Rabu, 5 Oktober 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


'Ambil kira hak asasi manusia'

Posted: 05 Oct 2011 04:41 PM PDT

Nasional

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak keluar dari dewan selepas membentangkan  usul Rang Undang-Undang Buang Negeri 1959 (Pemansuhan) 2011 untuk bacaan kali kedua di Parlimen, semalam.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak keluar dari dewan selepas membentangkan usul Rang Undang-Undang Buang Negeri 1959 (Pemansuhan) 2011 untuk bacaan kali kedua di Parlimen, semalam.

Dua akta baru digubal tetap utamakan keselamatan negara: Gani

SHAH ALAM: Undang-undang baru yang digubal bagi menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dan Akta Buang Daerah, akan mengambil kira keseimbangan di antara hak asasi manusia dan keselamatan negara.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail, berkata dua akta baru itu akan membabitkan undang-undang bagi kesalahan jenayah dan peruntukan untuk menangani kegiatan keganasan serta subversif. Untuk tujuan itu, katanya, beliau dan satu jawatankuasa yang terdiri daripada pakar perundangan dari dalam dan luar negara sedang mengkaji undang-undang terbaik bagi menggantikan dua akta itu.

Menyifatkan pengumuman itu sebagai tepat pada masanya jika Malaysia mahu menjadi sebuah negara yang maju, beliau berkata, negara ini tidak akan berada dalam keadaan darurat.

"Undang-undang boleh digubal mengikut Fasal 149. Tidak payahlah undang-undang itu dibuat mengikut Fasal 150 iaitu Pengisytiharan Darurat.

"Itulah Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) kata, kita akan gubal undang-undang, satu untuk jenayah serius dan satu lagi undang-undang untuk terrorisme serta subversif," katanya pada sidang media selepas Syarahan Umum bertajuk The Current Issues on Preventive Laws di Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini, semalam.
Abdul Gani berkata, walaupun ada pihak bimbang apabila ISA dimansuhkan, perkara itu bukan sesuatu yang berat berikutan Fasal 150 Perlembagaan Persekutuan tidak dimansuhkan.

Katanya, jika berlaku keadaan tertentu yang memerlukan perintah darurat, Perdana Menteri boleh menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan tempoh darurat.

Beliau berkata, jawatankuasa yang terbabit dalam penggubalan dua rang undang-undang itu akan turut dianggotai tiga bekas Ketua Hakim Negara, dua peguam bela berpengalaman, pakar undang-undang dari Amerika Syarikat yang terbabit dalam penggubalan Akta Patriot, pakar undang-undang dari negara Eropah serta negara Komanwel.

Katanya, pandangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) serta agensi kerajaan juga bakal diambil kira sebelum pandangan umum dini-lai bersama.


Subjek Sejarah masih relevan

Posted: 05 Oct 2011 04:40 PM PDT

Nasional

Pertikaian, perdebatan akibat tafsiran tak betul kelirukan masyarakat: TPM

KUALA LUMPUR: Kurikulum mata pelajaran Sejarah di sekolah masih relevan dan ketepatan fakta dalam kandungannya tidak perlu dipertikai atau diperdebatkan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri juga menjelaskan pendiriannya serta kerajaan bahawa negara memang pernah dijajah, sekali gus menjadikan sambutan Hari Kemerdekaan selama ini adalah signifikan. Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, pertikaian dan perdebatan berterusan akibat tafsiran tidak betul oleh pihak tertentu terhadap sejarah, menimbulkan pelbagai masalah terutama salah faham dan mengelirukan masyarakat khususnya pelajar.

Sebagai contoh, beliau berkata, polemik dicetuskan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang membuat tafsiran sejarah berhubung isu Mat Indera daripada perspektif pandangan sendiri tetapi tidak tepat.

Sehubungan itu, katanya, tafsiran sejarah mesti dilakukan tokoh dan pakar dalam bidang itu.

"Dalam kandungan pembelajaran sejarah, yang hendak diisi ialah ketepatan fakta dan tafsiran, tetapi ia mungkin dibuat pelbagai pihak.
"Seperti kes baru-baru ini (polemik dicetuskan Mat Sabu), berlaku debat berpanjangan kerana dilihat dalam konteks berbeza dan jika ditokok elemen politik sehingga mempertahankannya bukan kerana kandungan sejarah, itu bukan asas yang betul.

"Bagi saya, bimbingan kepada anak kita (pelajar) dalam sistem pembelajaran sejarah di sekolah adalah tepat," katanya menjawab soalan tambahan Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) dan Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena), semalam.

Mengenai pendirian negara pernah dijajah, Muhyiddin berkata, perkara itu tidak perlu didebat dan dibahaskan kerana ia sudah diterima rakyat selama 54 tahun kemerdekaan tanah air.

Isu itu berbangkit ekoran kenyataan Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara, Prof Datuk Dr Zainal Kling, sebelum ini bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah British susulan polemik sejarah dicetuskan Mat Sabu.

Muhyiddin berkata, walaupun Tanah Melayu ketika itu mempunyai Sultan dan Raja, mereka tidak bebas kerana terpaksa mengikut nasihat diberikan Residen British.

"Sebab itu, kita berjuang memerdekakan negara dan sumbangan seperti Tunku Abdul Rahman serta pemimpin lain, tidak harus diketepikan sebab ia adalah fakta sejarah," katanya.

Terdahulu, menjawab soalan Datuk Shamsul Anwar Nasarah (BN-Lenggong), Muhyiddin berkata, Jawatankuasa Khas Mengkaji Kurikulum Sejarah dan Buku Teks Sejarah Sekolah Menengah mendapati, kurikulum sedia ada masih relevan tetapi skopnya perlu diperinci, diperluas dan disusun semula supaya lebih jelas serta mudah difahami pelajar.

Sambil menjelaskan jawatankuasa itu dijangka mengemukakan laporan lengkap kepadanya selewat-lewat Mei tahun depan, beliau berkata, kementerian juga akan menggubal Buku Panduan Mengajar Mata Pelajaran Sejarah bagi membantu dan memastikan guru dapat melaksanakan pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan