Khamis, 26 April 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tiga kali banjir sebulan

Posted: 25 Apr 2012 12:19 PM PDT

KUALA LUMPUR: Nama saja Kampung Segambut Bahagia, namun ia tidak menggambarkan kehidupan bahagia penduduknya apabila kerap berdepan masalah banjir.

Timbalan Pengerusi Masjid Tarbuyyatul Islamiah, Hassan Kassim berkata, dalam tempoh tidak sampai tiga minggu, tiga kejadian banjir kilat berlaku di kampung berkenaan sepanjang bulan ini.


"Ia bukan satu perkara baru kerana ia berlaku sejak beberapa tahun lalu. Setiap kali hujan lebat, rumah kami dinaiki air.

"Sudah banyak kerugian harta benda sehingga kami tidak sanggup membeli perabot dan membiarkan rumah kosong kerana tahu ia rosak jika banjir," katanya di sini, semalam.


Dianggarkan lebih 200 rumah di kampung berkenaan dinaiki banjir, namun sehingga kini belum ada penyelesaian kekal dilakukan pihak berwajib khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).


"Malah, bantuan daripada DBKL juga jarang diterima. Hanya sekali DBKL memberikan RM300 setiap rumah yang terjejas, itupun beberapa tahun lalu," katanya.

Difahamkan, antara kawasan yang terjejas teruk ialah Jalan Kelapa Hijau, Kelapa Muda, Kelapa Gading dan Lenggok Kelapa.


Selain itu, Kampung Segambut Tengah mengalami masalah sama. Pengerusi persatuan penduduknya, Razali Mohammad berkata, lebih 12 rumah di situ ditenggelami air setiap kali banjir.

"Semuanya berpunca daripada keadaan longkang yang kecil berhampiran Sungai Keroh berbanding saiz longkang yang besar di bahagian atas.


"Disebabkan aliran air yang banyak, longkang kecil itu tidak mampu mengalirkan air seterusnya menyebabkan air melimpah ke atas Jalan 1/38, berhampiran Wisma Suhati dan di jalan utama Lang Emas.


"Malah, tindakan kontraktor membuat longkang menutupnya dengan tar menyebabkan longkang berkenaan tidak boleh diselenggara dan tersumbat," katanya.


Namun, hasil pemeriksaan kontraktor pembinaan jejambat dari arah Segambut ke Mont Kiara mendapati beberapa saluran longkang dalam tanah di situ dihalang beberapa utiliti seperti paip air Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan saluran gas.


Rampas patung seks

Posted: 25 Apr 2012 12:12 PM PDT

KLANG: Sebuah patung getah yang menyerupai tubuh perempuan yang dijual pada harga RM50 dan menjadi kegemaran lelaki untuk melepaskan nafsu antara pelbagai produk berahi yang dirampas penguat kuasa Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam tujuh siri serbuan di sini, 18 April lalu.

Pengarah Jabatan Penguatkuasa MPK, Andry Arman Masrom berkata, pihaknya merampas pelbagai peralatan dan ubat seks yang dianggarkan bernilai RM10,000 kerana dijual secara terbuka.


"Antara kawasan yang terbabit dalam operasi ini ialah Taman Klang Jaya, Taman Bayu Perdana, Persiaran Raja Muda Muda, Jalan Kapar, Lorong Cungah, Taman Klang Utama dan Taman Sentosa.

"Serbuan dijalankan pada jam 4 petang di tujuh kawasan secara serentak selepas kami melakukan risikan dan hasil aduan awam," katanya ketika ditemui di sini, kelmarin.


Andry Arman berkata, peniaga terbabit menjadikan pelanggan di premis nombor ekor berhampiran sebagai sasaran utama berikutan premis berkenaan tumpuan orang ramai.


Katanya, rungutan orang awam yang melalui kawasan itu terutama ibu bapa disalurkan kepada MPK yang kemudian membuat serbuan dan merampas hampir 300 produk berahi termasuk barang perhiasan wanita selain menyita peralatan berniaga.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan