Berita Harian: Nasional |
| Sukarelawan misi tak terima ugutan: Azeez Posted: 06 Sep 2011 04:39 PM PDT Nasional ABDUL AZEEZ pada sidang media bagi menjelaskan tuduhan pelbagai pihak selepas majlis makan tengah hari bersama anggota misi dan 33 paramedik Kelab Putera 1Malaysia, di Kuala Lumpur, semalam. KUALA LUMPUR: Presiden Kelab Putera 1Malaysia, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, semalam membuat penjelasan mengenai tuduhan pelbagai pihak ketika Misi Bantuan Kemanusiaan ke Somalia yang menyaksikan jurukamera BERNAMA TV, Noramfaizul Mohd Nor terkorban ditembak, di Mogadishu, Jumaat lalu. Pada sidang media selepas majlis makan tengah hari bersama anggota misi dan 33 paramedik Kelab Putera 1Malaysia yang terbabit dalam perkhidmatan 11 ambulans sepanjang musim perayaan, di sini, beliau mendakwa misi dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) keselamatan berdasarkan nasihat Kerajaan Persekutuan Transisi (FTG) Somalia. Abdul Azeez berkata, anggota misi tidak menerima ugutan atau ancaman mana-mana pihak bertelagah, malah Presiden Somalia, Sheikh Sharif Sheikh Ahmed menghantar Timbalan Menteri Kesihatan dan Timbalan Menteri Perikanan menyertai operasi, selain timbalan ketua polis Somalia dan pengarah angkatan tentera."Saya percaya pasukan kita bukan menjadi sasaran, tetapi kejadian (mengorbankan Noramfaizul) di luar jangkaan," katanya. Abdul Azeez berkata, selaku ketua misi dan presiden NGO yang berpengalaman menjalankan 14 misi seumpama itu, beliau akan memastikan aspek keselamatan sukarelawan, termasuk petugas media diutama dengan menghantar pasukan peninjau dan logistik lebih awal. Beliau berkata, pihaknya menghantar pasukan pertama pada 2 Ogos bagi menguruskan persediaan logistik, sebelum pasukan tinjauan utama tujuh anggota diketuai Duta Malaysia di Libya, Zulkifli Mohd Noor pada 25 Ogos untuk tinjauan, khususnya aspek keselamatan.
Penjelasan Abdul Azeez mengenai beberapa tuduhan: Tuduhan 1: Misi tidak mempunyai SOP keselamatan, termasuk tidak membuat tinjauan awal ke Mogadishu. Penjelasan: Tujuh pasukan peninjau dihantar bermula 2 Ogos dengan kumpulan peninjau keselamatan terakhir tiba di Mogadishu 25 Ogos. Tuduhan 2: Kenderaan konvoi menjadi sasaran kerana guna bendera Malaysia, menyebabkan kekeliruan dengan bendera Amerika Syarikat. Penjelasan: Kenderaan konvoi tidak meletakkan bendera Malaysia mengikut nasihat pasukan peninjau dan pihak berkuasa Mogadishu. Tuduhan 3: Hanya ada sebuah kenderaan kalis peluru, tetapi eksklusif untuk Abdul Azeez. Penjelasan: Kenderaan milik pemilik hotel penginapan itu tidak dikhaskan kepada ketua misi, sebaliknya 20 kenderaan biasa yang disewa digunakan secara bergilir-gilir di kalangan sukarelawan, termasuk petugas media. Tuduhan 4: Anggota misi dan media tidak dibekalkan jaket kalis peluru. Penjelasan: Laporan pasukan peninjau dan pihak berkuasa di Mogadishu memaklumkan tiada keperluan memakai jaket kalis peluru. Tuduhan 5: Anggota sukarelawan dan media tidak diberi penerangan berhubung aspek keselamatan. Penjelasan: Taklimat berkaitan diadakan di Malaysia sebelum anggota misi berlepas pada 28 Ogos, kecuali yang menyertainya saat akhir. |
| YWJ tak pernah iktiraf Mat Indera Posted: 06 Sep 2011 04:35 PM PDT Nasional Sejarawan, masyarakat kena tafsir Pengukir Nama Johor oleh 2 penulis berbezaJOHOR BAHRU: Ahmad Indera atau Mat Indera tidak pernah diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan negara oleh Yayasan Warisan Johor (YWJ), walaupun namanya disenaraikan menerusi penulisan yang diterbitkan dalam buku bertajuk, Pengukir Nama Johor. Sebaliknya, dua penulisan berkaitan Mat Indera diterbitkan dalam buku itu hasil penyelidikan dua penulis berbeza, memerlukan tafsiran dan penilaian masyarakat, khususnya golongan sejarawan, sama ada lelaki itu seorang pengganas komunis atau pejuang. Selain artikel hasil penyelidikan Allahyarham Ismail Adnan, buku itu juga memaparkan penulisan mengenai Mat Indera berdasarkan kajian Sahgidon Dirhan bertajuk Bajuri Haji Siraj, yang mendedahkan Mat Indera pemimpin komunis Melayu melakukan keganasan dan kekejaman terhadap bangsa sendiri.Pengarah YWJ, Muhamad Fuad Radzuan, berkata buku berkenaan hasil kajian penyelidik dan penulis secara individu di bawah Projek Penyelidikan dan Penulisan Warisan Sejarah Johor (PEWARIS) yang diselenggarakan yayasan itu. "Projek PEWARIS membabitkan penulis dan penyelidik yang dilatih sekumpulan tenaga akademik dari beberapa institusi pengajian tinggi awam negara ini. Hasil kajian dan penulisan mereka dibukukan untuk tatapan masyarakat, termasuk buku Pengukir Nama Johor yang diterbitkan pada 2004. "Justeru, Pengukir Nama Johor hasil kajian dan penyelidikan penulis secara individu walaupun mungkin boleh menimbulkan kontroversi. Terserah kepada masyarakat khususnya golongan sejarawan mentafsir dan menilainya kerana pentafsiran oleh golongan yang tidak arif, dikhuatiri boleh mengelirukan masyarakat.
Muhamad Fuad berkata, perbezaan itu wujud kerana YWJ memberi kebebasan kepada penyelidik dan penulis sejarah berkenaan mengemukakan hasil kajian dan penulisan masing-masing dalam bentuk karya akademik popular. Katanya, pendekatan itu dengan harapan hasil penyelidikan berkenaan dapat merangsang penulis lain memperkembangkan maklumat yang ada dalam penulisan buku terbabit supaya ia menjadi lebih komprehensif. |
| You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan