SUNGAI BULOH: Mayat seorang individu yang tidak diketahui identiti ditemui rentung dalam sebuah van Nissan Vanette yang terbakar di Kilometer 454 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) menghala utara berhampiran persimpangan Hospital Sungai Buloh, malam tadi.
Mayat terbabit yang masih tidak diketahui jantinanya ditemui dalam keadaan mengiring ke tempat duduk penumpang hadapan dan dipercayai gagal menyelamatkan diri selepas kenderaannya terbakar.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Mohamad Sani Harul berkata, bomba menerima maklumat berhubung kejadian itu oleh orang awam jam 8.20 malam sebelum bergegas ke tempat kejadian.
Menurutnya, anggota bomba dari Balai Bomba Sungai Buloh tiba di tempat kejadian pada jam 8.26 malam dan ketika itu api masih marak.
"Dengan kekuatan anggota seramai lima orang, mereka berjaya memadamkan kebakaran yang merebak dari bahagian hadapan hingga ke belakang van dalam tempoh 15 minit.
"Bagaimanapun, jantina dan identiti belum dapat dikenal pasti kerana mayat rentung sepenuhnya dan unit forensik menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran terbabit," katanya kepada media pada sidang media selepas operasi memadamkan kebakaran tamat.
Mohamad Sani berkata, bomba dan polis menjalankan siasatan lanjut mengenai insiden terbabit dan hasil siasatan awal tiada bukti menunjukkan berlakunya pelanggaran hingga mengakibatkan kebakaran.
Sementara itu difahamkan, van terbabit dipercayai terbakar kira-kira 200 meter dari tempat kejadian disusuli letupan kecil sebelum mangsa bertindak memberhentikan kenderaannya di tepi jalan namun gagal menyelamatkan diri.
Orang awam yang menyaksikan kejadian itu segera menghubungi bomba memaklumkan kejadian terbabit.
KLANG: Penduduk Flat Mawar dan Flat Cempaka di Bandar Baru Klang, di sini, tidak berpuas hati dengan Majlis Perbandaran Klang (MPK) kerana masih gagal menyelesaikan masalah air bertakung sehingga menyebabkan penduduk kerap mengalami demam denggi.
Wakil penduduk, Hashem Uossuff berkata, masalah itu sudah diajukan kepada pegawai kesihatan daerah baru-baru ini, namun sehingga kini tiada tindakan diambil MPK.
Katanya, perbincangan sering kali diadakan dan MPK berjanji menyelesaikan masalah dalam masa terdekat, tetapi tiada kerja membaik pulih dilakukan.
"Punca air bertakung di flat ini disebabkan longkang di sekeliling Flat Mawar dan Flat Cempaka tersumbat dan dipenuhi sampah-sarap.
"Longkang yang tidak diselenggara dengan baik menyebabkan sampah memenuhi longkang dan air tidak dapat mengalir keluar ke longkang utama," katanya ketika ditemui, semalam.
Menurutnya, masalah air bertakung menyebabkan wabak demam denggi mudah menyerang penduduk sekitar kerana kebanyakan takungan air dipenuhi jentik-jentik.
Selain itu, penduduk dua flat berkenaan tidak berpuas hati terhadap pembinaan garaj kereta persendirian yang dibina di belakang flat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan