Nasional
NAJIB bersalam dengan orang ramai ketika melawat Pasar Tani Matang, Kuching.
BR1M banyak membantu golongan berpendapatan kurang RM3,000: NajibPETRA JAYA: Datuk Seri Najib Razak akan mempertimbang untuk meneruskan pemberian RM500 menerusi Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kerana ia mampu memberi manfaat kepada golongan berpendapatan kurang RM3,000.
Mengakui ia antara permintaan popular di kalangan rakyat yang ditemuinya, Perdana Menteri berkata, beliau akan menyemak semula perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan.
Jika pembangkang buat BERSIH 1, 2 dan 3, kita pula buat BR1M 1, 2 dan 3 kerana lebih banyak memberi faedah kepada rakyat. - Najib Razak, Perdana Menteri
"Seorang bekas tentera ucapkan terima kasih kerana menerima BR1M. Ada juga tanya boleh dapat lagi atau tidak. Jadi, jika pembangkang buat BERSIH 1, 2 dan 3, kita pula buat BR1M 1, 2 dan 3 kerana lebih banyak memberi faedah kepada rakyat.
"Bagaimanapun, biar saya semak dan congak terlebih dulu," katanya berucap pada majlis pelancaran program Jelajah Janji Ditepati (JJD) Peringkat Sarawak di pekarangan Wisma Bapa Malaysia (WBM), di sini, semalam.
Hadir sama, Datin Seri Rosmah Mansor; Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan isteri, Puan Sri Ragad Kurdi Taib; Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Ketua Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.
Perdana Menteri berkata, pelaksanaan BR1M sebelum ini memberi manfaat kepada 4.2 juta isi rumah yang layak di seluruh negara.
"Pembangkang dakwa kita pinjam duit Bank Dunia untuk BR1M dan ternyata pembangkang bercakap tidak benar kerana mereka tidak dapat menunjukkan bukti," katanya.
Selain BR1M, katanya, lebih 5.3 juta murid sekolah menerima RM100, selain 1.3 juta penuntut institusi pengajian tinggi, Tingkatan Enam dan matrikulasi memperoleh baucer buku bernilai RM200.
Najib berkata, pelbagai faktor menyumbang kepada keupayaan negara memulangkan manfaat kepada rakyat, antaranya kutipan hasil meningkat secara mendadak dalam tempoh setahun iaitu RM26 bilion antara 2010 hingga 2011 dan peningkatan pelaburan asing dan swasta mencecah RM120 bilion.
Selain itu, beliau berkata, menerusi Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP), pelbagai manfaat diperoleh, termasuk lonjakan pendapatan per kapita negara yang meningkat sehingga AS$9.4 bilion (RM28.5 bilion) berbanding AS$7 bilion (RM21.3 bilion) sebelum ini.
"Pencapaian ini memberi keyakinan bahawa matlamat untuk negara ini mencapai taraf negara maju berpendapatan tinggi boleh menjadi kenyataan," katanya.
Perdana Menteri juga yakin janji yang sudah ditepati sejak beliau memegang tampuk pemerintahan tiga tahun lalu, dapat diteruskan untuk tempoh lima tahun lagi, malah dengan lebih banyak pembangunan dapat dibawa dalam tempoh lima tahun akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan