Selasa, 24 April 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Golongan muda kini boleh memohon geran Anugerah Merdeka

Posted: 24 Apr 2012 06:36 AM PDT

KUALA LUMPUR: Golongan muda yang berpendapat mereka memiliki kaliber luar biasa dipelawa memohon 'Geran Anugerah Merdeka', yang diwujudkan untuk mengenal pasti dan mengiktiraf anak muda Malaysia yang menghayati semangat Merdeka dan mereka yang mempamerkan komitmen cemerlang serta memberi sumbangan penting kepada masyarakat.

Setiausaha Lembaga Pemegang Amanah Anugerah Merdeka Datuk Mohammad Medan Abdullah berkata geran itu terbuka kepada rakyat Malaysia berumur antara 22 dan 35 tahun yang terlibat dalam disiplin pendidikan dan kemasyarakatan terpilih, alam sekitar serta kesihatan, sains dan teknologi.

Katanya maklumat terperinci tentang anugerah itu dan borang permohonan secara dalam talian boleh didapati melalui www.merdekaaward.my. Tarikh tutup permohonan ialah 30 Jun.

Mohammad Medan berkata proses pemilihan bagi penerima geran itu adalah ketat dan pemohon perlu melalui tiga proses pemilihan.


"Pertama, mereka perlu bersemuka dengan Sekretariat Anugerah Merdeka dan kemudian ditemuduga oleh tiga pengasasnya iaitu Petronas, Shell dan ExxonMobil sebelum membentangkan cadangan mereka di hadapan Pemegang Amanah Lembaga Anugerah Merdeka.


"Penerima geran ini akan mewakili Malaysia di luar negara dan kami mahu penerimanya merupakan seseorang yang memiliki kaliber luar biasa.

"Penerimanya juga akan terlibat dengan projek kerjasama jangka pendek (sehingga tiga bulan) di institusi antarabangsa yang diiktiraf," katanya kepada pemberita di sini.

Mohammad Medan berkata penerima geran itu perlu menyempurnakan penempatannya selama setahun iaitu tempoh geran itu diberi kepadanya.

"Dalam tempoh ini, dia perlu berkongsi pengalaman yang dilaluinya semasa tempoh penempatan itu dengan mengendalikan blog sendiri," katanya.

Program ini diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis penyampaian Anugerah Merdeka Oktober tahun lepas dan bertujuan membentuk pemimpin muda Malaysia. - BERNAMA




Dua sahabat maut digilis lori

Posted: 24 Apr 2012 05:28 AM PDT

BALIK PULAU: Dua sahabat terbunuh digilis lori dalam satu kemalangan di laluan bertingkat Jalan Sultan Azlan Shah menghala ke Bayan Baru dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Hatta Md Zin berkata pada kejadian pukul 9.15 pagi itu motosikal yang dinaiki kedua-dua lelaki warga Myanmmar itu bergesel dengan sebuah forklift sebelum hilang kawalan dan terbabas ke tengah jalan.

"Menurut saksi, sebuah lori dari laluan yang sama telah merempuh mangsa yang tercampak ke tengah jalan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek bantuan saguhati kepada 25 orang bekas polis yang berkhidmat semasa darurat, di sini hari ini.

Hatta berkata kedua-dua lelaki berusia 20-an mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian.


"Mayat mereka telah dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat," katanya.


Katanya, polis sedang berusaha mengesan pemandu lori yang menghilangkan diri selepas insiden itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu. - BERNAMA




Tiada ulasan:

Catat Ulasan