Rabu, 5 Oktober 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Unjam nelayan dimusnah

Posted: 04 Oct 2011 03:52 PM PDT

Wilayah

NELAYAN Kampung Sura Hujung, Dungun, Mohamad Ali menunjukkan unjam yang musnah dilanyak bot pukat  tunda.

NELAYAN Kampung Sura Hujung, Dungun, Mohamad Ali menunjukkan unjam yang musnah dilanyak bot pukat tunda.

Segelintir bot pukat tunda tangkap ikan berhampiran pantai

DUNGUN: Segelintir bot pukat tunda dikesan menjalankan operasi menangkap ikan di kawasan berhampiran pantai, walaupun kumpulan bot itu dibenarkan menangkap ikan melebihi lima batu nautika dari daratan.

Perbuatan nelayan bot terbabit bukan saja melanggar peraturan, malah turut menyebabkan kira-kira 300 unjam yang diusahakan nelayan kecil di Kampung Sura Hujung itu dimusnahkan pukat terbabit. Berita Harian yang membuat tinjauan di kampung itu terserempak dengan empat bot pukat tunda terbabit dan sempat merakamkan aksi kegiatan itu bersama bantuan beberapa nelayan di kampung berkenaan.

Nelayan di kampung itu, Raja Syukri Raja Ibrahim, 41, berkata mereka kini sukar mencari rezeki apabila bot pukat tunda turut mengganggu lokasi mereka memasang unjam.

Beliau berkata, 300 unjam yang diusahakan 40 nelayan pesisir pantai di Kampung Sura Hujung habis dilanyak bot terbabit, yang disifatkan nelayan di kampung itu sebagai tidak berperikemanusiaan.

Katanya, bot pukat tunda terbabit gemar memukat di kawasan unjam, memandangkan banyak ikan bermutu tinggi gemar bermain di kawasan unjam.
"Unjam daripada ranting dan daun itu dibenamkan dalam laut. Ia akan menjadi tempat pembiakan ikan dan memudahkan nelayan kecil menangkap ikan tanpa mencari lokasi lain.

"Bot pukat tunda dipercayai tidak berlesen itu memukat hampir di daratan sedangkan syarat pukat tunda melebihi lima batu nautika. Bagaimana kami mahu mencari rezeki jika keadaan begini berpanjangan," katanya.

Raja Syukri berkata, pemilik bot terbabit dikatakan menangkap ikan pada waktu petang dan malam kerana ketika itu, pihak berkuasa menghentikan operasi memantau kegiatan nelayan.

"Setiap petang, jika berada di daratan, kita boleh nampak jelas bot pukat tunda itu beroperasi. Kita tidak marah mereka mencari rezeki, tetapi tindakan itu jangan sampai memusnahkan unjam kami," katanya.

Nelayan, Raja Saharudin Raja Ibrahim, 30, berkata 250 unjam yang diletakkan di perairan itu sejak April lalu musnah angkara perbuatan bot pukat tunda terbabit.

Katanya, unjam yang diusahakannya membabitkan perbelanjaan RM5,000 itu adalah sumber nelayan kecil di kampungnya memancing ikan seperti bawal, kerisi, cencaru dan selayang untuk dijual atau makanan keluarga.

"Saya memerah keringat membina unjam terbabit dan kini hanya tinggal tiga unjam," katanya.

Raja Saharudin berkata, setiap hari nelayan di kawasan itu memperoleh pendapatan sekitar RM100, tetapi akibat kemusnahan unjam itu pendapatan nelayan berkurangan.

"Kami kecewa dengan apa yang berlaku kerana ia menjejaskan usaha kami mencari pendapatan sebagai nelayan di kampung ini. Kami bimbang untuk ke tengah laut memandangkan kami hanya nelayan bot kecil," katanya.

Beliau berkata, kes itu sebelum ini pernah diadukan nelayan kepada pihak berkuasa tetapi bot pukat tunda semakin galak dan bebas beroperasi di situ.

Sementara itu, Ahli Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh berkata, beliau kesal dengan kejadian menimpa nelayan di kawasan itu dan berjanji akan melaporkan perkara itu kepada Pejabat Perikanan Daerah.


Gua Kelam ditutup hingga tahun depan

Posted: 04 Oct 2011 03:51 PM PDT

Wilayah

 KEADAAN  dalam Gua Kelam yang rosak dan berbahaya kepada pengunjung.

KEADAAN dalam Gua Kelam yang rosak dan berbahaya kepada pengunjung.

Dana RM500,000 digunakan bagi baik pulih, indahkan kemudahan

PADANG BESAR: Gua Kelam yang menjadi antara tujuh tarikan utama negeri ini akan ditutup kepada pengunjung sehingga pertengahan tahun depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Tanah, Perhutanan dan Penguatkuasaan negeri, Datuk Mat Rawi Kassim.

Beliau berkata, penutupan itu dibuat berikutan kerosakan teruk dialami Gua Kelam membabitkan kemudahan atau infrastruktur terutama di dalam gua terbabit susulan banjir terbaru yang melanda Perlis, pertengahan bulan lalu. Selain keadaan fizikal Gua Kelam yang tidak sempurna dan mendatangkan risiko bahaya kepada pengunjung, katanya, penutupan terbabit turut dibuat untuk memberi laluan kepada kerja membaik pulih kawasan serta kemudahan gua, sekali gus mengembalikan semula keindahan tarikan.

"Kita dapati banyak kemudahan rosak termasuk jambatan kayu sepanjang kira-kira 370 meter yang menjadi laluan utama merentasi gua yang terputus akibat dihempap batu ketika banjir.

"Selain itu, sampah sarap serta longgokan kayu turut memenuhi ruangan gua sehingga mencacatkan keadaan, dipercayai akibat banjir yang turut menenggelamkan laluan gua berkenaan," katanya selepas meninjau keadaan Gua Kelam, di sini.

Berita Harian, semalam melaporkan Gua Kelam ditutup buat kali kedua selepas jambatan sepanjang 370 meter yang menjadi laluan ke tarikan utama negeri itu rosak dan kegagalan pihak pengurusan memaklumkan mengenai kejadian itu menyebabkan pengunjung hampa.
Sementara itu, tinjauan Berita Harian ke lokasi itu mendapati masih ramai pelancong terutama rakyat tempatan mengunjungi Gua Kelam. Bagaimanapun, masing-masing pulang dengan hampa selepas ia ditutup.

Difahamkan, Gua Kelam yang dilapor menjana kutipan tiket sehingga RM3 juta setahun, dibuka kurang tiga bulan lalu selepas kerja membaik pulih kemudahan serta infrastruktur yang rosak akibat banjir besar pada November 2010 dan Mac lalu membabitkan belanja kira-kira RM500,000, selesai.

Kini, selepas banjir sekali lagi melanda Perlis termasuk Wang Kelian bermula 11 September lalu, segala kemudahan terbabit kembali rosak, lebih-lebih lagi apabila Gua Kelam sendiri dilapor tenggelam susulan peningkatan mendadak paras air Sungai Pelarit, di sini.

Mat Rawi berkata, buat masa sekarang Gua Kelam terpaksa ditutup dan pihaknya akan menggunakan baki peruntukan RM500,000 yang masih ada untuk membaik pulih kerosakan dialami yang dijangka bermula dalam tempoh dua minggu.

"Selain kerja baik pulih, kita juga merancang untuk membina dua kolam takungan di Wang Kelian dan Gua Kelam untuk mengelak limpahan Sungai Pelarit yang turut menjadi punca utama banjir yang menjejaskan Gua Kelam," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan