Isnin, 3 Oktober 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Pulau Pinang tak pernah kena pinggir

Posted: 02 Oct 2011 02:47 PM PDT

Wilayah

 MUSA (kiri) menyampaikan bantuan kerusi roda kepada penerima  sambil diperhatikan ADUN  Seberang Jaya,  Datuk Ariff Shah Omar Shah (kanan).

MUSA (kiri) menyampaikan bantuan kerusi roda kepada penerima sambil diperhatikan ADUN Seberang Jaya, Datuk Ariff Shah Omar Shah (kanan).

Perancangan projek berjalan lancar dengan peruntukkan RM3.6b

BUTTERWORTH: Meskipun diperintah pembangkang, perancangan projek di Pulau Pinang berjalan lancar dengan RM3.6 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan peringkat pertama Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

Pegawai Kemajuan Negeri, Nik Ali Mat Yunus, berkata peruntukkan itu tidak termasuk beberapa projek besar yang sedang dilaksanakan seperti pembinaan Jambatan Pulau Pinang Kedua yang berharga RM4.5 bilion.

Peruntukkan itu tidak termasuk beberapa projek besar yang sedang dilaksanakan seperti pembinaan Jambatan Pulau Pinang Kedua yang berharga RM4.5 bilion. - Nik Ali Mat Yunus, Pegawai Kemajuan Negeri

Ia juga tidak mengambil kira projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang membabitkan kos RM250 juta dan projek mengorek laut di Pelabuhan Pulau Pinang (RM350 juta).

Katanya, peruntukan itu juga tidak termasuk dana yang diberikan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berjumlah kira-kira RM40 juta untuk diagihkan kepada penerima pelbagai kategori.

"Ini membuktikan Pulau Pinang tidak pernah dipinggirkan walaupun ditadbir oleh pakatan pembangkang," katanya pada majlis Program Ziarah Kesejahteraan Bandar anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) di sini.

Pada majlis itu, Timbalan Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir, yang mewakili Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M Saravanan menyampaikan sumbangan yang merangkumi bantuan persekolahan, bantuan baik pulih rumah dan peralatan kesihatan.
Bantuan bertujuan memastikan setiap warga bandar berpeluang menjalani kehidupan lebih kondusif dan berdaya saing bagi membolehkan mereka keluar dari kepompong kemiskinan dan ke arah kehidupan lebih berkualiti.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Kesejahteraan Bandar dan Pengurusan) KWPKB, Datuk Adnan Md Ikshan, berkata sebanyak RM19 juta diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) tahun ini.

Antara projek dilaksanakan ialah projek membaik pulih rumah, bayaran sewa bulanan rumah dan pembelian Amanah Saham Wawasan.

Katanya, di peringkat awal, kementeriannya memberi bantuan yang dapat meringankan beban tanggungan keluarga.

"Kini, PPKB diperkukuhkan dengan memberi tumpuan kepada projek dan bantuan yang dapat meningkatkan kualiti hidup dan memberi pendapatan tambahan kepada golongan sasar dan seterusnya mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan," katanya.


Polis temui pistol ketika serbu pusat hiburan

Posted: 02 Oct 2011 02:46 PM PDT

Wilayah

KUALA LUMPUR: Seramai 36 orang daripada 188 pengunjung sebuah pusat hiburan di Kepong, di sini didapati positif dadah dalam Ops Cegah Jenayah yang dijalankan sepasukan Polis Daerah Sentul awal pagi semalam.

Dalam operasi jam 1.30 pagi itu, polis turut menemui sepucuk pistol jenis Glock milik seorang pengawal atau `bouncer' berusia dalam lingkungan 30-an yang diberikan kepada juruwang pusat hiburan sama bagi mengelak dikesan polis.

Namun tindak tanduk juruwang berkenaan yang dilihat berada dalam keadaan cemas dan mencurigakan, memaksa polis melakukan pemeriksaan sebelum menemui pistol disembunyikan dalam buku log pusat hiburan itu. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, operasi dilakukan selepas polis mendapati premis di tingkat empat sebuah pusat beli-belah itu sering menjalankan operasi melebihi masa dibenarkan.

"Berdasarkan rekod lampau, premis hiburan ini sering diserbu polis Bukit Aman dan polis Kontinjen Kuala Lumpur kerana menjalankan operasi melebihi masa dibenarkan, selain terdapat penyalahgunaan dadah.

"Kita mengesyorkan pihak berkuasa tempatan (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) mengkaji dan menilai semula permit hiburan di premis itu untuk pembatalan atau tidak diperbaharui," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenalpasti motif sebenar bouncer pusat hiburan berkenaan memiliki pistol.
Katanya, polis turut menahan juruwang dan teman wanita suspek untuk siasatan lanjut.

"Kita masih menjalankan siasatan daripada semua aspek termasuk mengesan sama ada suspek menggunakan pistol itu untuk tujuan jenayah serta menggunakannya untuk menyamar sebagai anggota polis," katanya.

Mereka didapati positif dadah jenis ganja, ecstacy dan syabu ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (b) Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala lelaki yang memiliki pistol itu ditahan mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan