Rabu, 25 April 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Bersih sampah haram

Posted: 24 Apr 2012 10:56 AM PDT

KLANG: "Sejak enam bulan lalu, kami penduduk Kampung Sungai Pinang terdedah bau busuk dan bahaya yang berpunca daripada longgokan sampah haram yang dibuang di kawasan lapang kira-kira 50 meter dari kawasan rumah," kata Ahmad Shuib Ahmad Hariri, 33, semalam.

Menurut Ahmad Shuib, dia dan keluarga bukan saja menghidu bau busuk setiap hari, malah berdepan masalah langau dan agas akibat pembuangan sisa pepejal itu.


"Setiap kali mahu makan, kami 'berperang' dengan langau dan agas yang hinggap pada makanan selain pada pakaian yang dijemur di luar rumah.

"Saya risau sekiranya masalah ini tidak diatasi segera, ia akan memudaratkan kesihatan penduduk terutama anak kecil," katanya.


Selepas beberapa kali membuat aduan, Majlis Perbandaran Klang (MPK) dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang mula membersihkan tapak longgokan sampah haram yang menghantui penduduk kampung.


Timbalan Pengarah Perkhidmatan Persekitaran MPK, Azmie Muji berkata, kerja membersihkan tapak itu mengambil masa dua minggu.

Katanya, keseluruhan longgokan sampah dianggarkan berjumlah 50 tan hingga 60 tan akan diangkut serta dihantar ke pusat pelupusan sampah di Jeram, Kuala Selangor.


"MPK menggunakan satu jengkaut, tiga lori dan sebuah tong besar bagi mempercepatkan kerja pembersihan kawasan ini bagi mengelak timbul masalah lain seperti penyakit taun dan denggi," katanya ketika ditemui di lokasi, semalam.

Sementara itu, jurucakap PTD Klang ketika ditemui berkata, 18 pemilik tanah berkenaan tidak dapat dikesan sehingga kini.


Katanya, meskipun mempunyai maklumat mengenai semua pemiliknya, mereka gagal dikesan berikutan alamat yang didaftarkan tidak wujud.


"PTD sudah mengeluarkan notis di Balai Penghulu Rantau Panjang supaya pemilik dapat melihat nama mereka. Jika pemilik masih gagal tampil selepas tempoh notis berakhir, kami mengeluarkan notis 8A dengan tanah mereka akan dirampas," katanya.




‘Rumah bermasalah’

Posted: 24 Apr 2012 10:54 AM PDT

PUTRAJAYA: "Hampir dua tahun kami tinggal di sini, tapi rumah tak macam diharapkan. Jika hujan lebat, pasti banjir di dalam rumah, hinggakan nak tidur dalam bilik terpaksa tadah baldi," kata Mohd Izwan Zakaria yang merungut masalah rumahnya di Puncak Saujana, Kajang, Selangor.

Beliau mendakwa, kebanyakan penghuni di 138 rumah di kawasan berkenaan menghadapi masalah itu sejak menerima kunci daripada pemaju pada Ogos 2010. "Ketika mula memasuki rumah, saya menghadapi masalah meter air tidak dipasang dan apabila mengajukan kepada pemaju mereka enggan memperbaikinya sehingga terpaksa mengadu kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas). "Malah, ada penghuni yang menghadapi masalah seperti siling bilik air jatuh, dinding retak dan basah, walaupun ketika paip air tidak dipasang. Jadi, saya harap perkara ini diselesaikan segera," katanya selepas menghadiri mesyuarat berkaitan ketidakpuasan hati terhadap mutu kerja serta Sijil Perakuan dan Pematuhan di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di sini, semalam.


Lima wakil penduduk Taman Puncak Saujana menghadiri mesyuarat bersama Jabatan Perumahan Negara Bahagian Penguatkuasaan KPKT selama dua jam itu. Turut serta wakil Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan pemaju perumahan berkenaan.

Mohd Izwan berkata, dia dan penduduk lain juga ragu terhadap beberapa dokumen berkaitan rumah berkenaan kerana tidak dinyatakan tarikh selepas ditandatangani.


"Disebabkan tidak berpuas hati dan ragu dengan perkara itu, kami membuat aduan kepada pihak berkaitan termasuk MPKj dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia supaya segera menyiasat perkara berkenaan," katanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan