Utusan Online - Pahang |
- Penduduk hampa masjid tak siap
- Ibu tunggal tiga anak sambut raya serba kekurangan
- Klinik Kecemasan Hospital Lipis dinaik taraf
Penduduk hampa masjid tak siap Posted: Penduduk hampa masjid tak siapOleh SITI NORIZAT SHIKH ABDUL JALIL Abdul Manan Ismail (dua dari kiri) bersama beberapa wakil penduduk meninjau projek pembinaan masjid yang belum siap di Bukit Goh, baru-baru ini. KUANTAN 1 Sept. - Harapan penduduk di sekitar kawasan Bukit Goh dekat sini untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri kelmarin tidak kesampaian apabila masjid baru bernilai RM3.2 juta gagal disiapkan mengikut jadual. Ketua Kampung Bukit Goh, Mat Zahari Derahman berkata, masjid yang sepatutnya digunakan oleh 2,000 peneroka pada Mei lalu, tertangguh sehingga November depan selepas pemajunya bertukar tangan. Menurutnya, sehingga kini, kira-kira 80 peratus masjid itu siap dibina manakala selebihnya masih dalam pembinaan. "Kami terkilan dengan kelewatan tersebut memandangkan sudah sekian lama kami impikan sebuah masjid yang baru kerana masjid lama sudah berusia 30 tahun dan terlalu uzur. "Nampaknya hajat kami untuk menggunakan masjid baru tidak tercapai walaupun kontraktor tersebut berjanji masjid baru itu akan siap pada Mei lalu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Bagaimanapun katanya, selepas setahun, kerja-kerja pembinaan projek berkenaan agak perlahan termasuk berlaku beberapa perubahan pada pelan asal serta kemudahan asasnya. Sementara itu, Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Abdul Manan Ismail yang membuat tinjauan projek berkenaan berkata, kelewatan berkenaan disebabkan beberapa faktor termasuk pertukaran kontraktor dan perubahan pelan asal. Katanya, kelewatan tersebut amat dikesali kerana bukan sahaja mengecewakan penduduk di situ malah turut membabitkan implikasi kewangan kerajaan kerana kenaikan kos buruh dan bahan binaan setiap masa. "Diharap penduduk dapat bersabar dan tidak terlalu terdesak untuk menggunakan masjid baru itu kerana bimbang jika kontraktor terlalu gopoh menyiapkan dalam masa yang cepat, berkemungkinan akan menjejaskan kualiti binaannya," katanya. |
Ibu tunggal tiga anak sambut raya serba kekurangan Posted: Ibu tunggal tiga anak sambut raya serba kekuranganRozlina Ismail (dua dari kanan) menunjuk kain yang dibelikan oleh arwah suaminya sebagai baju raya bersama anak-anak mereka di Perumahan Kampung Mat Kilau, Jerantut, kelmarin. JERANTUT 1 Sept. - Sambutan hari raya Aidilfitri bagi seorang ibu tunggal bersama tiga anaknya tahun ini suram kerana orang yang disayangi meninggal dunia awal tahun ini. Suami kepada Rozlina Ismail, 41, Azmi Jamaluddin, yang meninggal dunia Februari lalu menyebabkan sambutan Syawal kali ini diraikan dalam suasana serba kekurangan dan penuh sayu. Katanya, segala persiapan Aidilfitri tidak seperti semasa arwah suaminya masih hidup kerana dia terpaksa membeli barang bersendirian dalam keadaan berkerusi roda. "Hari Raya kali ini seolah-olah tidak diraikan kerana kami sekeluarga masih terbayang-bayang wajah arwah biarpun dia telah tinggalkan kami tujuh bulan lalu," katanya kepada Utusan Malaysia di Perumahan Kampung Mat Kilau, di sini semalam. Menurutnya, arwah suaminya sempat membeli kain untuk dijadikan baju raya mereka sekeluarga sebelum meninggal dunia akibat penyakit darah tinggi. Katanya, arwah suaminya menyimpan hajat untuk bergambar sekeluarga dengan memakai pakaian baru itu nanti. Di pagi Syawal lalu dia sekeluarga menitiskan air mata setiap kali melihat kain yang dibeli oleh arwah suaminya itu. Katanya, sebelum arwah meninggal dunia sempat berpesan supaya jangan mudah berputus asa dalam membuat sesuatu perkara dan jangan menamatkan persekolahan anak-anak mereka. "Arwah nak tiga anak kami iaitu Nurul Ain Zakirah,13, Nurul Syafiqah, 11 dan Nurul Azmina, enam tahun mendapat pendidikan di sekolah agama serta mendidik mereka sehingga berjaya," katanya. Katanya, ketika ini dia mengambil upah menjahit pakaian serta mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dan Majlis Agama Islam Pahang (MAIP) juga RM300 untuk menguruskan kehidupan mereka sekeluarga. |
Klinik Kecemasan Hospital Lipis dinaik taraf Posted: Klinik Kecemasan Hospital Lipis dinaik tarafKUALA LIPIS 1 Sept. - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) akan menimbang peruntukan bernilai RM15,000 untuk menaik taraf kemudahan di Klinik Kecemasan Hospital Lipis tahun ini. Setiausaha Politik Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Suhaimi Ibrahim berkata, usaha yayasan itu bertujuan memudahkan pesakit mendapat rawatan di klinik kecemasan hospital berkenaan dengan lebih selesa. Menurutnya, peruntukan itu membabitkan pemasangan penghawa dingin, menaiktaraf bilik pegawai perubatan dan tempat menunggu rawatan pesakit dan kaunter pendaftaran. "Kemudahan di sini kian uzur dan lama terutamanya penghawa dingin dan ruang letak katil yang agak sempit dan kurang selesa untuk rawatan kecemasan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada pesakit di hospital tersebut, di sini kelmarin. Suhaimi yang juga Timbalan Ketua UMNO Lipis berkata, kadar bilangan pesakit yang mendapat rawatan di klinik itu semakin bertambah dan memerlukan ia dinaik taraf supaya kemudahan tersebut dapat digunakan dengan baik. ''Saya simpati mendengar rungutan pesakit dan melihat sendiri beberapa warga emas mendapatkan rawatan kecemasan termasuk bantuan pernafasan sedangkan bilik itu sempit dan penghawa dingin gagal berfungsi dengan baik," katanya. Suhaimi berkata, perkara itu akan dikemukakan kepada menteri terbabit, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil supaya peruntukan itu dapat disalurkan segera. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan