Isnin, 3 Oktober 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Tukang urut maut, cucu cedera dalam kemalangan

Posted: 03 Oct 2011 03:05 AM PDT

Mutakhir

BESUT: Seorang tukang urut tradisional dari Kampung Pusu Tinggi, Bukit Puteri dekat sini, terbunuh manakala cucunya cedera parah dalam kemalangan mebabitkan tiga buah kereta di Kilometer 3 Jalan Seberang Jerteh-Kuala Besut jam 8.30 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria, berkata Mohamad Jusoh, 64, meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Daerah Besut manakala cucunya, Aziq Husni Che Mohd Rozani, dua tahun, yang mengalami patah tangan kiri dan retak tempurung kepala dirawat di Hospital Daerah Besut sebelum dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian untuk rawatan lanjut. Katanya, kejadian berlaku apabila kereta yang dipandu Mohamad merempuh sebuah kereta yang berhenti di tengah jalan untuk membelok memasuki simpang kanan, dan ekoran pelanggaran itu kereta yang dipandunya terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum dilanggar sebuah kenderaan lain dari arah depan.

Pemandu dua buah kereta lain itu cedera ringan, kata Kamaruddin. - BERNAMA


Perkhidmatan KTM Intercity Pantai Timur pulih

Posted: 03 Oct 2011 02:29 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan KTM Antarabandar di wilayah pantai timur yang mengalami gangguan susulan kegelinciran koc Ekspres Senandung Timuran (Tumpat-Woodlands) antara Krambit-Jerantut awal pagi tadi kembali pulih pada jam 2.56 petang ini.

KTM Berhad dalam kenyataannya memaklumkan koc yang tergelincir diangkat dan semua perkhidmatan KTM Antarabandar sudah mula beroperasi seperti biasa.

Kejadian yang membabitkan koc tren Ekspres Senandung Timuran pada jam 3.08 pagi di kilometer 196.75 mengakibatkan gangguan perkhidmatan kepada tren Ekspres Wau (Kuala Lumpur-Tumpat) yang dihentikan di Stesen Jerantut, dengan penumpang meneruskan perjalanan ke Stesen Tumpat dan stesen perantaraan menggunakan bas. Susulan kejadian itu, perkhidmatan tren laluan Kuala Lipis-Woodlands dan Woodlands-Gemas juga dibatalkan.

KTM Berhad memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang timbul akibat kejadian itu. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan