Khamis, 23 Jun 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


SYABAS perlu beri notis awal

Posted: 22 Jun 2011 03:39 PM PDT

Wilayah

Pengguna alami masalah air selama tiga hari akibat kerja penyelenggaraan

KUALA LUMPUR: Kebanyakan pengguna di Lembah Klang yang mengalami masalah gangguan bekalan air selama tiga hari bermula semalam akibat kerja penyelenggaraan dilaksanakan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), kecewa apabila syarikat itu gagal memberi notis pemberitahuan lebih awal, menyebabkan mereka mengalami kesukaran menjalani rutin harian.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Sharifah Zubaidah Syed Abd Kadir, 43, berkata beliau terkilan dengan tindakan SYABAS yang lewat memberi notis pemberitahuan, menyebabkannya tidak sempat menyimpan bekalan air.

"SYABAS sepatutnya menghebahkan masalah gangguan air lebih awal kepada pengguna supaya dapat melakukan persediaan awal tetapi keadaan sebaliknya berlaku dan dengan ahli keluarga ramai, akan menyukarkan saya menguruskan rumah tangga tanpa bekalan air mencukupi," katanya Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Bukit Maluri, Rossidah Abd Wahab, 44, berkata beliau hanya mengetahui berita gangguan bekalan air itu melalui rakan sekolahnya dan tidak melakukan sebarang persediaan awal untuk menyimpan air mencukupi.

"Saya hanya tahu masalah gangguan air di kawasan ini selepas berbual dengan rakan dan tidak sempat membuat persediaan. Bagaimana kami mahu meneruskan rutin harian selama tiga hari ini tanpa bekalan air mencukupi dan ini pasti menimbulkan masalah," katanya.

Tinjauan Berita Harian semalam mendapati, ramai di kalangan pengguna hanya sempat menyimpan sedikit bekalan air awal pagi semalam sebelum gangguan mula berlaku pada jam 8 pagi.

Selain itu, orang ramai yang ditemui juga berharap SYABAS menyediakan lori tangki air di kawasan mereka supaya bekalan air di rumah tidak terputus hingga menjejaskan urusan harian.
Media semalam melaporkan hampir sejuta pengguna di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang mengalami gangguan bekalan air bermula jam 8 pagi semalam hingga jam 8 pagi esok kerana kerja rutin penyelenggaraan Loji Rawatan Air Selangor Bukit Badong di Ijok, ekoran kerja penggantian injap Sluice Valve di rumah pam air bersih dan pencucian kolam imbangan.

Kerja penyelenggaraan dan naik taraf itu dilakukan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan kontraktor dilantik SYABAS.

Penduduk Taman Bukit Maluri, ET Teh, 62, berkata gangguan bekalan air selama 48 jam dianggap agak lama kepada pengguna kerana air keperluan penting untuk menguruskan kehidupan harian.

"Saya berharap SYABAS menghantar lori bekalan air di kawasan ini supaya kami dapat melakukan aktiviti harian seperti memasak, membasuh pakaian dan mandi," katanya.

Pengurus hartanah, Thiagarajan,44, berkata air disimpannya di rumah, tidak mampu bertahan selama tiga hari kerana digunakan bagi pelbagai urusan harian.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif, Hal Ehwal Korporat SYABAS, Abdul Halem Mat Som ketika dihubungi Berita Harian berkata, pihaknya menyediakan lori tangki air untuk menghantar bekalan kepada pengguna memerlukan.

"Mereka yang bermasalah boleh berhubung terus dengan SYABAS supaya bekalan air dapat dihantar. Maklumat lanjut boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) menerusi talian bebas tol 1-800-88-5252 atau SMS, dengan menaip PUSPEL dan hantar ke 39222," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kekasih maya Afrika perdaya wanita RM3,200

Posted: 22 Jun 2011 03:38 PM PDT

Wilayah

GEORGETOWN: Akibat terpedaya dengan janji manis seorang warga asing yang dikenali menerusi laman sosial sehingga menjalin cinta dengannya sejak April lalu, seorang suri rumah berusia 46 tahun dari Bayan Lepas di sini, kerugian RM3,200.

Mangsa yang 'gelap mata' apabila lelaki itu yang berjanji akan memberikannya 850,000 pound sterling bagi perbelanjaan perkahwinan mereka, sanggup memasukkan wangnya ke akaun bank milik seorang lelaki rakyat tempatan.

Ketua Siasatan Jenayah Komersial negeri, Asisten Komisioner Roslee Chik, berkata wanita itu mula berkenalan lelaki Afrika dari United Kingdom sejak April lalu menerusi laman sosial Facebook. Sepanjang perhubungan secara maya itu, suspek dikatakan ikhlas dan jujur sebelum menyatakan kesediaannya untuk menjadikan wanita berkenaan sebagai isteri.

Lelaki itu berjanji memberikan segala-gala kemewahan kepada wanita berkenaan termasuk akan memasukkan sebanyak 850,000 pound sterling ke dalam akaun mangsa bagi membeli rumah, kereta dan urusan perkahwinan mereka.

Lelaki terbabit menghubungi mangsa untuk menyatakan dia dalam perjalanan ke Malaysia.

Bagi mengaburi mata mangsa, lelaki itu menyuruh mangsa mencetak slip gajinya yang diemelkan untuk digunakan sebagai dokumen apabila membuat pengeluaran yang bakal dihantar.
Beberapa hari selepas itu, lelaki terbabit menghubungi wanita berkenaan dengan meminta memasukkan wang sebanyak RM2,500 ke satu akaun milik rakyat tempatan untuk proses pengeluaran wang yang akan dihantar kepada mangsa.

Wanita itu yang tidak menyedari dia ditipu, memasukkan wang berkenaan ke nombor akaun diberi, diikuti RM700 lagi beberapa hari kemudian.

Mangsa terkejut apabila menyemak akaunnya dan mendapati tiada wang 850,000 pound sterling seperti dijanjikan.

"Selepas mengesyaki ditipu, mangsa membuat laporan polis, Jumaat lalu dan siasatan lanjut sedang dijalankan untuk mengenalpasti pihak terbabit," katanya.

Roslee berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu didalangi sindiket warga asing dipercayai Nigeria dengan menggunakan akaun warga tempatan.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan