Kosmo Online |
- APMM tahan 9 nelayan Vietnam di Tok Bali
- Kanak-kanak koma disyaki didera teman lelaki ibu
- Mayat lelaki di persisiran pantai
APMM tahan 9 nelayan Vietnam di Tok Bali Posted: APMM tahan 9 nelayan Vietnam di Tok Bali21/04/2012 8:17pm PASIR PUTEH — Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Tok Bali menahan sembilan awak-awak dan tekong serta bot milik warga Vietnam kerana menangkap ikan di perairan negara awal pagi ini. Komander APMM Daerah 10 Tok Bali, Zainin Abdul Majid berkata nelayan dan bot berkenaan berada di posisi 107 batu nautika dari Tok Bali ketika ditahan pada 4.15 pagi. "Bot itu kemudian ditunda ke Jeti Operasi Maritim Malaysia Tok Bali untuk tindakan lanjut" katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. Beliau berkata, seramai 17 anggota APMM yang diketuai oleh Left Komander Norhafizi Rafik, yang membuat rondaan menerusi operasi Ops Perkasa Timur, mengesan nelayan Vietnam berumur antara 19 dan 55 tahun ketika sedang menangkap ikan. Mereka akan didakwa mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 dan jika sabit kesalahan boleh didenda RM1 juta atau enam bulan penjara bagi tekong dan denda RM100,000 atau enam bulan penjara bagi setiap awak-awak atau kedua-duanya, manakala bot dan peralatan serta hasil tangkapan dirampas.— BERNAMA |
Kanak-kanak koma disyaki didera teman lelaki ibu Posted: Kanak-kanak koma disyaki didera teman lelaki ibu21/04/2012 6:58pm KUALA TERENGGANU — Seorang kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun koma setelah dipercayai didera oleh teman lelaki ibunya di Kampung Tualang, Manir, di sini malam tadi. Dalam kejadian kira-kira pukul 9 malam itu, mangsa, Mohd. Danish Aiman Abdullah, tidak sedarkan diri setelah dikatakan ditampar oleh suspek. Kanak-kanak itu dipercayai menjadi mangsa akibat perselisihan faham di antara ibunya, Norisah Kassim, 22 dengan lelaki suspek berumur 31 tahun itu di rumah milik keluarganya. Panik melihat kanak-kanak itu lemah dan tidak sedarkan diri, ibu mangsa bergegas membawanya ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini. Kanak-kanak itu kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan. Difahamkan, Mohd. Danish Aiman dan ibunya yang dalam proses penceraian dengan bapa kanak-kanak tersebut menumpang tinggal di rumah itu sejak tiga bulan lepas. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, ACP K. Manoharan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan. Katanya, gerakan memburu suspek yang tidak bekerja itu giat dijalankan dan dipercayai suspek sedang menyembunyikan diri. Kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.— BERNAMA |
Mayat lelaki di persisiran pantai Posted: Mayat lelaki di persisiran pantai21/04/2012 5:44pm GEORGETOWN — Polis Gerakan Marin Pulau Pinang menemui satu mayat lelaki dalam keadaan tertiarap di persisiran pantai Jelutong di sini hari ini. Sumber polis marin berkata, mayat tanpa dokumen pengenalan itu ditemui pada pukul 1 tengah hari itu dibawa ke Pangkalan Polis Marin Batu Uban sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng ketika dihubungi berkata, hasil siasatan mendapati maklumat mayat itu berpadanan dengan identiti seorang lelaki yang dilaporkan hilang pada Khamis lalu. "Keluarga mangsa telah dipanggil untuk melakukan pengecaman terhadap mayat itu dan hasilnya positif," katanya. Beliau berkata, polis tidak menolak kemungkinan mangsa telah terjun dari Jambatan Pulau Pinang dan dihanyutkan arus deras hingga terdampar di pantai itu. — BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan