Ahad, 1 April 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Si hitam lagak samseng

Posted: 31 Mar 2012 02:34 PM PDT

KAJANG: Berlagak samseng seolah-olah berada di negara sendiri, kira-kira 100 'Awang Hitam' merusuh dengan memecahkan pondok keselamatan di Kondominium Venice Hill, Batu 9, di sini, tengah hari semalam, selepas marah seorang daripada rakan mereka mati dipercayai dibelasah anggota Rela.

Warga Afrika yang menghuni kawasan kediaman berkenaan bukan saja memecahkan pondok pengawal, malah merosakkan pejabat pengurusan serta mencederakan empat pengawal keselamatan.


Lelaki Nigeria yang mati itu, dipercayai dibelasah anggota Rela selepas seorang tukang cuci wanita yang membersihkan satu daripada blok kondominium, mengadu diganggu dan dicabul lelaki berkenaan.

Difahamkan, kondominium berkenaan layak digelar 'Mini Afrika' berikutan hampir ratusan warga dari benua itu menyewa di premis terbabit.


Menurut tukang cuci warga tempatan berusia 40-an itu, lelaki Nigeria terbabit beberapa kali mengganggunya.


Semalam dia tidak dapat tahan lagi selepas lelaki berkenaan bertindak melampau dengan menunjukkan kemaluan.

"Sudah beberapa kali lelaki warga asing itu mengganggu saya ketika saya bekerja dan jam 11 pagi tadi (semalam), tiba-tiba saya dipeluk dari belakang.


"Saya cuba melepaskan diri dengan meronta dan menyiku lelaki berkenaan, sebaik dapat melepaskan diri daripada pelukan, saya memarahinya, tetapi terkejut apabila lelaki berkenaan membuka seluar serta menunjukkan kemaluannya.

"Saya lari dan mengadu kejadian itu kepada anggota Rela yang bertugas mengawal kawasan kondominium," katanya yang ditemui di lokasi kejadian semalam.


Katanya, anggota Rela terbabit kemudian mencari lelaki Nigeria berkenaan, namun dia tidak pasti berapa ramai anggota Rela pergi mencari lelaki itu.


"Tak sangka perkara macam ini yang terjadi pula, saya difahamkan warga Nigeria terbabit dibelasah hingga mati selepas berlaku pertengkaran dengan anggota Rela. Saya kini bimbangkan keselamatan diri serta takut rakan lelaki itu mencari saya pula," katanya.


Sehubungan kejadian itu, lebih 100 penghuni kulit hitam kemudian bertindak merusuh kerana marah dan bilangan mereka semakin ramai selepas polis tiba serta turut cuba menyerang polis yang ingin menyuraikan mereka.


Kira-kira jam 6 petang, selepas bilangan polis ditambah barulah kumpulan yang merusuh itu bersurai.


Difahamkan, warga Nigeria yang dipercayai dibelasah itu maut di tempat kejadian di kaki lima berhampiran lif Blok 3 kondominium terbabit dan anggota Rela yang terbabit dalam kejadian berkenaan turut ditahan polis.




Wanita hamil lemas

Posted: 31 Mar 2012 02:31 PM PDT

DUNGUN: Seorang wanita mengandung empat bulan mati lemas selepas dihanyutkan ombak kuat ketika mandi bersama suaminya di Pantai Kuala Abang, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari, Manpreet Kaur, 33, mandi bersama suaminya, Naresh Sanchana, 32, di pantai terbabit sebelum dia dikatakan hanyut dibawa arus deras.


Difahamkan, sebelum kejadian, pasangan terbabit yang dipercayai berasal dari Jalan Kerinci, Kuala Lumpur datang bercuti di sebuah resort berhampiran sebelum mandi di pantai terbabit.

Ketika asyik mandi, mangsa dikatakan ditarik ombak ke tengah laut dan cubaan suaminya untuk menyelamatkan mangsa gagal sebelum orang ramai memberi bantuan menarik isterinya ke darat.


Malah, beberapa pengunjung hotel terbabit dikatakan cuba memberi bantuan pernafasan (CPR) sebelum mangsa dikejarkan ke Hospital Dungun.


Saksi, Zulkifli Idris, 37, berkata dia mula bimbang selepas melihat pasangan terbabit berani mandi di kawasan situ dalam keadaan ombak besar.

"Selasa lalu, seorang pemuda nyaris lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika mandi tidak jauh dari kawasan itu.


"Bagaimanapun, remaja itu yang ketika itu hanyut 300 meter berjaya diselamatkan abangnya yang berenang melawan arus dan ombak kuat," katanya.

Zulkifli berkata, dia menunggang motosikal bersendirian ke pantai terbabit untuk melihat keadaan pantai di situ, jam 11 pagi dan ternampak pasangan suami isteri itu mandi di tepi pantai.


"Saya tidak berani menegur mereka kerana kawasan pantai itu di bawah kuasa sebuah hotel, selain bimbang didakwa menceroboh masuk ke kawasan itu.


"Selepas 10 minit di situ, saya menunggang motosikal ke rumah seorang rakan di Kampung Seberang Pintasan dan mengambil keputusan pulang ke rumah di Kuala Abang, di sini sebaik mendapati rakan tiada di rumah.


"Bagaimanapun, ketika melalui semula kawasan itu, saya lihat kawasan pantai itu dipenuhi orang ramai dan ada mangsa lemas diberi pertolongan," katanya.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan