Isnin, 10 Oktober 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Menteri Luar Jepun dijangka melawat Malaysia Rabu ini

Posted: 10 Oct 2011 02:59 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Jepun, Koichiro Gemba, yang dilantik bulan lalu, dijadual melakukan lawatan rasmi ke Malaysia Rabu ini.

Lawatan Gemba ini akan menjadi yang pertama oleh seorang Menteri Luar negara matahari terbit itu ke negara ini sejak 2006. Kali terakhir adalah Taro Aso yang menghadiri Persidangan Peringkat Menteri Asean+3 di Kuala Lumpur.

Dalam satu kenyataan hari ini Kementerian Luar berkata, lawatan kali ini adalah bermakna kerana ia menguatkan lagi hubungan kukuh dan lama terjalin di antara Malaysia dan Jepun. "Kedua-dua negara mengadakan jalinan hubungan yang luas di bidang perdagangan, pelaburan, pendidikan dan pembinaan keupayaan menerusi 'Dasar Pandang Ke Timur', pertukaran teknikal, kebudayaan serta pelancongan, " kata kenyataan itu.

Gemba akan menemui rakan sejawatannya di pihak Malaysia, Datuk Seri Anifah Aman dan mengadakan rundingan dua hala pada hari Khamis.

"Kedua-dua menteri dijangka membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa, dan soal kerjasama demi kepentingan bersama," tambah kenyataan itu lagi. - BERNAMA


Kerja roboh plaza tol Connaught mula Rabu

Posted: 10 Oct 2011 02:32 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Syarikat konsesi Lebuhraya Timur-Barat, Kumpulan MTD akan melakukan kerja meroboh plaza tol 4 dan 5 bagi laluan Seputeh-Taman Connaught bermula Rabu ini.

MTD, dalam satu kenyataan hari ini, menyatakan untuk itu aliran trafik di kawasan tersebut akan dilencongkan sehingga kerja berkenaan siap pada 11 November.

Sepanjang tempoh itu, pengguna jalan raya diminta mematuhi arahan papan tanda yang akan diletakkan di kawasan berkenaan. Sebarang pertanyaan boleh dikemuka menerusi talian 03-91732020.

Kutipan tol di laluan tersebut dimansuhkan sejak 16 Mei lalu. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan