Rabu, 19 Oktober 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Digital transformasi pelengkap

Posted: 19 Oct 2011 02:44 PM PDT

Nasional

NAJIB pada sidang media selepas Mesyuarat ke-14 Panel Penasihat Antarabangsa Malaysia, Koridor Raya Multimedia  di pejabatnya, di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan Muhyiddin dan Badlisham  (tiga dari kanan).

NAJIB pada sidang media selepas Mesyuarat ke-14 Panel Penasihat Antarabangsa Malaysia, Koridor Raya Multimedia di pejabatnya, di Putrajaya, semalam. Turut kelihatan Muhyiddin dan Badlisham (tiga dari kanan).

Sebahagian inisiatif tumpu inovasi, kreativiti serta produktiviti: Najib

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak semalam mengumumkan Program Transformasi Digital dinamakan Digital Malaysia, sekali gus melengkapkan Agenda Transformasi Nasional yang memacu ke arah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Perdana Menteri berkata, inisiatif Digital Malaysia adalah satu daripada program transformasi utama dalam dasar transformasi nasional yang juga inisiatif terakhir diketengahkan selepas Program Transformasi Kerajaan (GTP), Model Baru Ekonomi (MBE), Program Transformasi Ekonomi (ETP), Program Transformasi Politik (PTP) dan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang diumumkan sebelum ini.

Sebahagian inisiatif itu akan memberi tumpuan khusus kepada dua pemacu utama, iaitu inovasi dan kreativiti serta produktiviti. Digital Malaysia menjadi inisiatif utama yang akan dikendalikan Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia (MDeC), katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat ke-14 Panel Penasihat Antarabangsa Malaysia (MIAP), Koridor Raya Multimedia (MSC) di pejabatnya semalam.

Najib turut mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan MSC Malaysia kali ke-23.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, Pengerusi MDeC, Tan Sri Abdul Halim Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MDeC, Datuk Badlisham Ghazali.

Najib berkata, inisiatif Digital Malaysia disasarkan memberi sumbangan RM75 bilion kepada Pendapatan Kasar Negara (GNI) menjelang 2020.
Selain itu, katanya, inisiatif teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) sedia ada menyumbang kepada GNI sebanyak RM93 bilion dan jangkaan RM126 bilion daripada projek ICT di bawah GTP dan ETP.

Ia menjadikan sumbangan keseluruhan inisiatif Digital Malaysia kepada GNI ialah RM294 bilion menjelang 2020.

Menerusi inisiatif Digital Malaysia, kedudukan Malaysia dalam ranking ekonomi digital disasar kepada 20 negara teratas menjelang 2020, berbanding kedudukan 36 pada masa ini, manakala kedudukan daya saing dunia pada ranking ke-10, katanya.

Mengulas mesyuarat MIAP, Najib berkata, ia antara lain membincangkan kaedah untuk menyuntik kemahiran pemikiran kreatif dan inovatif dalam sistem pendidikan.

Terdahulu, berucap sebelum mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaksanaan Koridor Raya Multimedia (MSC), Najib berkata, hasrat kerajaan mewujudkan negara berasaskan Ekonomi Digital memerlukan satu rangka kerja khusus, bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya, selain bagi menjamin keberkesanannya.

Beliau berkata, kerajaan menyedari bidang digital turut berperanan penting atau menjadi teras kepada pelaksanaan program transformasi sedang dijalankan.

Malah, katanya, kerajaan juga sedar era baru perkembangan ekonomi turut dijana menerusi ekonomi berasaskan pengetahuan dengan teknologi digital sebagai pemangkin utamanya.

Full content generated by Get Full RSS.

Wujud kuota lepasan matrikulasi ke IPTA

Posted: 19 Oct 2011 02:41 PM PDT

Nasional

Pelajar bimbang keciciran ke peringkat ijazah sarjana muda

KUALA LUMPUR: Lepasan matrikulasi yang gagal melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menyarankan kerajaan mewujudkan kuota pengambilan bagi mengelak berlakunya lambakan dan keciciran.

Ia sekali gus mengelak lebih ramai lepasan matrikulasi tidak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah sarjana muda di IPTA sehingga terpaksa membelanjakan wang yang banyak ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS).

Lepasan matrikulasi dari Kolej Matrikulasi Melaka, Nor Zahan Abdul Karim, 19, kecewa apabila jaminan yang digembar-gemburkan bahawa peluang mereka tinggi untuk melanjutkan pelajaran ke IPTA tinggi, meleset sama sekali. Saya menamatkan pengajian pada April lalu dalam bidang perakaunan, malah, sudah mengambil keputusan untuk memohon kursus berkaitan di beberapa IPTA tempatan.

Malangnya, saya langsung tidak terpilih walaupun keputusan saya layak ke IPTA," katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.

Zahan berkata, dia tidak berputus asa dan mengemukakan permohonan rayuan kemasukan bagi sesi November, namun, menerima nasib yang sama iaitu tidak diterima masuk.

Beliau yang kini melanjutkan pelajaran di sebuah IPTS di Selangor berharap kementerian akan memberi perhatian kepada lepasan yang senasib dengannya.
Bekas pelajar, Norshahidah Masahid, 19, berkata beliau terkilan dan sedih kerana tidak dapat meneruskan pelajaran ke peringkat tertinggi walaupun sudah menghantar rayuan.

Norshahidah yang mengambil matrikulasi perakaunan di Kolej Matrikulasi Melaka berkata, beliau dimaklumkan ramai lepasan matrikulasi bidang itu tidak dapat melanjutkan pelajaran.

"Terkilan kerana seolah-olah membuang masa setahun begitu saja," katanya yang kini menunggu tawaran melanjutkan pelajaran ke peringkat diploma di IPTA.

Ibu kepada lepasan matrikulasi, Norlia Mohd, 42, berkata sepatutnya lepasan matrikulasi disediakan tempat secara automatik di IPTA bagi mengelakkan mereka membuang masa begitu saja.

"Saya agak terkilan kerana anak tidak dapat melanjutkan pelajaran ijazah sarjana muda di IPTA walaupun layak. Kerajaan perlu mengambil serius perkara ini," katanya.

Sementara itu, EXCO Pemuda UMNO, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, Kementerian Pengajian Tinggi perlu menambah bilangan tempat bagi kursus sarjana muda di universiti awam dan universiti swasta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bagi memastikan tiada lepasan matrikulasi tercicir akibat kekurangan tempat di peringkat universiti.

Beliau berkata, pilihan menyambung pengajian ke universiti swasta, bukanlah saluran bagi lepasan matrikulasi yang sepatutnya memasuki universiti awam.

Beliau berkata, kementerian terbabit perlu melakukan unjuran pengambilan matrikulasi dan penawaran tempat di universiti awam bagi memastikan tiada pelajar matrikulasi tercicir.

Kementerian boleh menimbang menambah bilangan tempat di universiti awam seperti UiTM walaupun jumlah pengambilan di universiti penyelidikan dikurangkan.

Pada masa sama, universiti swasta GLC seperti Universiti Teknologi Petronas dan Universiti Tenaga Nasional boleh memberi keutamaan kepada lepasan matrikulasi tertakluk kelayakan dan bantuan kewangan dari kerajaan," katanya kepada Berita Harian, semalam.

Full content generated by Get Full RSS.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan