Berita Harian: Mutakhir |
| UPP tahan lapan kenderaan Thailand seludup minyak Posted: 15 Oct 2011 03:02 AM PDT Mutakhir BUKIT KAYU HITAM: Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kedah hari ini menahan lapan kenderaan Thailand yang disyaki digunakan untuk menyeludup keluar petrol dan diesel ke negara tersebut. Menurut Timbalan Komanden UPP Kedah, Noor Mohamed Shaik Alaudin, kesemua kenderaan itu membawa muatan petrol dan diesel berlebihan di dalam tangki tambahan yang diubah suai pada kenderaan itu. "Pada setiap kenderaan ini terdapat dua hingga enam tangki tambahan yang boleh memuat sehingga 3,000 liter petrol dan 2,100 liter diesel yang bernilai kira-kira RM9,000. "UPP menghidu modus operandi penyeludupan bahan bakar itu yang dilakukan oleh pemandu kenderaan Thailand secara bersendirian, berikutan harganya di negara mereka agak tinggi," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Lapan pemandu kenderaan terbabit yang berumur antara 25 hingga 40 tahun turut ditahan. Noor Mohamed berkata, kenderaan itu yang berupa sebuah lori kontena dan lima pikup ditahan di Kilometer 1.3 arah ke Bukit Kayu Hitam manakala sebuah kereta dan sebuah pikup lagi ditahan di kawasan masjid Laka Temin di sini.
Kes itu diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan cawangan Kubang Pasu untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM100,000 atau penjara tiga tahun. Harga petrol di Thailand dilaporkan dijual pada harga RM3.70 seliter manakala diesel RM2.80 seliter berbanding masing-masing RM1.90 dan RM1.70 di Malaysia. - BERNAMA
|
| PDRM rangka kaedah babitkan polis bantuan dalam strategi NKRA Posted: 15 Oct 2011 02:47 AM PDT Mutakhir GEORGETOWN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang merangka kaedah yang akan membolehkan polis bantuan turut menyumbang kepada strategi di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata beliau sudah mengadakan beberapa perjumpaan dengan agensi yang mempunyai polis bantuan bagi mendapatkan input, terutama dalam aspek pencegahan dan pengurangan kadar jenayah. "Bagaimanapun dalam konteks untuk membabitkan agensi polis bantuan, beberapa isu teknikal berkenaan perundangan perlu dihuraikan sebelum perkara ini boleh dilaksanakan," katanya ketika berucap pada perasmian majlis Anugerah Perkhidmatan Setia Sime Darby Plantation Sdn Bhd (SDP) 2010 di sini, hari ini.Katanya jika sesuai, isu pembabitan polis bantuan dalam inisiatif NKRA PDRM itu akan dibawa kepada Kementerian Dalam Negeri untuk maklum balas lanjut. Ismail berkata, setakat ini peranan polis bantuan amat penting dalam mengawal keselamatan dan pencegahan jenayah terutama di kawasan industri dan perladangan yang agak terpencil. Kehadiran pasukan itu katanya, sedikit sebanyak dapat mengurangkan kadar jenayah di kawasan terbabit sekali gus meningkatkan keyakinan pelabur.
Sementara itu mengulas isu berkaitan kepada media selepas itu, beliau berkata PDRM bekerjasama dengan Sime Darby menubuhkan jawatankuasa induk memerangi sindiket curi minyak kelapa sawit. "Jawatankuasa ini berperanan memantau dan menyiasat kes-kes tersebut," katanya. Pada majlis itu, seramai 189 anggota Polis Bantuan SDP menerima Anugerah Pingat Kebaktian sebagai menghargai jasa mereka yang telah berkhidmat antara 15 hingga 30 tahun dalam memastikan keselamatan serta kelancaran operasi syarikat. - BERNAMA |
| You are subscribed to email updates from Berita Harian: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan