Isnin, 23 April 2012

Kosmo Online

Kosmo Online


Wanita berkelah maut dihempap pokok rhu

Posted:

Wanita berkelah maut dihempap pokok rhu

Wanita berkelah maut dihempap pokok rhu

23/04/2012 8:15pm

ROMPIN – Seorang wanita yang sedang berkelah bersama keluarganya di Pantai Hiburan, dekat sini, maut selepas dihempap sebatang pokok rhu.

Mangsa, Norzuraini Rahim, 22, berasal dari Keratong mati di tempat kejadian akibat patah tengkuk.

Timbalan Ketua Polis Daerah Rompin, ASP Zainor Mujahidin Mat Yudin berkata, dalam kejadian kira-kira 5 petang semalam, mangsa bersama beberapa ahli keluarganya berkelah di pantai berkenaan.

"Dalam kejadian itu mangsa dan keluarganya sedang berkemas-kemas untuk pulang setelah berkelah di situ.

"Tiba-tiba angin bertiup kencang sehingga menyebabkan beberapa dahan pokok rhu patah dan tumbang, salah satu daripadanya telah menghempap mangsa," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa dihantar ke Hospital Muadzam Shah untuk bedah siasat.

Kata Zainor, mayat mangsa sudah dituntut keluarganya dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Keratong pagi tadi. – BERNAMA

Wang palsu: Penuntut Nigeria dipenjara, didenda

Posted:

Wang palsu: Penuntut Nigeria dipenjara, didenda

Wang palsu: Penuntut Nigeria dipenjara, didenda

23/04/2012 8:12pm

KUALA LUMPUR – Seorang penuntut Nigeria dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan didenda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap empat pertuduhan termasuk memiliki dan menggunakan wang kertas palsu, tahun lepas.

Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh menjatuhkan hukuman itu terhadap Adegbola Adesola, 28, selepas penuntut kolej swasta itu menukar pengakuan bersalah terhadap keempat-empat pertuduhan.

Hakim itu memerintahkan hukuman bagi kesemua pertuduhan berjalan serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 24 November 2011.

Hukuman penjara dua tahun dijatuhkan, masing-masing bagi pertuduhan pertama, kedua dan ketiga, manakala denda RM2,000 atau penjara enam bulan ke atas Adegbola jika gagal membayar denda bagi pertuduhan keempat.

Bagi pertuduhan pertama, Adegbola didakwa mengguna sekeping wang kertas palsu RM100 untuk membeli dua pasang kasut dan sepasang selipar berjenama Lois di Lois Shop, Berjaya Times Square, Dang Wangi, di sini, pada 5 petang 24 November 2011.

Dia juga didakwa menggunakan wang kertas palsu dengan nilai sama untuk membeli dua pasang selipar, dua helai seluar pendek jenama O-Neill, sehelai seluar boxer lelaki jenama Kleins dan dua tali pinggang jenama Northen Rock di Factory Outlet Store (FOS), Tingkat Bawah Plaza Berjaya Times Square, Dang Wangi di sini, pada 4.24 petang pada hari yang sama. – BERNAMA

Kebakaran: 35 rumah musnah, 100 jadi mangsa

Posted:

Kebakaran: 35 rumah musnah, 100 jadi mangsa

Kebakaran: 35 rumah musnah, 100 jadi mangsa

23/04/2012 8:07pm

KOTA KINABALU – Kira-kira 100 orang hilang tempat tinggal apabila kebakaran memusnahkan kira-kira 35 rumah papan di kawasan setinggan di Kingfisher River Side dekat sini kira-kira 11 pagi ini.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat, Mohd Affendy Ramin berkata, bomba menerima panggilan kecemasan pada 11.07 pagi dan segera menggegaskan empat jentera bersama 28 anggota.

"Anggota bomba tiba pada 11.26 pagi dan berjaya mengawal api tujuh minit kemudian," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran itu masih disiasat. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan