Rabu, 5 Oktober 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Polis tahan lelaki 52 tahun, rampas 10,642 pil Eramin 5

Posted: 05 Oct 2011 03:02 AM PDT

Mutakhir

SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki berusia 52 tahun dan merampas 10,642 biji dadah pil jenis Eramin 5 bernilai RM266,000 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Muda, Ampang dekat sini, Ahad lalu.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk A Thaiveegan, berkata dadah berkenaan ditemui secara berasingan di mana 1,000 pil berkenaan disimpan di dalam sebuah kotak yang dibungkus kemas dengan kertas pembalut hadiah.

Beliau berkata, serbuan pada kira-kira 1 pagi itu turut menemui 9,642 pil Eramin 5 lagi yang disembunyikan di dalam kenderaan dan bahagian lain di rumah suspek. "Kita percaya pil itu mahu diedarkan untuk pasaran di kelab-kelab malam di sekitar Lembah Klang," katanya pada sidang media di Pusat Media, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.

Thaiveegan berkata, polis masih menjalankan siasatan kemungkinan lelaki itu, yang bekerja sebagai penjual barangan lusuh, merupakan anggota sindiket tertentu atau mempunyai rangkaian pengedaran dadah jenis berkenaan.

Beliau berkata, suspek direman sehingga 9 Oktober ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Thaiveegan berkata, polis menahan tiga lelaki yang terbabit dalam kes pecah dan bakar rumah di sekitar Kajang, Cheras dan Balakong pada 30 September lalu.
Beliau berkata, polis menahan kesemua suspek dalam sebuah apartmen di Kajang, dekat sini dan turut merampas motosikal suspek serta senjata seperti parang, pisau, pistol mainan dan alat-alat yang digunakan untuk jenayah itu.

"Siasatan lanjut mendapati ketiga-tiga lelaki yang berusia sekitar 20-an dan 30-an itu juga positif ujian dadah dan terlibat dalam lebih 30 kes samun sekitar negeri ini dan bergiat aktif sejak April lepas," katanya.

Thaiveegan berkata, polis menyiasat kemungkinan kesemua suspek turut terbabit dalam kes pecah rumah dan bakar di daerah serta negeri lain.

Kesemua suspek ditahan reman sehingga 11 Oktober ini.

Dalam kes berasingan, beliau berkata, polis menahan lelaki berumur antara 17 dan 36 tahun dipercayai terbabit dalam kes pecah cermin dan bakar kenderaan di kawasan perumahan Bandar Sunway, Petaling Jaya pada 30 September lalu.

Thaiveegan berkata, kesemua suspek yang tidak mempunyai pekerjaan tetap itu ditahan di sekitar Subang Jaya dan Puchong.

"Dalam kejadian kira-kira 6.40 pagi pada 29 September lalu, lapan kereta dipecahkan cermin manakala dua lagi dibakar.

"Kita percaya perbuatan ini bermotifkan persengketaan antara kumpulan dan kita masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti sama ada kesemua mereka terbabit dalam kes lain atau tidak," katanya.

Thaiveegan berkata, kesemua suspek direman sehingga hari ini dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 148 dan 435 Kanun Keseksaan. - BERNAMA


Masjid terapung mercu tanda baru pekan Kuala Perlis

Posted: 05 Oct 2011 02:54 AM PDT

Mutakhir

KANGAR: Masjid Terapung Kuala Perlis yang kini mewarnai wajah muara Sungai Perlis bakal menjadi mercu tanda baru pekan pinggir laut itu apabila ia mula digunakan secara rasmi Sabtu ini.

Masjid bernilai lebih RM12 juta yang diperbuat daripada pelbagai bahan mineral tanpa sebarang cat itu mempunyai reka bentuk unik dengan dewan solat menghadap ke laut.

Pengerusi Masjid Terapung Kuala Perlis, Profesor Datuk Dr Kamarudin Hussin, berkata masjid itu kelihatan tersergam indah dari arah laut dan darat dan bakal menjadi salah satu produk pelancongan di Perlis. Masjid itu yang akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang disediakan Universiti Malaysia Perlis (UniMap), berupaya menampung sehingga 1,000 jemaah pada satu masa.

Kamarudin yang juga Naib Canselor UniMAP ketika ditemui Bernama hari ini berkata, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail akan berangkat merasmikan masjid itu Sabtu ini.

Beliau berkata, UniMAP diberi tanggungjawab mengendalikan masjid itu sebagai "Pusat Islam" dan ia akan dimanfaatkan dengan pelbagai kegiatan keilmuan sepanjang masa.

"Kami rasa bertuah kerana diberi tanggungjawab itu dan kira-kira 3,000 pelajar UniMAP di kolej kediaman Kuala Perlis sudah pasti antara yang akan memanfaatkannya," katanya.
Kamarudin berkata, masjid terapung itu bukan sekadar pusat ibadah tetapi juga akan menjadi tempat tumpuan pelancong asing dan tempatan yang sudah pasti ingin melihat keindahannya dari dekat.

"Kami juga akan mengawal kawasan ini supaya ia tidak disalahgunakan sebaliknya kekal sebagai pusat ibadah, pusat keilmuan dan pusat pelancongan," katanya.

Semalam, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melawat masjid itu.

Baginda yang diiringi Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil turut bertemu barisan jawatankuasa masjid yang diketuai Kamarudin. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan