Ahad, 2 Oktober 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Bidang penyelidikan pertahanan boleh dikembangkan: Agong

Posted: 02 Oct 2011 02:44 AM PDT

Mutakhir

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin bertitah penyelidikan dalam bidang pertahanan dan keselamatan negara perlu terus berkembang demi menjamin keharmonian negara.

"Kita juga mempunyai potensi untuk meneroka bidang-bidang baru dalam teknologi persenjataan dan pertahanan yang potensinya amat besar," titah Seri Paduka pada Konvokesyen Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di sini, hari ini.

Isu pemerdagangan manusia turut menarik perhatian Tuanku Mizan, yang berharap penyelidik tempatan mencari penyelesaian kepada masalah itu. Selain itu, Tuanku Mizan bertitah Kementerian Pengajian Tinggi diharap meningkatkan prasarana di UPNM sesuai dengan kedudukannya sebagai sebuah universiti bertaraf antarabangsa.

Sementara itu, 407 pegawai kadet yang menamatkan pengajian selama empat hingga lima tahun dalam pelbagai bidang ditauliahkan pada majlis itu.

Pertauliahan itu melayakkan mereka berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Pada majlis itu, Tuanku Mizan menyampaikan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Keselamatan Dalam Negeri) kepada Tun Mohammed Hanif Omar yang menjadi Ketua Polis Negara termuda ketika berusia 35 tahun dan berkhidmat selama 20 tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Bagi saya, berkhidmat dalam pasukan tentera dan polis adalah bidang kerjaya yang mulia dan dihormati. Kerjaya ini bukan untuk mendapat kesenangan atau kekayaan sebaliknya berbakti kepada negara tercinta ini," kata Hanif, 72, dalam ucapan beliau.

Selain itu, Ijazah Kehormat Sarjana Peperangan Menentang Pengganas dianugerahkan kepada Kapten Hamid Awang, 63, kerana ketokohan dan keberanian beliau dalam menentang pengganas komunis.

Beliau satu-satunya pegawai ATM yang menerima anugerah Pingat Seri Pahlawan Negara yang masih hidup dan masih aktif dalam aktiviti kebajikan dan sukarelawan terutama dalam Persatuan Bekas Tentera. - BERNAMA


Lynas tetapkan tanda aras baru dalam industri bumi nadir

Posted: 02 Oct 2011 02:43 AM PDT

Mutakhir

SYDNEY: Lynas Corporation Ltd akan membina kilang pemprosesan di Gebeng, Kuantan, menurut standard baharu yang belum pernah dilihat dalam sejarah industri bumi nadir.

Naib Eksekutif Presiden (Strategi dan Komunikasi Korporat), Dr Matthew James, berkata kilang bernilai RM700 juta itu adalah berdasarkan kepada proses dari China tetapi Lynas telah berusaha meningkatkan prestasi persekitaran pemprosesan berkenaan dengan melabur secara besar-besaran dalam rawatan gas dan sisa air serta pengurusan sisa pepejal.

"Dan itulah jenis pelaburan yang tidak berlaku di China kerana mereka belum pernah membina jenis kemudahan seumpama itu menggunakan standard yang sama yang Lynas gunakan. "Mereka tidak rawat air sebelum dikeluarkan, dan mereka tidak sental dan bersihkan gas sebelum dikeluarkan," katanya dalam temubual eksklusif di ibu pejabat Lynas di sini.

Bagaimanapun, beliau menambah yang banyak perubahan dan penambahbaikan telah berlaku di China dengan perbadanan bumi nadir terbesar Baotao, baru-baru ini mengumumkan pelaburan US$150 juta untuk program persekitaran sisa air/gasnya.

China menghasilkan lebih 90 peratus daripada bumi nadir dunia dan telah melaksanakan pengurangan 40 peratus ke atas kuota eksportya untuk 2010, sekali gus menyebabkan kekurangan global dan lonjakan harga.

"Kami akan menetapkan penanda aras yang baharu dalam industri," katanya.
Lynas sebelum ini merupakan syarikat perlombongan emas dalam tahun 1980-an sebelum pengurusan baharu mengambil alih dan mengukuhkan syarikat itu dalam 2002.

Ia akan membina kilang di Gebeng untuk memproses produk bumi nadir, menggunakan bahan mentah yang diperoleh dari lombongnya di Mount Weld, Western Australia, kira-kira 600 kilometer dari Perth.

Bahan mentah itu pertamanya akan diproses di kilang konsentratnya di tapak lombong dan kemudian dijadikan konsentrat untuk dieksport ke Malaysia.

Konsentrat itu mempunyai 37 peratus kandungan oksida bumi nadir (REO) dan ia akan dihantar ke kilang Gebeng sebaik sahaja Lynas mendapat lesen pra-operasi.

James berkata kajian oleh pakar menunjukkan yang kilang Gebeng itu selamat dan tidak akan mendedahkan sebarang bahaya kepada komuniti dan persekitaran.

Beliau berkata yang konsentrat yang akan dihantar ke Malaysia tidak membahayakan, tiada radioaktif dan tidak disifatkan sebagai barangan merbahaya oleh standard pengangkutan. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan