Rabu, 18 April 2012

Berita Harian: Nasional

Berita Harian: Nasional


Pindaan ISA tidak dibuat terburu-buru

Posted: 18 Apr 2012 01:50 PM PDT

Nasional

Ahli Parlimen diberi masa bahas undang-undang

KUALA LUMPUR: Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 yang diluluskan Dewan Rakyat menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) tidak dibuat secara terburu-buru kerana Ahli Parlimen diberikan masa mencukupi membahaskan rang undang-undang berkenaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata soal masa tidak mencukupi tidak timbul jika Ahli Parlimen mengikuti Peraturan Mesyuarat serta tidak membuang masa, seperti mana berlaku dalam isu kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Pahang, ketika penubuhan jawatankuasa khas Parlimen mengenai isu berkenaan.

Jika bahas fokus (kepada rang undang-undang terbabit), tidak melengahkan masa, setiap Ahli Parlimen mempunyai masa cukup. Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri

Katanya, setiap Ahli Parlimen diberikan masa mencukupi membahaskan rang undang-undang terbabit sebelum ia diluluskan.

"Jika bahas fokus (kepada rang undang-undang terbabit), tidak melengahkan masa, setiap Ahli Parlimen mempunyai masa cukup," katanya kepada Berita Harian di lobi Parlimen, semalam.

Beliau mengulas laporan akhbar yang memetik pandangan pihak tertentu bahawa Ahli Parlimen tidak diberikan masa mencukupi untuk membahaskan beberapa akta diluluskan di Parlimen.

Sementara itu, Datuk Yussof Mahal (BN-Labuan) berkata, isu tidak cukup masa tidak harus dibangkitkan jika semua pihak memanfaat masa diberi membahaskan perkara pokok akta berkenaan.
"Mungkin mereka tidak cukup masa sebab mencampur aduk isu pokok dengan isu politik sehingga memakan banyak masa," katanya.

Bagaimanapun, Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) berkata, masa tambahan diperlukan untuk perbahasan kerana beberapa rang undang-undang membabitkan isu penting seperti keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Katanya, ia juga bagi membolehkan Ahli Parlimen membuat persediaan rapi sebelum membahaskan isu berkenaan di Parlimen.

Jumlah durian runtuh FGVH diumum 8 Mei

Posted: 18 Apr 2012 01:48 PM PDT

Nasional

JASIN: Datuk Seri Najib Razak akan mengumumkan jumlah durian runtuh bakal diterima oleh 112,635 peneroka FELDA seluruh negara susulan penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) pada perhimpunan raksasa di Jerantut, Pahang, pada 8 Mei ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan, berkata program di FELDA Padang Piol itu dijangka dihadiri kira-kira 30,000 orang, termasuk masyarakat peneroka dan waris mereka, juga bakal menjadi medan pertemuan empat mata antara rakyat dengan Perdana Menteri.

"Pengumuman Perdana Menteri akan menggembirakan peneroka FELDA dari 317 tanah rancangan seluruh negara. Ini bermakna, satu lagi janji beliau kepada rakyat, khususnya warga FELDA bakal ditepati. "Saya yakin lebih 30,000 masyarakat tempatan termasuk peneroka atau waris membanjiri FELDA Padang Piol untuk menjadi saksi terhadap usaha kerajaan membela nasib rakyat," katanya selepas menyampaikan ucaptama Wacana Minda 1Malaysia di FELDA Tun Ghaffar Baba Kemendor, dekat sini malam kelmarin.

Program itu dianjurkan bersama kerajaan negeri, Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme (IKSEP) Melaka, Jawatankuasa Penyelaras Pembangunan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Rim, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) serta Biro Tata Negara (BTN).

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pengangkutan, Penerangan, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Ghazale Muhamad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Mohd Yazed Khamis; Pengerusi IKSEP, Datuk Mohd Said Yusof serta Pengurus Besar IKSEP, Datuk Aziz Ujang.

Najib ketika berucap pada Majlis Bersama Perdana Menteri di FELDA Triang Tiga, Bera, Pahang baru-baru ini berkata, beliau akan mengumumkan nilai durian runtuh kepada peneroka berikutan penyenaraian FGVH pada majlis himpunan raksasa warga FELDA bulan depan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan