Ahad, 22 April 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Chang Yeow pengerusi baru BN Pulau Pinang

Posted: 22 Apr 2012 03:32 PM PDT

Nasional

NAJIB    bersama ahli NGO menyanyikan lagu 1Malaysia selepas menghadiri dua perjumpaan tertutup dengan NGO yang mewakili masyarakat India dan Cina di USM,  Georgetown, semalam.

NAJIB bersama ahli NGO menyanyikan lagu 1Malaysia selepas menghadiri dua perjumpaan tertutup dengan NGO yang mewakili masyarakat India dan Cina di USM, Georgetown, semalam.

NIBONG TEBAL: Setiausaha Agung GERAKAN, Teng Chang Yeow diumumkan sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang bagi menggantikan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkuat kuasa serta-merta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata pelantikan bekas EXCO negeri yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar itu adalah pembaharuan BN Pulau Pinang untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi GERAKAN negeri, Datuk Dr Teng Hock Nan kerana memahami bahawa inilah realiti politik, walaupun beliau sendiri sudah banyak memberi sumbangan dan tenaga kepada parti selama ini," katanya berucap pada majlis perjumpaan dengan jentera pilihan raya dan pelancaran 345 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Bukit Jawi Golf Resort di sini, semalam. Bagaimanapun, kata Najib, strategi pembaharuan yang dilakukan BN itu memerlukan kerjasama dan muafakat semua pihak serta boleh bekerja sebagai satu pasukan.

Beliau berkata, apabila sesuatu keputusan diputuskan pucuk pimpinan, sewajarnya pemimpin taat kepada keputusan yang dibuat serta tidak meletakkan kepentingan diri lebih daripada kepentingan parti dan penyokong.

"Jangan bila tidak terpilih nanti merajuk, tutup bilik gerakan, tidak mahu kerja dan yang lebih buruk lagi sabotaj parti... itu tidak wajar dilakukan.

"Pembaharuan ini menampilkan iltizam BN untuk berjaya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) akan datang, kita akan bekerja kuat dan penuh bijaksana untuk pulihkan maruah dan martabat BN," katanya.
Sementara itu, Chang Yeow berjanji mencari kaedah terbaik memenangi semula keyakinan penduduk negeri ini terhadap parti itu.

Program pikat generasi muda

Posted: 22 Apr 2012 03:31 PM PDT

Nasional

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan beberapa lagi inisiatif 'touch point' baru, termasuk program penting yang menyentuh generasi muda, untuk terus membela nasib rakyat di negara ini, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata, Datuk Seri Najib Razak, dijangka membuat pengumuman mengenai perkara berkenaan dalam tempoh terdekat sebagai kesinambungan lonjakan besar transformasi yang menyaksikan pelbagai bantuan disalur kepada rakyat di bawah kepemimpinan Perdana Menteri.

Katanya, kerajaan sentiasa mengambil kira kepentingan dan keperluan generasi muda dalam pelaksanaan transformasi, meliputi ekonomi yang menyediakan banyak peluang pekerjaan baru, politik di mana Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dipinda serta pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, di samping memperkenalkan Dasar Belia Negara. Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) juga memenuhi kehendak generasi muda dari segi kewujudan kerajaan yang telus, adil, bertanggungjawab, mendukung perjuangan hak asasi, serta berjaya menjadikan Malaysia diiktiraf sebuah negara membangun yang paling maju di dunia.

Malah, sebagai Menteri Pelajaran, beliau memberi jaminan sistem pendidikan negara yang sedia baik akan terus diperbaiki demi melengkapi masa depan generasi muda dengan ilmu, kemahiran dan kepakaran diperlukan.

"Semuanya kita ambil kira bersesuaian dengan cita rasa anak muda. Kita mengiktiraf suara anak muda. Sebab itu, kita lihat di atas pentas ini ada beberapa wakil orang muda yang sudah ada di Parlimen (sebagai wakil rakyat)...banyak lagi juga akan masuk Parlimen nanti, insya-Allah kerana mereka adalah `winnable candidate'.

"Justeru, kalau melihat soal kepentingan anak muda dan juga mereka yang sudah agak berusia, tentulah tidak ada pilihan lebih baik kecuali BN yang memperjuangkan nasib rakyat. Kita hendak menentukan parti kita dapat memenuhi cita rasa semua peringkat rakyat...yang muda, tua, lama dan baru," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran BN Pilihan Orang Muda Peringkat Wilayah Persekutuan 2012 di sini, semalam.
Hadir sama Pengerusi Pemuda BN merangkap Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin; Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong; Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin; Naib Ketua Pemuda UMNO, Datuk Razali Ibrahim; dan Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk M Saravanan.

Program itu dihadiri kira-kira 5,000 ahli Pemuda dan Puteri dari jentera parti BN seluruh Wilayah Persekutuan, termasuk Putrajaya dan Labuan.

Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi BN Wilayah Persekutuan berkata, rakyat terutama generasi muda, harus menjadi benteng mempertahankan sistem hidup yang sudah dibina dan dibangunkan selama ini daripada runtuh dengan menentang habis-habisan ideologi serta budaya songsang dibawa puak pembangkang yang akan menjahanamkan negara.

Beliau berkata, pembangkang melemparkan pelbagai tohmahan, pembohongan dan bidaah terhadap kerajaan, termasuk memutarbelitkan fakta mengenai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), serta membawa budaya kebebasan tanpa batasan agama, nilai, etika dan budaya, di samping mempersoalkan banyak peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan yang sudah diterima rakyat selama ini.

"Mereka mahu menjahanamkan negara kita. Tanggungjawab kita sebagai Pemuda BN menjadi benteng mempertahankan negara, inilah cabaran kita hadapi sekarang. Justeru, jangan kita sesekali membiarkan pembangkang menimbulkan masalah dalam negara kita," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan