Selasa, 6 September 2011

Berita Harian: Mutakhir

Berita Harian: Mutakhir


Kerajaan tidak bercadang panjangkan tempoh kursus perkahwinan

Posted: 06 Sep 2011 03:55 AM PDT

Mutakhir

YAN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan membuat penambahbaikan kursus perkahwinan dari semasa ke semasa dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri tetapi ia tidak bercadang untuk memanjangkan tempoh kursus itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata Jakim akan bertindak sebagai urus setia untuk memberi bantuan dari segi penambahbaikan modul kursus serta mengurangkan modul yang tidak diperlukan dalam aktiviti kursus itu nanti.

"Tempoh kursus pra-perkahwinan yang sedia ada selama 16 jam...orang awam terpaksa menjalani kursus selama dua hari. Kalau kita panjangkan lagi ia agak membebankan pasangan yang hendak berkahwin. "Tentang kursus dari semasa ke semasa, kita serahkan kepada setiap negeri untuk penambahbaikan tetapi di urus setia oleh pihak Jakim," katanya pada Majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Jerai di Kompleks Pasar Tani Fama dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai laporan media bahawa lebih 200,000 pasangan suami isteri Islam Malaysia dilaporkan mendaftarkan perceraian mereka di pejabat jabatan agama Islam di seluruh negara bagi tempoh 2000 hingga 2010.

Jamil Khir berkata, angka 200,000 itu merangkumi tempoh perkahwinan antara 30 hingga 40 tahun dan terdapat juga yang berakhir dengan perdamaian.

"Ada yang tarik balik kes, dia bercerai rujuk semula, ada yang kes orang yang sudah bercerai tetapi kahwin semula dan jumlah itu merangkumi tahun 2000 hingga 2010 sebanyak 200,000 kes termasuk bukan saja yang daftar kahwin pada tahun itu, tetapi juga kahwin dari tempoh yang lama. Jumlah ini bukan serius," katanya.
Jamil Khir berkata, kursus perkahwinan itu bertujuan memberi kefahaman tambahan kepada masyarakat tentang tatacara perkahwinan yang sebenarnya dan mengikut syarak.

"Ia untuk memahami juga bagaimana nak uruskan kehidupan rumah tangga bila kahwin...dalam masa yang sama juga untuk mengetahui cara laporkan apabila berlaku pergaduhan, ataupun konflik dalam rumah tangga," katanya.

Beliau berkata, faktor penyumbang paling besar kepada keretakan rumah tangga ialah tekanan ekonomi di samping tidak mempunyai perancangan rapi dalam membina sebuah rumah tangga bahagia. - BERNAMA


Bekas pelajar Malaysia ditangkap Polis Yogyakarta

Posted: 06 Sep 2011 03:46 AM PDT

Mutakhir

JAKARTA: Seorang rakyat Malaysia, bekas pelajar sebuah pondok pesantren (institusi pendidikan agama) di Bantul, Yogyakarta ditangkap polis di Yogyakarta semalam kerana disyaki menjual enjin motosikal yang dicuri.

Lelaki berusia 30 tahun yang berasal dari Kelantan itu ditangkap setelah polis memasang perangkap apabila mendapat maklumat daripada seorang peniaga bahawa bekas pelajar itu menawarkan untuk menjual blok enjin motosikal kepadanya.

Polis juga merampas beberapa barang bukti daripada suspek. Jurucakap Polis Yogyakarta hari ini berkata, suspek yang tinggal di Kampung Krapyak, Desa Panggungharjo, Sewon, Bantul itu, mengaku mencuri motosikal sebanyak dua kali.

Setelah mencuri, bahagian motosikal berkenaan akan dileraikan dan dijual secara berasingan sebagai alat ganti, kata jurucakap itu.

Mengikut undang-undang jenayah Indonesia, lelaki itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Polis memaklumkan kejadian itu kepada Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dan kepada keluarga suspek.
Difahamkan pondok pesantren tempat lelaki itu belajar sudah menyingkirkannya daripada institusi pendidikan agama itu pada Julai lalu kerana masalah disiplin.

Terdapat 10 pelajar Malaysia yang sedang menuntut di pesantren itu dan mereka tidak berdaftar dengan pihak Education Malaysia (MSD) di Indonesia.

Atase Pendidikan Malaysia Ludinata Misnun yang dihubungi berkata, Education Malaysia Indonesia akan memastikan kebajikan suspek semasa dalam tahanan pihak berkuasa Indonesia.

Pihaknya juga akan memastikan hak lelaki terbabit untuk mendapatkan keadilan terjamin, katanya. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan