Selasa, 6 September 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Polis tahan juru ukur buat cukai jalan palsu, miliki ganja

Posted: 06 Sep 2011 03:38 AM PDT

GEORGE TOWN: Perbuatan seorang lelaki yang menggunakan cukai jalan palsu akhirnya membawa padah dan membongkar kegiatannya memiliki dadah jenis ganja dalam sebuah kereta.

Pegawai Turus Unit Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang, Cif Inspektor Rohizad Halim berkata lelaki itu pada mulanya ditahan polis dalam satu operasi "Ops Evo Elit" di Kilometer 7.4 Jambatan Pulau Pinang menghala ke Butterworth, awal pagi ini.

Beliau berkata dalam operasi yang bermula pada jam 1 pagi itu, lelaki terbabit kelihatan gelisah selepas ditahan dan pemeriksaan mendapati dia menggunakan cukai jalan palsu yang dibuat sendiri.

"Ketika ditahan lelaki berusia lingkungan 40-an itu dalam keadaan mencurigakan dan agak gelisah, hasil pemeriksaan lanjut dalam keretanya, kita menemui sepeket ganja yang disimpan di bawah tempat duduk pemandu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.


Beliau berkata pihaknya turut menemui topi berlogo polis dan sebilah pisau dalam kereta Proton Perdana milik lelaki yang bekerja sebagai juru ukur itu.


Rohizad berkata polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu cuba menyamar sebagai anggota polis dengan menggunakan topi berlogo polis yang ditemui dalam keretanya.

"Siasatan awal mendapati lelaki yang berasal dari Sungai Petani, Kedah itu datang ke Pulau Pinang untuk membeli ganja sebagai bekalannya bagi melepaskan gian," katanya.

Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan dadah. - Bernama

3 rumah teres musnah dalam kebakaran dipercayai khianat

Posted: 06 Sep 2011 02:57 AM PDT

JOHOR BAHARU: Tiga rumah teres dua tingkat musnah dalam satu kebakaran di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang dekat sini awal pagi ini, disyaki akibat perbuatan khianat.

Kejadian kira-kira 2 pagi itu turut memusnahkan tiga kereta, sebuah van dan tiga motosikal pemilik rumah berkenaan.

Seorang mangsa, Ahmad Yaacob, 58, yang sedang tidur ketika kejadian dikejutkan anak perempuannya yang terdengar bunyi sesuatu dibaling ke arah rumah mereka.

Ahmad kemudian membuka pintu untuk melihat apa yang berlaku, namun mendapati bahagian depan rumahnya dipenuhi asap tebal menyebabkan beliau mengarahkan ketiga-tiga anaknya keluar melalui pintu belakang.


"Jiran-jiran memberitahu mereka ternampak seseorang menaiki motosikal dalam keadaan mencurigakan berlegar-legar di depan rumah saya sebelum membaling sesuatu ke kawasan rumah ini," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Pegawai Bomba Kanan II Pasir Gudang Mohd Salleh Mohamed berkata pihaknya menerima panggilan pada 1.50 pagi, dan tiba di lokasi sepuluh minit kemudian bersama lima jentera dari Balai Bomba Johor Jaya serta Johor Baharu dengan kekuatan 15 anggota.

Beliau berkata api berjaya dikawal dalam tempoh sejam, dan jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM200,000. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan