Jumaat, 20 April 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


PNB contoh terbaik kumpul dana besar rakyat

Posted: 20 Apr 2012 04:30 PM PDT

Nasional

NAJIB diiringi Musa bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Perdana Bersama Rakyat 1Malaysia Parlimen Sandakan dan Batu Sapi di Sandakan, semalam. - Foto Edmund Samunting

NAJIB diiringi Musa bersalaman dengan orang ramai pada Majlis Perdana Bersama Rakyat 1Malaysia Parlimen Sandakan dan Batu Sapi di Sandakan, semalam. - Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Datuk Seri Najib Razak berkata, Permodalan Nasional Berhad (PNB) adalah antara contoh kejayaan terbaik selaku institusi yang mengumpul dana besar rakyat dan dimanfaatkan ke arah memacu pembangunan ekonomi negara.

Perdana Menteri berkata, unit dalam edaran semasa berjumlah RM144 bilion yang diuruskan PNB memadai dalam membuktikan sokongan dan kesedaran tinggi segenap lapisan rakyat untuk menabung demi masa depan.

Katanya, rakyat Sabah tidak ketinggalan memanfaatkan kemudahan itu dan dilaporkan berada di tangga kelima senarai dari segi jumlah pelaburan di seluruh negara.

Minggu Saham Amanah Malaysia 2012 wajar menyemarakkan sikap positif pelabur terhadap unit saham kendalian PNB dan saya harap Sabah mendapat suntikan tambahan menerusi peningkatan peranan PNB di negeri serba indah ini. Impian kerajaan menjadikan Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi bukan janji kosong atau tidak berpijak di bumi nyata. - Datuk Seri Najib Razak

"Sambutan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2012 turut menandakan kita meraikan kejayaan negara secara keseluruhan. PNB adalah kejayaan yang mempunyai dimensi besar dan boleh dibanggakan kerana institusi ini mengumpul dana besar untuk negara dan seterusnya memacu pembangunan ekonomi secara baik.

"Sebagai kerajaan, kita akan terus mengusahakan pelbagai kejayaan demi keselesaan rakyat," katanya ketika melancarkan MSAM 2012 di Kompleks Sukan Likas, di sini semalam.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid.

MSAM 12 yang berlangsung hingga 28 April ini adalah edisi ke-13 diadakan dan pertama kali Sabah dipilih sebagai tuan rumah.
Najib berkata, MSAM perlu dimanfaatkan sebagai landasan untuk mendidik rakyat mengenai peluang pelaburan dan sifat menabung yang boleh membantu mereka menguruskan masa depan secara lebih teratur.

"Saya lihat Sabah mempunyai banyak peluang menerusi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKEA) seperti tenaga diperbaharui, industri sawit peringkat hiliran, ternakan rumpai laut dan pembukaan ladang mini serta pelancongan.

"Ini peluang baik untuk meninjau ruang dan peluang pelaburan dalam kumpulan PNB kerana dengan cara itu, kita dapat menjamin pembangunan ekonomi dengan mempelbagaikannya di setiap sektor dan tidak bertumpu di kawasan tertentu saja," katanya.

Menyatakan kebanggaannya dengan pencapaian syarikat Kumpulan PNB yang dikategorikan berskala besar dan menawarkan saham mewah, Perdana Menteri berkata, keadaan itu wajar menjadi pemangkin bagi PNB memperluaskan aktivitinya termasuk menambah pelaburan di seluruh negara.

"MSAM 2012 wajar menyemarakkan sikap positif pelabur terhadap unit saham kendalian PNB dan saya harap Sabah mendapat suntikan tambahan menerusi peningkatan peranan PNB di negeri serba indah ini. Impian kerajaan menjadikan Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi bukan janji kosong atau tidak berpijak di bumi nyata," katanya.

Blogger diingat tak putar belit fakta, kelirukan rakyat

Posted: 20 Apr 2012 04:23 PM PDT

Nasional

KUALA LUMPUR: Blogger propembangkang diingatkan supaya tidak mengelirukan rakyat dengan meletakkan agenda politik melebihi agenda keselamatan negara selepas memutarbelitkan fakta mengenai isu perolehan kereta perisai pacuan empat roda dengan kereta perisai pertahanan buatan Malaysia, AV8.

Sehingga kini kerajaan menjalankan kajian terhadap pacuan empat roda lebih dikenali 6x6 itu untuk digunakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjalankan tugas di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL) di Lubnan, manakala kereta perisai AV8 adalah rancangan pembangunan kereta buatan Malaysia untuk jangka panjang.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata projek AV8 mempunyai 12 varian bernilai RM8 bilion sesuai untuk penyediaan tentera masa depan di Malaysia, manakala 6x6 untuk kegunaan UNIFIL di Lubnan. "Pasukan kita di Lubnan sangat memerlukan kereta perisai 6x6 ekoran kereta perisai sedia ada iaitu jenis Condor yang digunakan sejak 1980 tidak lagi sesuai.

"Adalah mustahil menunggu AV8 kerana program pembangunan kereta perisai canggih itu akan memakan masa 15 tahun dan apa yang kita perlukan sekarang adalah kereta perisai 6x6 dari luar negara," katanya selepas menyaksikan perjanjian persefahaman antara Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini, semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan