Rabu, 25 April 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Penganjur tetap berdegil

Posted: 25 Apr 2012 04:14 PM PDT

Nasional

KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, meminta penganjur Perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 3.0) supaya menerima lokasi alternatif ditawarkan dan bukannya di Dataran Merdeka seperti dirancangkan sebelum ini.

Malah, beliau turut memberi jaminan keselamatan terhadap penganjur dan peserta perhimpunan itu Sabtu ini sekiranya mereka menerima lokasi ditawarkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Katanya, kerajaan juga tidak pernah menghalang penganjur mengadakan perhimpunan berkenaan, malah menawarkan empat stadium sekitar ibu negara sebagai lokasi. "Kita menawarkan kepada mereka Stadium Merdeka, Stadium Bukit Jalil, Stadium Cheras dan Stadium Titiwangsa. Saya memberi jaminan dan dapat memastikan perjalanan ke tempat ditetapkan tidak akan terganggu.

"Malah jika mereka menerima tawaran diberikan, perjalanan mereka akan lebih mudah sebagai satu semangat dalam akta baru iaitu Akta Perhimpunan Aman," katanya pada sidang media di Bukit Aman, semalam.

Hishammuddin berkata, alasan penganjur kononnya tidak mempunyai cukup masa untuk menukar lokasi selain Dataran Merdeka adalah tidak logik kerana mereka masih mempunyai masa agak panjang menjelang perhimpunan berkenaan.

"Kalau mereka benar-benar ikhlas dalam perjuangan mereka, mengapa tidak duduk berbincang dan fikirkan jalan terbaik selain daripada mencari alasan yang saya rasakan tidak masuk akal.
"Apa sebenarnya dikehendaki penganjur ini. Kita sudah cuba sedaya upaya bertindak adil terhadap mereka namun sebaliknya mereka tetap berdegil dan enggan berunding secara rasional," katanya.

Hishammuddin juga berkata, pihaknya tidak menganggap perhimpunan itu sebagai sesuatu yang membahayakan namun pihak berkuasa diletakkan dalam keadaan bersedia sekiranya penganjur dan peserta masih berdegil untuk berhimpun di Dataran Merdeka.

Mengulas mengenai dakwaan bahawa beliau menerima afidavit Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang meminta penjelasannya yang didakwa mengisytiharkan BERSIH sebagai pertubuhan tidak sah tahun lalu, Hishammuddin berkata:

"Saya sebagai tuan punya badan belum menerima sebarang permohonan atau arahan mahkamah. Ini adalah sesuatu yang tidak benar dan saya meminta orang ramai agar tidak terpengaruh dengan khabar angin dipercayai dilakukan pihak tidak bertanggungjawab."

Sementara itu, Pengerusi bersama gabungan itu, Datuk S Ambiga, berkata pihaknya tetap dengan keputusan meneruskan perhimpunan di Dataran Merdeka walaupun DBKL menolak permohonan mereka untuk berbuat demikian.

"Hari ini (semalam) kami mengadakan perbincangan hati ke hati dengan Datuk Bandar (Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail) yang memaklumkan kepada kami bahawa pihaknya tidak akan membenarkan perhimpunan di Dataran Merdeka," katanya.

SPR jawab fitnah pembangkang

Posted: 25 Apr 2012 04:13 PM PDT

Nasional

DAKWAAN: SPR sengaja membetulkan sempadan kawasan pilihan raya DUN dan Parlimen tanpa kelulusan Parlimen bertujuan meramaikan pengundi di satu-satu kawasan bagi membolehkan Barisan Nasional (BN) beroleh kemenangan pada PRU Ke-13.

Penjelasan: Dakwaan itu adalah fitnah dan tidak berasas sama sekali. SPR tidak pernah melakukan perubahan terhadap sempadan kawasan atau bahagian pilihan raya DUN atau Parlimen kerana urusan berkenaan hanya boleh dilakukan apabila tiba masanya mengikut peruntukan Perkara 113(A) Perlembagaan Persekutuan.

SPR mengumumkan bahawa urusan kajian semula persempadanan bahagian pilihan raya hanya akan diadakan apabila tiba masanya selepas PRU-13. SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu apabila tiba masanya nanti. Apa yang sebenarnya berlaku sebelum ini mengikut peruntukan kuasa di bawah sub peraturan 25(3) Peraturan-eraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, melalui kuasa Ketua Pendaftar adalah tindakan SPR membetulkan lokaliti yang mengandungi nama-nama pemilih yang tersalah letak ketika proses penetapan kedudukan lokaliti (sebelum 2004) yang dibuat secara manual.

Oleh kerana kedudukan lokaliti berkenaan tersalah letak, maka selaras dengan peruntukan undang-undang, SPR perlu membetulkan kedudukan dalam bahagian pilihan raya yang sepatutnya pemilih dalam lokaliti berkenaan didaftarkan.

SPR menyedari kedudukan beberapa lokaliti yang tersalah letak hanya selepas Sistem EGIS (Electoral Geographical Information System) diguna pakai pada 2004. Melalui peruntukan kuasa yang ada, SPR membuat pembetulan kedudukan lokaliti yang tersalah letak di seluruh negara yang membabitkan 19,342 pemilih.

Pemilih mengikut lokaliti berkenaan perlu ditempatkan dalam kawasan pilihan raya yang sebenarnya seperti yang wujud di lapangan.
Perlu ditekankan bahawa pembetulan lokaliti itu tidak sama sekali membabitkan perubahan kepada mana-mana garis sempadan bahagian pilihan raya DUN ataupun Parlimen. Sebaliknya, dengan pembetulan kedudukan pemilih mengikut lokaliti maka mereka akan mengundi dalam bahagian pilihan raya yang betul mengikut kedudukan alamat di dalam daerah mengundi dan DUN yang sebenarnya.

Selepas pembetulan lokaliti, SPR memaklumkan secara rasmi melalui surat pemberitahuan yang dialamatkan kepada semua pemimpin parti politik dalam bahagian pilihan raya yang berkenaan.

SPR beranggapan parti politik melalui pemimpin mereka di peringkat daerah mengundi dan DUN menyedari tindakan SPR dan seterusnya memaklumkan kepada pemilih di kawasan masing-masing. Tetapi, ramai pemilih yang memberi maklum balas kepada SPR mereka tidak menyedari berlaku pembetulan kedudukan nama mereka mengikut lokaliti di mana mereka didaftarkan.

Justeru, bagi menghadapi PRU-13 akan datang, SPR akan menulis surat pemberitahuan perkara itu kepada semua pemilih terbabit di kawasan yang berkenaan di seluruh negara.

FAKTA DI SEBALIK DAKWAAN FITNAH TERHADAP SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan