari lampu kenderaan akan melantun semula dan ini menyilaukan mata pemandu manakala jarak pembahagi jalan dengan jalan susur pula sangat rapat. "Kebiasaannya pembahagi jalan begitu mesti dicat dengan warna kuning berselang hitam agar pemandu sedia maklum dan lebih berhati hati. Warna kuning itu adalah ciri keselamatan di kebanyakan lebuh raya dan ia tidak boleh diabaikan. "Selain itu keadaan yang gelap juga menyukarkan pandangan hingga jika terleka sedikit, pastinya akan terlanggar pembahagi jalan di tengah laluan berkenaan," katanya. Pengguna lebuh raya, Jaffar Karib, 44, dari Pasir Gudang, berkata tanda amaran pembahagi jalan itu agak hampir dengan pembahagi jalan yang tidak bercat di laluan berkenaan. "Jalan susur ini juga agak curam dan merbahaya, sudah banyak kemalangan berlaku di sini namun masih tidak ada tindakan yang diambil untuk memperbaikinya. Jika difikirkan, pembinaan pembahagi, tanda jalan dan garisan sudah ada namun pencahayaan dan warna pada pembahagi perlu disegerakan agar dapat mengurangkan risiko kemalangan di sini. "Apalah maknanya kerja naik taraf jika ciri keselamatannya diabaikan. Kami tidak mahu nanti dikatakan lebuh raya naik taraf namun kadar kemalangan juga turut naik," katanya. Katanya, bukan pembahagi jalan saja tidak dicat, malah hampir seluruh lebuh raya yang dibina di sepanjang Bakar Batu menghala ke Pasir Gudang tidak dicat oleh pemaju. |
| Kerja alih menara kren selesai Posted: 05 Oct 2011 04:26 PM PDT Wilayah KEADAAN rumah kedai yang dihempap kren awal pagi, semalam. GEORGETOWN: Kerja mengalihkan menara kren yang menghempap rumah kedai dan bangunan menempatkan pejabat Agensi Penguatkuaasan Maritim Malaysia (APMM) di Jalan Bahari, di sini, kelmarin, selesai awal pagi semalam. Meskipun kerja itu selesai jam 2.30 pagi, iaitu kira-kira 26 jam selepas kejadian, kawasan lokasi iaitu sebahagian Jalan Bahari dan Jalan Transfer, masih ditutup kepada semua kenderaan atas faktor keselamatan dengan anggota polis turut ditempatkan di situ. Bagaimanapun, struktur bilik pengawal kren dan batu yang dijadikan pemberat masih berada di dalam rumah kedai berkenaan.Kerja mengalihkan kren dipantau pegawai Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Pulau Pinang. Kren kini ditempatkan di tapak pembinaan hotel bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. Berikutan kejadian itu, kira-kira 40 pegawai dan anggota APMM yang terpaksa mengosongkan pejabat dan mereka dijangka berpindah ke bangunan sementara. Pengguna jalan raya dari Jalan Penang dan Jalan Transfer yang ingin ke Jalan Sultan Ahmad Shah atau Jalan Sri Bahari dilencongkan ke Jalan Argyll/Jalan Larut.
Mangsa yang maut ialah Liang Yit Kwang, 65, manakala mangsa yang cedera ialah Luar Chooi Guan, 78 dan isterinya, Chew Chong Choo, 76, dan anaknya, Luar Seong Ean, 54. Mereka masih dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP). Sementara itu, Pengarah JKKP negeri, Mohd Anuar Embi, berkata pihaknya sedang melakukan pemeriksaan teknikal ke atas menara kren berkenaan selepas memindahkannya ke tapak pembinaan hotel. Siasatan ditumpukan ke atas pelbagai faktor seperti cara pemasangan, bahan yang digunakan, pihak memasang dan cara pelaksanaan kerja serta bekerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk mengetahui faktor cuaca seperti angin dan hujan ketika kejadian. "Saya tidak pasti tempoh yang diambil dan siasatan mungkin mengambil masa beberapa bulan sebelum sebarang rumusan dapat dilakukan," katanya. Mengenai arahan larangan meneruskan projek pembinaan hotel itu, Mohd Anuar berkata, pihaknya hanya mengeluarkan arahan ke atas kerja mengangkat atau mengalih yang membabitkan kren. "Kerja selain penggunaan kren, dibenarkan, malah jika pemaju mahu meneruskan projek dengan menggunakan kren, mereka perlu memperbaiki tahap keselamatan berpandukan undang-undang sedia ada. "Pemaju juga perlu menyediakan cadangan pelaksanaan kerja yang selamat serta jaminan dan jika menepati garis panduan, penggunaan kren akan dibenarkan," katanya. Ketua Penguat Kuasa APMM Daerah Maritim 2, Komander Maritim Robert Teh Geok Chuan berkata, pihaknya dinasihatkan berpindah ke bangunan lain sementara siasatan dilakukan bagi memastikan bangunan pejabat agensi itu selamat diduduki. "Bangunan ini sudah dikosongkan sejak semalam (kelmarin) dan dijangka akan mendapat pejabat sementara selewat-lewatnya hari ini (semalam)," katanya. |
| You are subscribed to email updates from Berita Harian: Wilayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan