Rabu, 25 April 2012

Berita Harian: MukaDepan

Berita Harian: MukaDepan


Dana RM2 bilion diagih

Posted: 24 Apr 2012 03:27 PM PDT

MukaDepan

BACHOK: Kira-kira 500,000 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kini boleh memohon Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah berjumlah RM2 bilion yang dilancarkan semalam bagi mengembangkan dan meningkatkan perusahaan mereka.

Kemudahan itu menawarkan pembiayaan sehingga RM5 juta dengan rebat dua peratus kepada pemohon untuk aktiviti perniagaan dalam semua bidang patuh syariah, kecuali perkhidmatan kewangan.

Skim itu dikendalikan 13 institusi perbankan Islam dengan Kerajaan Persekutuan membiayai dua peratus daripada kadar keuntungan pembiayaan oleh bank yang dikenakan kepada pemohon yang berjaya. Ia dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Program Himpunan Usahawan Mikro, Kecil dan Sederhana di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato' Perdana, di sini. Skim itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2012 lalu.

Dalam ucapannya, Muhyiddin berkata dana yang besar itu akan membolehkan ramai pengusaha PKS mendapat manfaat kos pinjaman lebih rendah daripada institusi perbankan Islam yang mengambil bahagian melalui bantuan rebat yang disediakan oleh kerajaan.

"Saya amat bersyukur dan mengucapkan tahniah serta syabas kepada Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) dan SME Corp Malaysia kerana mewujudkan skim pembiayaan ini," katanya.

Hadir sama Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin; Pengerusi SME Corp Malaysia, Datuk Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid dan Presiden AIBIM, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.
Muhyiddin juga berkata, usaha itu mencerminkan komitmen pihak swasta menyokong usaha kerajaan merancakkan pertumbuhan ekonomi negara menerusi langkah memperluas serta mempelbagaikan kemudahan institusi perbankan Islam kepada PKS.

"Menariknya, pelancaran skim yang amat penting ini diadakan di bumi Kelantan. Kerajaan berasakan bahawa ia begitu relevan dan amat berkaitan sekali dengan semangat keusahawanan dimiliki penduduk negeri bertuah ini," katanya.

Selain itu, Muhyiddin berkata, setakat ini Malaysia Industrial Development Finance Berhad (MIDF) sudah meluluskan kemudahan kewangan berjumlah RM166 juta bagi 130 projek, sekali gus membantu merancakkan pembangunan ekonomi di Kelantan.

"Ini termasuk kemudahan pembiayaan berjumlah RM73 juta di bawah program bantuan kewangan Kerajaan Pusat melalui Skim Pinjaman Mudah, khususnya untuk membiayai sejumlah 87 projek PKS dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan di Kelantan.

"Dari segi pelaburan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sudah meluluskan insentif bagi tiga projek PKS di Kelantan dengan modal pelaburan domestik keseluruhan bernilai RM6.2 juta," katanya.

Terdahulu, Muhyiddin ketika meluangkan masa kira-kira 30 minit melakukan tinjauan mesra di Pasar Besar Siti Aishah Jelawat bersetuju meluluskan peruntukan berjumlah RM500,000 bagi membaikpulih bangunan berkenaan untuk keselesaan peniaga kecil dan orang ramai.

Beliau yang diiringi Mustapa dan Awang Adek turut mengambil kesempatan bersarapan pagi di pasar berkenaan sebelum ke SMK Dato' Perdana.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersial. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Tiada ulasan:

Catat Ulasan