Ahad, 2 Oktober 2011

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Parti komponen perlu terbuka

Posted: 02 Oct 2011 03:28 PM PDT

Nasional

NAJIB mendapat sokongan padu  Majlis  Tertinggi MCA ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA ke-58,  di Kuala Lumpur, semalam.

NAJIB mendapat sokongan padu Majlis Tertinggi MCA ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA ke-58, di Kuala Lumpur, semalam.

Najib gesa ahli BN bersatu beri sokongan penuh, utama permuafakatan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, semua parti komponen Barisan Nasional (BN) perlu bersikap terbuka dan inklusif dalam memelihara dan menjaga kepentingan semua kaum kerana ia prinsip dan tonggak gagasan 1Malaysia.

Perdana Menteri berkata, sikap terbuka dan inklusif perlu kerana ia akujanji pemimpin yang mengasaskan kerajaan Perikatan serta menjadi asas kerajaan untuk melihat negara terus harmoni, bersatu padu dan stabil. "Negara kita ini kompleks, tidak mudah untuk mentadbir negara... saya sedar cabarannya besar, tetapi jika kita ada prinsip yang konsisten berdasarkan paradigma baru, parti kita sentiasa dilihat dinamik dan nampak segar, serta terus menjadi relevan pada setiap zaman dan masa," katanya berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan MCA ke-58 di sini, semalam.

Hadir sama Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek; Timbalannya, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Perdana Menteri turut meminta semua ahli komponen BN memberi sokongan sepenuhnya kepada semua calon BN pada pilihan raya umum akan datang, walaupun calon diletakkan bukan daripada parti mereka.

"Ada masanya dalam kawasan kita, calon itu mungkin bukan calon MCA, tetapi calon BN. Jangan pula kita kata dia bukan calon kita... dia parti lain tapi ia parti lain dalam BN... kita tak boleh ada semangat seperti ini, kita nak menang dan mempertahankan Putrajaya," katanya.
Berikutan itu, beliau berkata, persidangan MCA perlu membuat ketetapan bahawa sesiapa saja calon BN, dia akan disokong sepenuhnya semua parti komponen bagi memastikan kemenangan besar.

"Saya juga akan menegaskan pada Perhimpunan Agung UMNO November ini bahawa biarpun kawasan mereka tidak diwakili calon UMNO, wajib bagi mereka menyokong calon yang sudah diputuskan BN.

"Ini perkara asas dan nilai yang ada dalam BN, mengapa Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun V T Sambanthan dan Tun Tan Cheng Lock pada 1950-an berbincang dan duduk semeja? Ini semua kerana formula permuafakatan bagi menjamin masa depan Malaysia.

"Kita sebagai pewarisnya dan generasi akan datang, jangan ubah prinsip. Parti pembangkang boleh ubah prinsip dan sejarah, malah bendera pun boleh ubah, tetapi BN tetap dengan prinsip permuafakatan antara kaum melalui struktur BN," katanya.

Berucap tanpa teks hampir sejam, Najib yang juga Pengerusi BN turut menempelak pakatan pembangkang yang sehingga ini masih tercari-cari untuk menamakan calon Perdana Menteri dan barisan Kabinet bayangan sebagai persiapan untuk menawan Putrajaya.

"Tugas Perdana Menteri bukan mudah seperti disangkakan, sebaliknya calon untuk jawatan nombor satu itu perlu mendapat sokongan padu semua lapisan rakyat. Bermula daripada Perikatan sehingga ke BN, kita berjaya menyatupadukan rakyat, memelihara keharmonian, mengekalkan keselamatan dan keamanan serta membawa kemajuan.

"Calon Perdana Menteri dan menteri Kabinet BN adalah daripada parti komponen yang diterima semua lapisan masyarakat di negara ini.

"Tetapi, pakatan pembangkang merangkumi Parti Keadilan Rakyat (PKR), PAS dan DAP masih gagal mencari calon terbaik untuk jawatan ini," katanya.


BN perlu rangka dasar progresif

Posted: 02 Oct 2011 03:28 PM PDT

Nasional

Pendekatan baru kena sesuai kehendak semasa, penuhi aspirasi rakyat

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) digesa merangka satu pendekatan baru yang bersesuaian dengan kehendak dan keperluan semasa untuk memenuhi aspirasi semua rakyat Malaysia, kata Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek.

Soi Lek berkata, pendekatan baru perlu untuk memberi keyakinan kepada rakyat di negara ini bahawa masa depan mereka sentiasa terjamin di bawah pemerintahan BN, selain kehendak dan aspirasi golongan muda tidak sama dengan generasi lama sekarang. "Negara di sekeliling kita sudah melangkah ke depan dengan dasar progresif dan Malaysia tidak boleh (mengekalkan dasar lama). MCA mahu melihat pendekatan baru yang mendukung kerajaan dan menyatukan semua kaum di negara kita.

"Kita mahu sebuah negara adil, demokratik, telus dan mewakili suara rakyat serta negara yang mengambil pendekatan tengah supaya suara rakyat sentiasa didengari. Pendekatan baru ini tidak bermaksud kita cuba mencabar atau menulis semula kontrak sosial.

"Cadangan ini mungkin dikecam kumpulan tertentu tetapi kita perlu merangka satu formula lebih sesuai dengan peredaran zaman untuk memenuhi aspirasi setiap rakyat di negara ini," katanya berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MCA Ke-58 di Wisma MCA di sini, semalam.

Soi Lek berkata, kerajaan juga sepatutnya memberi ruang untuk mendengar suara rakyat yang lebih lantang sekarang, selain ahli politik tidak boleh berpura-pura mengetahui segala perkara.
"Kerajaan juga perlu melihat kemungkinan memansuhkan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak serta menetapkan tempoh masa secukupnya bagi berbuat demikian, termasuk inisiatif untuk liberalisasi sektor lain dalam ekonomi.

"Malah, Majlis Perundingan Gaji Kebangsaan (NWCC) perlu dianggotai wakil kesatuan sekerja, sektor swasta dan badan profesional, sekali gus menjadikan tenaga kerja kita lebih berdaya saing.

"Kerajaan juga perlu mengambil langkah meringankan beban ditanggung rakyat melalui bantuan tunai 'one-off' kepada mereka berpendapatan rendah dan miskin, golongan tua serta pesara," katanya.

Soi Lek turut mengecam segelintir pemimpin BN yang mempamerkan sikap bongkak dan menggunakan bahasa tidak sepatutnya menerusi laman sosial untuk berkomunikasi dengan rakyat.

Tanpa mendedahkan identiti pemimpin itu, beliau berkata siapa makan cili dia rasa pedasnya.

"Bagi pelaksanaan Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), satu jadual waktu khusus perlu ditentukan kerajaan, selain MCA menyokong bahasa ibunda digalakkan dan dijadikan mata pelajaran wajib di sekolah kebangsaan.

"MCA turut berharap Najib yang juga Menteri Kewangan memberi peruntukan khas RM30 juta kepada Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), selain menaik taraf Kolej Tunku Abdul Rahman (KTAR) menjadi Kolej Universiti," katanya.

Soi Lek juga berkata, MCA sudah bersiap sedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 dan muncul sebagai parti yang lebih bersatu dan stabil selepas pemilihan pucuk pimpinan tahun lalu.

Katanya, daripada 222 kerusi Parlimen di negara ini, hanya 46 kawasan majoriti masyarakat Cina.

"Jika pengundi Cina marah kerajaan dan menentang BN dalam PRU 13, paling banyak pun mereka boleh menang 46 kerusi, tetapi MCA hari ini berlainan berbanding PRU 12 kerana kami sudah diterima rakyat. Pelbagai pendekatan sudah dilakukan untuk meyakinkan rakyat apa yang MCA lakukan," katanya.

INFO: Resolusi MCA

  • Tolak hukum hudud yang diperjuangkan PAS
  • Tolak sebarang jawatan dalam kerajaan jika pencapaian parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) terus merosot.
  • Mengutuk tindakan pakatan pembangkang yang menyebarkan ideologi politik teokratik serta semangat kebencian dan meracuni pemikiran rakyat.
  • Menyokong Program Transformasi Politik, termasuk pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) serta pindaan kepada Akta Mesin Cetak dan Penerbitan. MCA juga mendokong gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Datuk Seri Najib Razak bagi menjadikan Malaysia lebih demokratik.
  • Meminta kerajaan melaksanakan Skim Gaji Minimum untuk mengelakkan pekerja tempatan dieksploitasi selain mengurangkan kebergantungan pekerja asing.
  • Menyokong penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa penghantar bagi mata pelajaran Matematik dan Sains di SJKC dan menggesa kerajaan membenarkan bahasa Inggeris bagi mata pelajaran sama di peringkat sekolah menengah.
  • Mahu Keluhuran Perlembagaan Persekutuan terus dipertahankan sebagai undang-undang tertinggi negara.
  • Tiada ulasan:

    Catat Ulasan