Sabtu, 10 Mac 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


BN yakin menang PRU-13

Posted: 10 Mar 2012 04:24 PM PST

Nasional

NAJIB disambut orang awam sempena majlis perjumpaan bersama penduduk di Taman Setia Indah Johor Bahru, semalam.

NAJIB disambut orang awam sempena majlis perjumpaan bersama penduduk di Taman Setia Indah Johor Bahru, semalam.

Bina semula kekuatan, mampu atasi tsunami politik 2008: PM

PASIR GUDANG: Datuk Seri Najib Razak yakin Barisan Nasional (BN) mampu bangkit daripada tsunami politik 2008 dengan membina kembali kekuatan dan meraih kejayaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang.

Perdana Menteri berkata, BN boleh melepasi cabaran itu kerana sejarah membuktikan kebangkitan semula BN dalam ujian besar yang dihadapinya sebelum ini termasuk penubuhan parti Negara, Tragedi 13 Mei, pengharaman UMNO dan isu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim. "Ujian besar kepada BN itu, bukanlah krisis dalaman. Ekoran tsunami politik 2008, di mana kita hilang lima negeri dan majoriti dua pertiga di Parlimen. Sekarang kita berdepan dengan peluang untuk mengembalikan semula kekuatan politik BN.

"Situasi ini hampir sama dengan keadaan pada 1999, di mana kita terpaksa melakukan pemulihan UMNO dan BN, jadi dalam situasi seperti itu, kita kena melakukan sesuatu yang boleh menjamin kelangsungan kuasa BN kerana mempunyai banyak agenda besar untuk negara," katanya.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas melancarkan Program Jelajah Sayang 1Malaysia Wanita BN di Stadium Perbandaran Pasir Gudang di sini, petang semalam.

Turut hadir isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman dan isteri, Prof Datin Paduka Dr Jamilah Ariffin serta Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Najib berkata, beliau yakin BN mampu mengatasi cabaran yang dihadapi bagi menghadapi PRU-13 dan ketika ini, parti itu dalam proses menambah kekuatan dalaman, selain kekuatannya dengan rakyat.

"Kekuatan kita dengan rakyat bergantung kepada keyakinan rakyat sebab itu kita laksanakan pelbagai usaha yang patut dilakukan," katanya.

Sementara itu, ketika melakukan tinjauan mesra dan berucap pada majlis perjumpaan dengan penduduk Taman Setia Indah di Johor Bahru, Najib berkata, sokongan dan keyakinan rakyat yang semakin meningkat kepada Kerajaan BN ketika ini kerana kerajaan sentiasa mengotakan janjinya berbanding dengan pembangkang yang hanya pandai berjanji.

"Saya rasa sehari dua ini penambahan keyakinan rakyat terhadap BN disebabkan apa yang kita (BN) kata, kita kotakan. Sebaliknya pembangkang bila mereka janji, tahap keyakinan janji mereka semakin hari semakin dipersoalkan.

"Justeru itu, kalau hendak terus mendapat keyakinan rakyat, sebagai pemimpin di semua peringkat kita mesti 'walk the talk'... janji mesti dikotakan," katanya.

Najib berkata, walaupun dalam tempoh yang singkat iaitu kira-kira tiga tahun ini, kerajaan mampu menterjemah segala projek yang dirancangkan kepada realiti yang memberi manfaat besar kepada rakyat.

Terdahulu, sejurus tiba di kawasan perumahan itu, Perdana Menteri memulakan program tinjauan mesranya dengan berbasikal bersama belia pelbagai kaum di kawasan rekreasi taman perumahan itu.

Dengan berjalan kaki, Najib kemudian dibawa meninjau kawasan perniagaan, medan selera dan pasar awam Taman Setia Indah untuk beramah mesra dengan penduduk setempat.

Wan Hazim ditemui jam 2 pagi

Posted: 10 Mar 2012 04:22 PM PST

Nasional

Budak dilapor hilang merayau sendirian di bawah jejambat di Lebuhraya KESAS

PETALING JAYA: Seorang budak lelaki berusia tujuh tahun yang dilaporkan hilang petang kelmarin selepas keluar bersendirian dari rumahnya di Jalan PJS 10/1, Subang Indah, di sini, ditemui semula, awal pagi semalam.

Wan Hazim Mohd Khadir ditemui kira-kira jam 2 pagi oleh seorang lelaki di Lebuhraya KESAS menghala ke Klang ketika kanak-kanak itu sedang berjalan merayau di bawah jejambat berhampiran Summit USJ di Subang Jaya. Lelaki itu menghantar budak lelaki itu ke Balai Polis Subang Jaya dan budak berkenaan kemudian dihantar rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Cheras.

Ibunya, Wan Nor Azma Wan Yusof, 33, berkata beliau menerima panggilan daripada pihak polis pada jam 7 malam semalam menyuruhnya datang ke balai berkenaan untuk membuat pengecaman gambar.

"Sebaik saja tiba di balai itu pada jam 10 malam, saya membuat pengecaman gambar budak lelaki yang dihantar ke JKM Cheras itu. Saya mengesahkan gambar itu adalah Wan Hazim. Saya rasa lega sebab anak saya selamat dan saya akan mengambilnya Isnin ini pada waktu pejabat sebab malam ini dan esok tidak dibenarkan kerana di luar waktu pejabat, " katanya ketika ditemui di balai berkenaan malam tadi.

Wan Nor Azma berkata, risalah yang diedarkan beliau di kawasan perumahan termasuk balai berkenaan sebelum itu berjaya mengesan anaknya apabila pihak polis menyedari gambar risalah itu menyamai gambar yang berada dalam simpanan mereka.
Sebelum itu, Wan Hazim dikatakan menonton televisyen di ruang tamu kira-kira jam 12.30 tengah hari sebelum ibunya, Wan Nor Azma Wan Yusof, 33, pulang menghantar abang mangsa dari sekolah dan keluar semula sambil memaklumkan kepada pembantu rumah bahawa mangsa sendirian di tingkat bawah rumah dua tingkat itu.

Pembantu rumah yang tidak mendengar laungan majikannya hanya turun ke tingkat bawah kira-kira 30 minit kemudian sebelum menyedari Wan Hazim tiada, namun beranggapan anak kedua daripada tiga beradik itu keluar bersama ibunya.

Kehilangan Wan Hazim hanya disedari jam 6 petang sebaik ibu mangsa pulang bersama anak bongsunya dan memaklumkan beliau meninggalkan anak keduanya bersendirian di ruang tamu ketika keluar.

Wan Nor Azma seorang peniaga berkata, sebaik menyedari anaknya hilang, beliau sekeluarga dengan bantuan jiran mencarinya di sekitar perumahan berkenaan, namun usaha yang dilakukan sehingga petang semalam menemui jalan buntu.

Katanya, pelbagai usaha sudah dilakukan termasuk menyebarkan poster anaknya dan berjumpa dengan ustaz, namun belum menerima sebarang berita atau panggilan daripada orang awam.

Sementara itu, di PASIR GUDANG, empat individu ditahan bagi membantu siasatan kes kehilangan Nur Nadirah Abdullah atau Dirang, 5, sejak kanak-kanak itu dilaporkan hilang dipercayai diculik dekat Flet Seri Delima, Bandar Seri Alam, di sini pada 1 Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Roslan Zainuddin, berkata tiga individu iaitu sepasang suami isteri dan seorang lelaki manakala seorang lagi, bapa kandung kanak-kanak itu.

"Tiga individu termasuk sepasang suami isteri ini ditahan pada hari kanak-kanak ini dilaporkan hilang manakala bapanya ditahan kira-kira jam 7 malam Khamis lalu," katanya ketika dihubungi, semalam.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

yati

What? Nak ambik anak yang dah di jumpa kena tunggu waktu pejabat? Nak kena isi borang ke? Unbelievable...

Hashim Mohdsidek

Alhamdulilah,kanak2 ditemui dgn selamat, penjaga, jgn mengharap kpd pembantu, pastikan pembantu ade bersama anak2 sblm keluar rumah

wan nazarudin

Alhamdulillah..

noniemorniwati

alhamdulilah....syukur kpd tuhan yg maha esa...

noniemorniwati

alhamdulilah....syukur kpd tuhan yg maha esa...

hanafibinramli

subhanallah...semuanya milik allah.
bersyukur kerana adik Wan Hazim Mohd Khadir selamat..


Tiada ulasan:

Catat Ulasan