Khamis, 6 Oktober 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Saham KL tinggi mendahului pembentangan belanjawan esok

Posted: 06 Oct 2011 04:10 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Harga saham di Bursa Malaysia ditutup tinggi hari ini, meneruskan kenaikan daripada sesi pagi, mendahului pembentangan Belanjawan 2012, kata para peniaga.

Pada jam 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) mengakhiri sesi dengan 18.02 mata lebih kukuh pada 1,393.69 selepas dibuka 5.5 mata lebih tinggi 1,381.17.

Indeks penanda aras berlegar antara 1,381.17 dan 1,395.28 sepanjang hari dagangan. Keseluruhan sentimen pasaran kekal positif dengan saham untung mendahului saham rugi pada 535 berbanding 186 manakala 257 kaunter kekal, 499 tidak didagangkan dan 26 yang lain digantung.

Jumlah dagangan naik kepada 994.17 juta saham, bernilai RM1.39 bilion, daripada pada Rabu sebanyak 697.59 juta saham bernilai RM1.09 bilion.

Peniaga berkata minat pelabur bagi aset yang lebih berisiko meningkat, mengikuti kenaikan di pasaran ekuiti AS dan Eropah semalaman, serta pasaran serantau.

Indeks ekuiti naik di United Kingdom sebanyak 3.2 peratus dengan harapan pengubal dasar Eropah akan bertindak untuk mengekang krisis hutang Eropah. Saham AS naik antara 1.2 peratus dan 2.3 peratus selepas American Institute for Supply Management mendedahkan sektor perkhidmatan berkembang pada September.

Seorang peniaga berkata hampir semua sektor mendapat kekuatan selepas kerugian baru-baru ini dengan saham pengguna dan kewangan mendahulu pemulihan pasaran.

"Pasaran pulih selepas terlebih jual pada minggu-minggu sebelumnya berikutan
faktor luar yang positif dan mendahului pembentangan Belanjawan 2012 pada Jumaat oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak," kata peniaga itu.

Indeks Kewangan melonjak 263.261 mata kepada 12,726.48, Indeks Perusahaan menambah 29.69 mata kepada 2,538.94 dan Indeks Perladangan menokok 86.13 mata kepada 6,897.37.

FBM Emas naik 136.13 mata kepada 9,440.47, FBMT100 meningkat 131.91 mata kepada 9,292.37, FBM70 melonjak 190.58 mata kepada 10,035.72 dan FBM Ace 72.14 mata lebih tinggi pada 3,637.58.

Saham untung - Nestle melonjak RM1.00 kepada RM49.00, F&N menokok 36 sen kepada RM16.30, Lafarge Malayan Cement naik 31 sen kepada RM6.88, Dutch Lady menambah 30 sen kepada RM18.30 dan Concrete Engineering Products naik 29 sen kepada RM2.03.

Antara saham rugi, British American Tobacco turun 26 sen kepada RM43.58, Top Glove susut 22 sen kepada RM4.16, Supermax berkurangan 15 sen kepada RM3.13, Degem jatuh 11 sen kepada RM80 sen manakala Nakamichi Corp rugi 10.5 sen kepada 75 sen.

Bagi saham aktif, MBSB-Wa menambah 15.5 sen kepada 62.5 sen, MBSB menokok 18 sen kepada RM1.47, Karambunai Corp naik satu sen kepada 13.5 sen, GPRO Technologies kekal 15.5 sen dan UEM Land untung enam sen kepada RM1.77.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank menokok 16 sen kepada RM8.17, CIMB meningkat 23 sen kepada RM7.06, Sime Darby naik 12 sen kepada RM8.54, Petronas Chemical untung 13 sen kepada RM5.66 dan Axiata kekal pada RM4.80.

Jumlah dagangan di pasaran utama naik kepada 766.31 juta saham, bernilai RM1.36 bilion, daripada 533.81 juta saham, bernilai RM1.07 bilion, yang dicatatkan semalam.

Jumlah dagangan di pasaran ACE meningkat kepada 153.88 juta units, bernilai RM18.83 juta, berbanding 119.68 juta unit, bernilai RM145.26 juta, yang dicatatkan semalam.

Waran meningkat kepada 69.52 juta saham, bernilai RM5.7 juta, daripada semalam pada 41.33 juta saham bernilai RM27.7 juta.

Barangan pengguna menguasai 23.4 juta saham didagangkan di Pasaran Utama, barangan perusahaan 136.08 juta, pembinaan 53.47 juta, dagangan dan perkhidmatan 163.89 juta, teknologi 19.01 juta, infrastruktur 24.64 juta, kewangan 162.45 juta, hotel 840,200, hartanah 157.13 juta, perladangan 22.09 juta, perlombongan 2,000, REITs 2.29 juta dan tertutup/dana 72,000. - BERNAMA


20 lagi pendatang Myanmar ditahan di Pulau Pinang

Posted: 06 Oct 2011 03:56 AM PDT

Mutakhir

BALIK PULAU: Polis menahan 20 lagi pendatang asing tanpa izin Myanmar di pesisir pantai Pulau Betong di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md Zin, berkata mereka yang berusia antara 20 dan 30 tahun itu ditahan dalam operasi khas hingga 5 petang tadi.

Sebelum ini, 77 pendatang ditahan di kawasan yang sama dalam operasi antara 8 hingga 12 tengah hari tadi. Mereka adalah antara 115 pendatang asing tanpa izin dari Myanmar yang dikesan menaiki sebuah bot kira-kira 28 batu nautika dari pantai itu hari ini.

Hatta berkata, daripada 20 orang itu, 14 orang ditemui bersembunyi di dalam bot berkenaan manakala enam lagi di sekitar hutan berhampiran pesisir pantai Pulau Betong.

Beliau berkata, jumlah selebihnya kumpulan Pati itu masih dikesan.

Kehadiran pendatang itu pada mulanya dikesan oleh beberapa orang nelayan tempatan yang melihat sebuah bot yang diperbuat daripada kayu berlabuh kira-kira 28 batu nautika dari Pulau Betong dan melihat ramai orang berenang ke pantai dari bot berkenaan.
Seorang pendatang asing tanpa izin yang ditahan, Anowar Hossain, 23, berkata dia membayar RM420 sebagai upah kepada pembawa bot untuk dibawa ke Malaysia.

"Ketika berada di kem pelarian Bangladesh, kami berbincang bagaimana untuk datang ke Malaysia sebelum didatangi seorang lelaki yang menawarkan diri untuk membawa kami ke sini.

"Tetapi kami tidak kenal dia dan kami juga tidak dijanjikan apa-apa pekerjaan," katanya yang mempunyai saudara di Malaysia.

Rakannya Mohammad Hussin, 30, berkata mereka kelaparan akibat kehabisan makanan sejak sembilan hari lepas.

"Kebanyakan kami tidak makan dalam sembilan hari itu. Kami cuma minum air," katanya yang pernah datang ke Malaysia. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan