Sabtu, 8 Oktober 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Bajet paling istimewa sepanjang 33 tahun dalam Parlimen

Posted: 08 Oct 2011 03:26 AM PDT

Mutakhir

SUNGAI PETANI: Bekas Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu menyifatkan Bajet 2012 sebagai strategi belanjawan yang lebih mengutamakan kepentingan rakyat pelbagai kaum dari segala-galanya.

Beliau berkata, bajet yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam adalah satu tranformasi dalam negara kerana memfokuskan kepada kepentingan dan kebajikan rakyat di samping memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Tidak ada bajet lagi seperti ini yang pernah saya lihat sepanjang saya berada dalam Parlimen selama 33 tahun. Belanjawan kali ini sebenar-benarnya mengambil kira luahan rakyat sebagai perkara yang lebih penting daripada apa-apa perkara," katanya. Samy Vellu, yang juga Canselor Universiti AIMST berkata kepada pemberita demikian selepas majlis konvokesyen keempat Universiti Asian Institute of Medcine, Science and Technology (AIMST) di Bedong, dekat sini, hari ini.

Bekas Menteri Kerja Raya itu berkata, kandungan dalam bajet berkenaan menunjukkan bahawa Perdana Menteri adalah seorang pemimpin yang prihatin dan membela nasib semua lapisan masyarakat.

Justeru itu, Samy Vellu berkata, beliau mengharapkan rakyat akan terus memberi sokongan penuh kepada kepimpinan Najib memandangkan segala permasalahan rakyat diatasi sebaik mungkin.

"Najib sering kali mendengar segala masalah rakyat dan cuba memberi perhatian terhadap hal itu yang kemudiannya disusuli dengan tindakan-tindakan daripada kerajaan.
"Atas perkara ini saya percaya hari ini masyarakat India lebih seronok dengan kepimpinan beliau sebab beberapa kemahuan telah ditunaikan," kata Samy, yang kini menjadi Duta Khas (Infrastruktur) ke India dan Asia Selatan.

Katanya, beliau yakin bahawa Najib yang dilabel sebagai pemimpin rakyat akan mampu meraih sokongan padu daripada semua lapisan masyarakat berdasarkan prestasi yang ditunjukkan sepanjang mentadbir negara ini. - BERNAMA


Malaysia masih boleh capai 5-6 peratus pertumbuhan ekonomi

Posted: 08 Oct 2011 03:22 AM PDT

Mutakhir

RAWANG: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini berkata, kerajaan masih yakin mencapai pertumbuhan ekonomi antara lima hingga enam peratus tahun ini.

"Saya katakan ia ketika ini, inilah apa yang kita fikir. Sudah tentu, jika terdapatnya kejatuhan ketara, lainlah pula ceritanya. Ia akan menjejaskan keseluruhan dunia tanpa sebarang pengecualian," kata beliau kepada pemberita pada persidangan akhbar selepas sesi majlis bertemu orang ramai di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kundang, di sini hari ini.

Najib berkata, pada masa ini, negara masih boleh mencapai pertumbuhan ekonomi lima hingga enam peratus ekoran permintaan domestik yang kukuh dan penyusunan semula jumlah dagangan Malaysia. Perdagangan Malaysia dengan Asean dan Asia Timur kini mewakili 46 peratus daripada jumlah dagangan sementara Eropah ialah sembilan peratus dan Amerika Syarikat 10 peratus.

"Dilihat kepada senario ekonomi, kita masih yakin mencapai pertumbuhan lima hingga enam peratus terutamanya jika projek-projek kerajaan dilaksanakan mengikut jadual," katanya. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan