Khamis, 1 Mac 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Bayaran tol jimat 50 peratus

Posted: 01 Mar 2012 01:59 PM PST

Nasional

NAJIB disambut penduduk pada Majlis Pecah Tanah Projek Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Bandar Sungai Long,  semalam. - Foto Nashairi Mohd Nawi

NAJIB disambut penduduk pada Majlis Pecah Tanah Projek Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Bandar Sungai Long, semalam. - Foto Nashairi Mohd Nawi

KAJANG: Pengguna Lebuhraya Cheras-Kajang kini menikmati penjimatan bayaran tol sehingga 50 peratus berikutan pemansuhan bayaran di dua plaza tol, mulai jam 12 tengah malam tadi.

Pemansuhan bayaran RM1 di Plaza Tol Batu 9 menghala Kuala Lumpur dan 90 sen di Plaza Tol Batu 11 menghala Kajang itu akan memberikan penjimatan kepada 120,000 pengguna harian.

Berita gembira itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak depan lebih 10,000 hadirin, termasuk mereka yang sering menggunakan lebuh raya itu pada Majlis Pecah Tanah Projek Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Bandar Sungai Long, dekat semalam. Beliau berkata, penghapusan tol bertujuan mengurangkan beban rakyat yang kerap menggunakan lebuh raya itu, terutama mereka yang berulang-alik beberapa kali sehari.

"Kalau dulu bayar RM3.80, sekarang bayar RM1.90 saja, iaitu pengurangan 50 peratus dan ini memberi manfaat kepada 120,000 pengguna setiap hari," katanya sambil disambut sorakan serta tepukan gemuruh hadirin.

Perdana Menteri berkata, pemansuhan itu juga bagi memenuhi janji Barisan Nasional (BN) yang memperjuangkan isu berkenaan sejak 2009. Malah, ketika menghadiri majlis berbuka puasa di Hulu Langat tahun lalu, beliau berkata, BN dan UMNO bahagian melalui ketuanya, Datuk Johan Abdul Aziz, turut membangkitkan isu berkenaan.

"Ini bukan isu yang dibawa pihak lain. Ia dibawa oleh BN sendiri. Dalam ucapan saya pada majlis itu, saya menyarankan Kementerian Kerjaraya dan menterinya mengkaji kutipan tol bertujuan mengurangkan beban rakyat yang menggunakannya setiap hari," katanya.
Sementara itu, Najib berkata, BN turut memenuhi janji kepada penduduk Bandar Sungai Long, terutama masyarakat Cina untuk membina sebuah SRJKC dengan menyediakan tapak seluas 2.39 hektar bernilai RM20 juta.

Pada majlis sama, beliau menyampaikan cek RM4.5 juta kepada lembaga pengurus sekolah itu bagi melaksanakan pembinaan 36 bilik darjah yang mampu menampung kapasiti 1,500 pelajar.

Katanya, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, membuat keputusan menjadikan tanah itu sebagai tapak SRJKC berkenaan walaupun pada asalnya ia dicadangkan sebagai tapak untuk sekolah kebangsaan (SK) berikutan kesukaran mendapatkan tapak lain di kawasan itu.

"Kerajaan BN tidak mungkir janji. Jika pihak lain bertempik kononnya memperjuangkan isu ini... berilah tapak lain. Kenapa mereka tidak memberi tapak lain walhal mereka ada kuasa untuk meluluskannya," katanya.

Sementara itu, tinjauan di Plaza Tol Batu 9 malam tadi mendapati penyokong BN dan pembangkang masing-masing berkumpul di plaza tol berkenaan bagi meraikan pemansuhan tol.

Kedua-dua kumpulan mula berkumpul di tepi lebuh raya dan saling bersorak seawal jam 10 malam, sebelum diarah bersurai oleh polis kira-kira jam 12.45 pagi bagi mengelak kejadian tidak diingini.

Semakan SBPA siap awal April

Posted: 01 Mar 2012 01:57 PM PST

Nasional

KUALA TERENGGANU: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semakan semula Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dijangka disiapkan awal April, tempoh ditetapkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau difahamkan jawatankuasa semakan semula yang diketuai bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam sudah mencapai banyak kemajuan untuk memastikan proses semakan semula itu disiapkan pada tarikh ditetapkan.

"Saya dimaklumkan Perdana Menteri sudah menetapkan tempoh hingga awal April. Apa pun tunggulah kerana saya percaya apabila tiba masa sesuai, Perdana Menteri akan mengumumkan bentuk dan format bagaimana skim itu hendak dilaksanakan," katanya selepas perjumpaan khas dengan penjawat awam negeri dan Persekutuan sempena lawatan kerja sehari ke Terengganu, semalam. Terdahulu ketika berdialog dengan penjawat awam, Muhyiddin berkata, semakan semula SBPA diharap memuaskan hati semua penjawat awam kerana membabitkan arahan serta campur tangan terus daripada Perdana Menteri.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) prihatin keluhan penjawat awam dengan menangguhkan skim itu dan melantik panel kajian semula dengan penyertaan pelbagai pihak termasuk CUEPACS.

Muhyiddin berkata, kerajaan BN yang mentadbir negara ini sentiasa membela penjawat awam kerana peranan mereka penting untuk menterjemahkan dasar dan aspirasi yang dirumus kerajaan bagi membela rakyat.

"Kerajaan BN akan pertahankan kakitangan awam. Jika kerajaan beralih tangan, Nauzubillah. Justeru, saya harap penjawat awam dan keluarga mereka termasuk di Terengganu untuk terus bersama kita," katanya.
Beliau berkata demikian menjawab soalan seorang penjawat awam mengenai nasib kakitangan kerajaan jika pentadbiran negara beralih kepada parti lain.

Timbalan Perdana Menteri berkata, komitmen kerajaan BN membela kakitangan awam dan menyemarak pembangunan negara jelas menerusi pelbagai dasar sedia ada, sedangkan pembangkang tampil dengan Buku Jingga dengan pakar ekonomi berpendapat akan menyebabkan negara bankrap dalam tempoh dua tahun selepas pelaksanaan.

Buku Jingga turut menggariskan usaha pembangkang untuk mengurangkan penjawat awam dengan mengatakan Malaysia mempunyai jumlah kakitangan awam berbanding nisbah tenaga kerja, antara tertinggi di dunia.

Muhyiddin berkata, penjawat awam perlu lebih responsif melaksanakan agenda dan aspirasi kerajaan dengan turut sama berdamping atau turun padang bertemu rakyat bagi mendapatkan maklum balas rakyat berhubung sesuatu dasar yang mahu dilaksanakan.

Sementara itu, mengulas kemungkinan kerajaan menamatkan pengambilan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk Kursus Perguruan Lepasan SPM, Muhyiddin berkata, belum ada keputusan dibuat setakat ini.

Muhyiddin berkata, kerajaan juga sudah membuat lantikan Pengarah Pelajaran Terengganu yang kosong sejak tiga bulan lalu dan pengumuman dibuat dalam tempoh terdekat.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Tiada ulasan:

Catat Ulasan